Pages

Friday, May 8, 2009

Ulamak dan tidak ulamak: Debat sesuatu yang bukan masalah

MEI 8 — Ulamak adalah satu ungkapan yang digunakan untuk menggambarkan satu status yang dimilik oleh seseorang hasil dari ilmunya yang tinggi tentang Islam dan beliau menjadi rujukan orang ramai dalam masalah memahami ilmu-ilmu Islam.

Ulamak juga dikait rapat dengan ketegasannya mempertahankan prinsip-prinsip Islam dan mempunyai pengikut yang setia dididik dengan rasa cinta kepada Islam. Sekurang-kurangnya itulah yang kita faham maksud dan peranan ulamak sebagai gelaran individu yang diberi kepada seseorang, walaupun tidak semua ulamak secara praktikalnya memiliki sifat-sifat mempertahankan prinsip Islam malah menjadi alat pemerintah untuk menyedapkan halwa telinga golongan al malak (elit pemerintah).

Oleh Nabi s.a.w. dikategorikan ulamak sebagai dua golongan: ulamak as su’u (ulamak jahat jadi alat golongan pemerintah) dan ulamak al haq (ulamak yang menegakkan kebenaran tanpa takut). Ada hadis lain yang mengaitkan gabungan ulamak dan pemerinah sebagai dua entiti yang mempengaruhi masyarakat: “dua golongan apabila baik mereka baiklah masyarakat dan apabila rosak mereka rosaklah masyarakat, ulamkatak dan umara’ (pemerintah)” jadi ulamak pastinya satu istilah yang besar maknanya dalam strata social dan memainkan peranan membentuk masyarakat yang baik.

Tetapi soalannya,apakah kaitan istilah ulamak dan tidak ulamak dalam PAS?

Ia bukan sahaja menjadi polemic bahkan sejak 1983 lagi istilah ulamak ini begitu sinonim dengan PAS yang telah memakai istilah ini kepada kepimpinannya sehingga ia dikenali hari ini sebagai “‘kepimpinan ulamak”. Apa maksudnya kepimpinan ulamak dalam konteks PAS?

Istilah ini muncul ketika PAS bergelut untuk keluar dari kemelut dalaman yang dihadapinya hasil dari kepimpinan Datuk Asri yang dipertikaikan. Salah satu masalah kepimpinan Asri ialah dikatakan membuat keputusan hanya dikalangan segelintir kelompok sahaja dalam jawatankuasa PAS Pusat.

Asri cuba menjadikan keputusan parti diambil dikalangan kelompoknya sahaja maka timbullah pertikian terhadap cara keputusan dibuat.

Khusus dari Pemuda di bawah kepimpinan Datuk Mustafa Ali ketika itu, ulamak keputusan lalu mendesak untuk satu alternative kepada kemelut ini iaitu dengan mengemukakan kepimpinan ulamak yang secara pokoknya keputusan mestilah dibuat secara syura dan keahlian syura dibentuk terdiri dari kalangan para ulamak yang tahu ilmu Islam bagi memastikan keputusan dibuat tida bercanggah dengan Islam.

Dari sudut cadangan, yang tersirat ialah supaya Jawatankuasa Kerja PAS diimbangi keputusannya  bagi memelihara cara keputusan dibuat. Maka dijelmakanlah satu komponen pembuat keputusan parti yang dinamakan sebagai Majlis Syura Ulamak yang secara ringkas, bidangkuasanya ialah bersifat “advisory” dan “guidance” kepada masalah-masalah dasar yang melibatkan pendekatan politik, disiplin parti dan isu-isu berbangkit dari sudut fiqah Islam yang ada kena mengena dengan kepentingan parti.

Cadangan ini yang diusulkan oleh Pemuda pada Muktamarnya tahun 1982 diterimapakai dan pada tahun 1983 bermulalah era kepimpinan ulamak.

Jadi kepimpinan ulamak bermatlamatkan mekanisma keputusan dibuat dan bukan individu-individu yang ada status ulamak untuk dijadikan orang No. 1 atau No. 2, ia berkenaan majlis syura yang keahliannya adalah dari kalangan ulamak bukan jawatankuasa kerja yang mesti keahliannya dari ulamak.

Dengan kata lain bermula dari Presiden hinggalah AJK PAS Pusat, perlembagaan parti tidak mensyaratkan keahlian tertentu dari sudut keulamakannya atau tidak, ia hanya terbatas kepada Majlis Syura Ulamak.

Cukuplah Presiden ke bawah sebagai anggota eksekutif parti meyakini dasar Islam dan mengamalkan cara hidup Islam serta memiliki matlamat yang jelas tentang Islam sebagai asas pemerintahan dan bernegara. Presiden tidak perlu risau kerana ia akan dipandu oleh para ulamak dalam majlis syura apabila ia buntu.

Bagi bidang eksekutif anggotanya yang kalau pun ada keahlian, ia mestilah dinilai dari sudut keupayaannya membawa organsiasi parti dan aspirasi parti, menyusun ahlinya kepada matlamat kerja parti dan merancang strategi dnegan segala keperluan taktikal dan teknikalnya.

Itulah yang menjadi isu yang patut dinilai oleh ahli dalam menentukan siapakah kepimpinan yang bakal menerajui PAS, bukan samada mereka ulamak atau tidak!

Kalau  hendak melantik ahli majlis syura saya setuju jika kita pertikaikan ulamak atau tidak tetapi sayangnya ahli majlis syura ulamak tidak dipilih oleh perwakilan, mereka dilantik mengikut perlembagaan parti. Oleh itu saya tidak melihat ianya sebagai isu!

Selain draipada isu asas dan sejarah parti yang perlu difahami, kita juga harus insaf bahawa PAS belum lagi mempunyai satu piawaian yang dipersetujui tentang apakah dan siapakah yang dikatakan ahli PAS?

Jika piawaian ahli ini boleh dilaksanakan maka tidak timbullah lagi ulamak atau tidak ulamak, yang ada ialah ahli PAS yang dipersetujui piawaiannya oleh semua, sehingga satu mekanisma ciri-ciri ahli PAS yang ditentukan oleh parti tidak dibuat dan dijelmakan dalam sumber manusia parti, isu ini akan sentiasa berulang khususnya setiap kali pemilihan parti menjelang tiba.

Apatah lagi hari ini Umno begitu “berminat” kepada isu ulamak atau tidak ulamak. Utusan Malaysia yang jarang sekali membawa cerita PAS dalam liputannya, kerap sejak akhir ini membesarkan-besarkan ulamak tidak ulamak ini, samada mereka ikhlas atau tidak masih menjadi tandatanya,namun yang pasti pemilihan kali ini menarik minat semua pihak dna isu ulamak tidak ulamak adalah bola tanggung yang kita berikan kepada mereka untuk mensensasikan berita!

Sesungguhnya ulamak atau bukan ulamak hanya debat yang bukan isu!

(Source - (LINK)

No comments:

Post a Comment