Pages

Thursday, April 30, 2009

FLU BABI BUKAN SOAL SALAH MAKAN

Oleh
A. Rahman Basrun

BARU minggu lalu saya sebut tentang khinzir dalam pojok saya, tidak sangka sejak itu khinzir muncul menggugat dunia.

Apakan tidak, ancaman flu babi merebak sebagai wabak semakin nyata.

Selaku orang Islam yang diharamkan makan babi, reaksi awal orang kita tentulah mengaitkan gejala dengan perangai pengotor haiwan ini.

Maklumlah, babi makan apa saja, tidak kira bersih atau kotor, gred A atau gred D, termasuk najisnya sendiri.

Jadi, lahirnya flu babi ibarat dijangka akibat sifat kurang sihat babi yang semula jadi.

Namun, pada hakikatnya bukan babi saja binatang yang menyebarkan penyakit - pun sudah berlaku wabak flu burung dan penyakit lembu gila.

Mentelah flu babi tidak tersebar dengan memakan babi.

Ia tersebar melalui pendedahan kepada babi dan kepada sesiapa sahaja yang dijangkiti.

Jadi, sesiapa pun boleh menjangkit dan dijangkiti flu babi - orang bukan Islam dan orang Islam sendiri.

Ini penting disedari agar orang kita tidak bersikap sambil lewa perkara ini.

Jangan tanggap oleh kerana khinzir bukan sebahagian pemakanan dan budaya orang kita, maka kita kebal dan terkecuali daripada jangkitan flu babi.

Maksudnya, kesemua pihak perlu ambil tahu dan ambil berat. Mutu kebersihan perlu terus dijaga dan dipertingkat.

Memang gejala seperti wabak flu babi ini susah dielak.

Sebabnya dua.

Pertama, lebih kuat ubat manusia, lebih kuatlah jadinya kuman untuk melawan ubat itu demi penakatannya.

Maka kuman itu bertambah berbahaya kerana ubat yang ada tidak lagi mujarab terhadapnya.

Kedua, teknologi memudahkan lagi penularan sesuatu wabak. Maklumlah, dewasa ini kita boleh ke hujung dunia dalam masa kurang sehari dengan menaiki pesawat.

Bukan satu dua, bahkan ribuan penerbangan berlaku sehari, dengan mengangkut jutaan penumpang yang setiapnya berpotensi menumpangkan kuman penyakit yang dikhuatiri.

Inilah yang membuat banyak pemerintah pening kepala. Dan inilah limpahan kesan teknologi - ibarat pedang dua mata yang memakan mangsa dan tuannya sekali.

Bahkan, kita lihat bagaimana manusia itu sendiri menyalahgunakan teknologi yang ada di depan mata.

Misalnya, tergamak sesetengah manusia memajukan virus sebagai senjata dalam perang ataupun mencipta virus di komputer untuk merosakkan komputer pengguna lain di dunia.

Namun, berbalik kepada soal flu babi.

Sebagaimana ia bukan akibat memakan babi, perlu juga kita ingat bukan pemakanan babi sahaja yang membawa mudarat.

Misalnya, ramai orang kita dilanda penyakit berat-berat dewasa ini bukan kerana makan babi, tetapi kerana amalan pemakanan yang kurang sihat.

Ini termasuk makan berlebihan tanpa berpada-pada, termasuk garam dan gula, padahal ia berhukum halal asalnya.

Pun ada sesetengah kita yang masih tidak prihatin tentang kehalalan makanan yang disuap ke mulut dan masuk ke perut.

Misalnya, saya perhatikan masih ramai orang kita (maaf cakap, termasuk yang bertudung) yang melanggani gerai dan kedai yang bukan milik orang Islam dan membeli produk yang tiada sijil atau logo halal tertera.

Paling banyak, ada notis 'No Pork No Lard' (Tiada Daging Babi, Tiada Lemak Babi), padahal bukan itu saja penentu halalnya.

Mungkin akan ada yang menyangkal, usah banyak soal, bahkan menurut fiqah bukankah hukum asal sesuatu makanan itu halal selagi tidak terbukti sebaliknya?

Itu semua betul, cuma pada akhirnya kita adalah insan berbekal akal dan naluri.

Tidakkah berbunyi penggera dalam hati apabila memasuki kedai roti milik bukan Islam yang menjual ban daging yang tidak teruji kehalalannya?

Ada juga yang berhujah, kita dimaafkan jika kita tidak tahu asal usul sesuatu makanan.

Itu betul, cuma itu bukan lesen bagi kita membutakan diri.

Kita di sini beruntung, kerana setakat ini sudah banyak kedai, gerai atau syarikat mengorak langkah untuk memperkemas diri, termasuk mendapatkan sijil halal.

Mentelah antara syarat pemerolehan sijil halal ialah menggajikan orang Islam, jadi kita secara langsung atau tidak mewujudkan peluang pekerjaan bagi orang kita sendiri.

Dengan pesatnya perkembangan teknologi, timbul bermacam-macam bahan makanan kini, termasuk 'emulsifier' (pengemulsi) dan 'stabiliser' (penstabil) yang perlukan penelitian akan halal haramnya.

Jadi, akhir kalam, dunia zaman ini bukan hitam putih lagi. Ia bukan hanya soal haram makan binatang bukan sembelihan cara Islam atau babi. 

Source (LINK)

No comments:

Post a Comment