Pages

Thursday, May 28, 2009

Pengakuan Dari Calon Pro....

Saya Bertanding
Ada yang menegur saya baru-baru ini. Dia mengatakan soal bertanding ini adalah satu kewajipan apabila telah dicalonkan. Tak perlu nak beristikharah lagi kerana dalam soal ini yang baik adalah jelas. Apabila nama dicadangkan, kata beliau, kita kena tawarkan diri untuk berkhidmat dan relakan diri apabila perkhidmatan dituntut. “Adakah Khalid Al-Walid beristikharah dulu selepas gugurnya Abdullah Ar-Rawahah di Mu’tah dan namanya dicalonkan?”, tegas beliau lagi. Amboi... pandainya berhujjah apabila nak ‘volunteerkan’ nama orang lain, terfikir saya!

Lagipun, sebenarnya nama aje yang sama, tetapi jauh sekalilah jika hendak dibandingkan diri ini dengan Panglima Islam yang agung itu.


Namun saya pernah mendengar hujjah sebegitu pada tahun-tahun 80an dulu lagi dan saya juga bersetuju dengan ketepatannya. Tetapi, tidak pula salah beristikharah kerana kita pun ada masa dan peluang untuk melakukannya. Keadaan sedang bertempur seperti di Mu’tah itu amatlah berbeza sekali. Lagipun, bukankah kita ini sentiasa mengharapkan keputusan yang terbaik di sisi Allah?

Akhirnya saya pun membuat keputusan untuk bertanding dan saya serahkan sahaja kepada perwakilan. Harapan saya berhubung peranan saff kepimpinan baru yang bakal ditabalkan telah saya suarakan dalam 
posting sebelum ini dan itulah juga peranan dan arah tuju yang akan insyaAllah saya bawa sekiranya saya dipilih. Di bawah pantauan Majlis Syura Ulama’ saya yakin tidak mungkin Pimpinan Pusat melakukan sesuatu yang bercanggah dengan tuntutan syara’. Namun, selain dari soal tumtutan syara’, apabila berhadapan dengan beberapa pilihan, yang semuanya harus di sisi syara’, kematangan politik dan pemikiran politik yang jelas adalah amat penting untuk menjamin keputusan yang terbaik. Kadangkala walaupun seseorang itu ‘alim ataupun profesional, namun dia tidak bijak berpolitik dan tidak matang dengan tipu helah pihak lawan. Ini akan menyebabkan beliau membuat pilihan yang tidak tepat dari segi politik.

Mungkin ada yang mempertikaikan kenyataan ini, khususnya apabila melibatkan golongan ulama’ dan mengatakan ulama’ akan dibimbing Allah dalam semua keputusan mereka. Setiap langkah mereka diberkati dan walaupun tidak mahir dan tidak begitu pandai berpolitik, Allah akan menentukan semuanya sebaik yang mungkin. Pasti ada yang mengatakan “YB ini terlalu menggunakan otak!”, seolah-olah menggunakan otak itu pula menjadi satu kesalahan.

Otak adalah pemberian Allah dan memang wajib digunakan. TETAPI otak ini hendaklah dipandu dan dibimbing oleh Al-Quran. Apabila berhadapan dengan beberapa pilihan, semestinya kita kena fikirkan dan bahaskan pilihan yang terbaik. Ini sebahagian dari usaha yang diwajibkan. Seperti cadangkan Al-Hubab kepada Rasulullah (SAW) di Badr. Lainlah kalau ianya wahyu! Namun pilihan dan strategi politik bukannya wahyu, sepertimana juga pilihan strategi perang seperti di Badr.

Saya ingat lagi kata-kata TG Hj. Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dalam soal ini apabila beliau merumuskan perbahasan pada hari itu dengan mengatakan, “mereka bukan ingin menjadi diri sebagai hamba kepada Allah, mereka seolah-olahnya nak ‘memperhambakan’ Allah!”, kata beliau berhubung pendapat tidak perlu berfikir, semua kita serah kepada Allah. Fikrah ‘tawakkal’ dan ‘alim cara Melayu macam inilah yang menyebabkan ummat Islam mundur kerana malas nak berfikir dan malas nak menggunakan serta ‘mengasah’ otak yang telah Allah rezkikan dan amanahkan kepada kita. Berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW) serta usaha ‘mujahadah’ yang bersungguh-sungguh, termasuk mujahadah berfikir, ummat Islam telah menjadi ummat yang memimpin ummat manusia yang lain seketika dahulu.

Contoh yang paling jelas dalam soal kematangan berpolitik, perang Siffin. Tentera Ali(RA) sedang maju kedepan. Tentera Muawiyyah sedang teruk diasak. Tentera Muawaiyyah minta berdamai dengan meletakkan Al-Quran di hujung lembing. Ali (RA) kata teruskan tetapi ramai sahabat-sahabat yang lain menuntut supaya berdamai seketika. Perdamaian memberi peluang untuk tentera Muawaiyyah menyusun kembali kekuatannya dan terselamat dari dikalahkan.

Sama juga kita pada masa ini. UMNO/BN sedang diasak teruk. Mereka meminta kita berdamai, berbincang, bermuzakarah. Ada yang cenderung, ada yang menolak. Yang cenderung memikirkan masalah orang Melayu. Yang menolak memikirkan perjuangan Islam. Islam akan membela orang Melayu dan bukan Melayu. Perbincangan dan muzakarah menimbulkan fitnah. Kesatuan dalam PR akan teruji. UMNO/BN akan memasukkan jarum-jarum mereka dan melaga-lagakan kita. PR baru ditubuh. Usaha yang menimbulkan fitnah perlu dijauhi. UMNO berkawan bila tersepit. Cakap pasal Islam bila tergugat. Utusan Malaysia pun kempen Kepimpinan Ulama’. UMNO Shah Alam anjurkan ceramah dua orang Ustadz exco Pemuda UMNO. Ini samalah seperti Al-Quran dihujung lembing.

Mereka yang bijak dan matang dalam politik akan tahu mana yang lebih tepat. Itu sebabnya TGNA dalam sessi medianya telah menyesebut soal kemahiran berpolitik. Isunya bukan ulama’ lawan profesional. Isunya kemahiran berpolitik. Kepimpinan Ulama’ telah jelas tertegak melalui pemantauan dan kuasa yang diberi kepada Majlis Syura Ulama’. Semua dalam PAS menerimanya. Termasuk saya. Saya bertanding bukan untuk mencabar kepimpinan ulama’ yang saya sendiri memperjuangkan perlaksanaannya. Saya bertanding supaya konsep itu benar-benar difahami dan dihayati. Pada masa yang sama saya menawarkan khidmat saya sebagai seorang yang telah lama berpolitik supaya PAS akan maju ke depan melalui PR demi merangkul kedudukan sebagai parti politik yang unggul dikalangan ummat Islam dan bukan Islam di Malaysia. PAS memimpin ummat Islam ke zaman politik yang baru di mana Islam merupakan asas politik kita. Bukan dengan UMNO. Bukan bersama UMNO.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

No comments:

Post a Comment