Pages

Tuesday, April 14, 2009

WARKAH UNTUK PM


Warkah untuk PM ke-enam - Mujahid Yusof Rawa

APRIL 14 – Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Ke hadapan Perdana Menteri Malaysia yang ke Enam, YAB Datuk Seri Najib Razak,

Saya menulis warkah ini dalam keadaan ekonomi global menjadi isu utama semua pembesar kerajaan dunia. Ini berikutan krisis keruntuhan institusi kewangan dunia hasil dari krisis sub prima yang melanda Amerika dan Eropah. Kesan krisis kewangan ini memberi kesan kepada negara kita Malaysia yang sekali lagi diuji dengan berbagai cabaran.

Saya yakin seluruh rakyat Malaysia tak kira apa sahaja kecenderungan politiknya mengakui bahawa ujian ini harus diharungi bersama dalam memastikan Malaysia sekali lagi akan keluar dari krisis ini lebih kuat dan hebat.

Ketika saya menulis surat ini, dari sudut dalaman negara pula ketegangan politik antara dua blok politik iaitu BN dan Pakatan Rakyat sudah tidak dapat dielakkan lagi, pertembungan dua blok ini disaksikan oleh seluruh rakyat negara ini dalam PRK Batang Air, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Ia sesuatu yang menarik kerana kemunculan YAB disambut dengan keputusan PRK yang menjadi perhatian ramai di mana papan skor menunjukkan 2-1 untuk Pakatan dan BN.

Lebih penting daripada itu kehangatan proses kempen dan pendekatan penerangan parti masing-masing dalam keghairahan mencatat kemenangan derjaya menafsirkan pertembungan dua blok ini. Bagi Pakatan Rakyat kemenangan 3 PRK ini penting untuk mengabsahkan kehadiran mereka yang diyakini menjadi peneraju politik baru di tanahair, manakala parti YAB dan BN yang menjadi parti pemerintah negara ini pula memerlukan sangat kemenangan di 3 PRK kerana ia tanda kepada keupayaan BN untuk terus memerintah disebalik tentangan hebat yang dihadapinya oleh Pakatan Rakyat.

Walaupun pihak masing-masing menganggap kemenangan itu bukanlah lagi satu pilihan tetapi ianya kemestian tetapi penentu kepada tangapan ini hanya terbukti dengan Kuasa Rakyat yang membuat keputusan melalui peti-peti undi, nah.. mereka telah melakukannya dan kita patut hormat dengan keputusan mereka itu.

Namun izinkan saya untuk memberikan pandangan saya sebagai rakyat Malaysia tentang pengajaran-pengajaran yang perlu diambil oleh kita dalam 'ketegangan' hubungan dua blok politik ini bagi YAB menjadikan bahan membetuli keadaan dalam rangka 'Satu Malaysia' yang YAB cuba capai sebagai PM Malaysia yang ke enam.


YAB Perdana Menteri,

Perubahan yang berdegar-degar kedengaran sejak akhir-akhir ini dalam parti Umno yang Datuk Seri adalah Presidennya sememang dialu-alukan, bukanlah sangat saya berminat dengan Umno sebab saya adalah aktivis PAS, tetapi saya ambil berat sebab Umno adalah tunggak kepada Kerajaan hari ini, kejumudan Umno akan memberi kesan kepada prestasi menteri-menteri Umno dalam kerajaan, kerapuhan moral mereka juga akan memberi kesan.

Atas sebab itu saya mengambil berat tentang pemikiran perubahan dalam Umno.  Saya mencadangkan kepada YAB supaya 'walk the talk' kerana dalam konteks media perdana, penyaluran maklumat kepada massa masih ditakuk lama. Satu masalah yang paling utama ialah penguasaan politik sempit dan cengkaman kawasalan ketat ke atas media arus perdana.

Kata lain yang dapat menggambarkan keadaan kejumudan media ini ialah 'media dilacurkan' oleh pihak yang ada kepentingan politik sehingga 'memomdomkan' kebebasan media di Malaysia. Lihatlah saja liputan-liputan berita di media perdana dalam TV atau percetakkan, semuanya berat sebelah. Berita dari Pakatan Rakyat langsung tidak mendapat liputan adil dan secara professional, lebih buruk manipulasi dalam agenda terancang tangan-tangan politik benar-benar telah 'memperkakaskan' media sebagai alat untuk mencapai matalamat politik sempit.

Saya tidak menuntut layanan yang sama (walaupun itu sepatutnya)tetapi langkah awal untuk YAB Perdana Menteri boleh lakukan ialah memberi keadilan dan liputan yang professional serta membuka ruang kepada pandangan kedua atau ketiga untuk diluahkan kepada pihak awam. Hanya di tangan Datuk Seri langkah awal ini boleh digerakkan seperti yang Datuk Seri sendiri katakan dari petikan Konfusios "a thousand step begin with the first step" inilah langkah awal yang boleh dilakukan.

Saya mencadangkan media diperkasakan kearah kebebasan bertanggungjawab dan berhentikan amalan media diperkakaskan.


YAB Perdana Menteri,

Banyak lagi yang saya ingin perkatakan dalam warkah ini, tetapi terlalu panjang senarainya, saya meletakan yang lebih utama untuk diambil tindakan oleh pihak Datuk Seri. Ada satu lagi yang menghantui aura politik tanahair, secara khusus ialah kes pembunuhan 'Altantuya'. Sepanjang kes ini berlangsung telah banyak kedengaran suara-suara yang mengaitkan Datuk Seri dalam kes ini. Ia amat mengecewakan, bukan kerana tuduhan itu tetapi liputan kes ini turut dikaitkan di peringkat antarabangsa, saya kecewa kerana ia memalukan kita sebagai rakyat Malaysia.

Saya mendapat tahu Datuk Seri telah bersumpah dengan Al Quran semasa PRK Permatang Pauh tempoh hari bahawa Datuk Seri tidak terlibat, alhamdulillah, tetapi isu ini terus dibangkitkan di peringkat antarabangsa yang terang-terang menyebut nama Datuk Seri. Saya mencadangkan sebagai memelihara maruah Perdana Menteri, supaya Datuk Seri menyaman akhbar-akhbar tersebut daripada terus mengaitkan Datuk Seri dengan isu ini, atau saya mencadangkan Umno sendiri menyaman pihak yang masih mengungkitkan keterlibatan YAB Perdana Menteri .

Selagi tergantung 'isu' ini,rakyat akan terus bercakap perkara ini, buah mulut yang beredaran ini pasti mencemar nama baik Perdana Menteri Malaysia dan pastinya ia akan 'menghantui' perjalanan pentadbiran Datuk Seri sendiri. Bukankah jika maruah Perdana Menteri dicemar seluruh rakyat Malaysia patut menuntut pembelaan. Tiada pembelaan yang terbaik melainkan daripada tuan tubuh sendiri. Besarlah harapan saya jika YAB Perdana Menteri dapat membuat pembelaan dirinya, keluarganya, pentadbirannya dan juga seluruh rakyat Malaysia.

Akhirnya saya mendoakan kepada YAB Perdana Menteri supaya janganlah mengulangi perbuatan Perdana Menteri sebelumnya yang berdegar-degar ketika mula ambil alih kepimpinan tetapi kemudian kembali ke titik asal. Tun Mahathir turut membebaskan beberapa tahanan ISA semasa beliau mula mengambil alih kepimpinan dari Tun Husn Onn, tetapi kemudian menyumbat masuk lebih 100 orang ke dalam.

Tun Abdullah Badawi pun sama, apabila mula mengambil alih beliau telah membebaskan beberapa tahanan ISA tetapi kemudian menambahkan semula. Apakah Datuk Seri akan mengulangi perkara yang sama? Saya harap tidak, dan Allah sahaja yang tahu masa depan bukan saya atau rakyat Malaysia.

Datuk Seri juga menyebut ISA akan dikaji semula, saya mencadangkan supaya ia dihapuskan dan bukan dibuat kajian semula.

Tiada yang lebih baik buat mengakhiri warkah ini melainkan saya mengucapkan lafaz "ITTAQULLAH!" dan "WA LA TAKHUNU AMANATIKUM WA ANTUM TA'LAMUN"

Sekian, salam saya kepada keluarga Datuk Seri , moga bahagia di samping keluarga buat mengharungi perjalanan yang hebat ini!


YANG BENAR Dr Mujahid Yusof Rawa Rakyat Malaysia yang Prihatin

* Mujahid Yusof Rawa is MP for Parit Buntar and is PAS National Unity Committee chairman.

1 comment:

  1. SALAM BRO!...
    AKU RASA NGKO DAH CONFUSE NGAN AKU. AKU BUKAN PARPUKARU TAPI PARPUKUNYIT

    ReplyDelete