Pages

Wednesday, June 3, 2009

Muktamar PAS 55 - Persediaan PAS untuk menggantikan Umno

Sesungguhnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sedang berada di tahap paling baik dalam 58 tahun sejarah jatuh-bangun perjuangan politiknya.

Natijah dari pelbagai dinamika politik nasional dan hasil kesediaan kepimpinan memposisi kepentingan perjuangan, PAS kini berada sekali lagi di kedudukan penting yang sekaligus menuntut parti Islam ini terus membuat beberapa pilihan strategik.

Paling kritikal, atas pilihan strategik ini pula akan ditentukan keupayaan dan kelangsungan PAS, samada untuk terus mara menempah kejayaan yang lebih besar atau berpatah balik seumpama yang disaksikan pasca-kejayaan PRU ke-10, yakni keputusan PRU ke-11 April 2004 yang mengembalikan PAS pada garis sokongan tegarnya, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Maka di ambang Muktamar ke-55 ini, punya cita-cita besar bagi meletakkan seluruh kepimpinan parti, aktivis, pendukung dan pencintanya, supaya sedar dan insaf, bahawa sekali lagi, kita berada di persimpangan kritikal ini.

Umum bahkan dunia, sedang memerhatikan penampilan serta pengolahan ‘Risalah Perjuangan Parti Politik Islam’ ini, dalam persaingan mendominasi kuasa abad 21 Masihi-15 Hijrah.

Khususnya di persada pertarungan politik sebuah negara-bangsa yang punya demografi cukup plural atau majmuk, di segi pertentangan pelbagai tuntutan agama, etnik dan budaya yang bersifat 60:40 Islam:Bukan-Islamnya. Cabaran inilah yang cuba digarap dalam penulisan ini, bagi menyambung penulisan lalu “Meniti Tuntutan Perjuangan Pasca Muktamar ke-55”.

Penulis ingin pertama-tamanya merakamkan perasaan terkilannya, bahawa polemik kepimpinan Ulama-Profesional telah menelan waktu, tenaga dan penumpuan yang agak keterlaluan.

Yang lebih penting dari kesemua itu sewajarnya ialah menekuni serta mentakrifkan tuntutan perjuangan yang bakal dipikul kepimpinan yang akan dipilih.

Dengan kejelasan itu, akan terserlah gandingan pasukan kepimpinan yang diperlukan bagi memantapkan lagi kepemimpinan Presiden memacu dan melonjakkan parti ke garis prestasi ke keluk yang seterusnya.

Maka membicarakan pilihan strategik di ketika ini adalah satu yang ‘dhoruri’ dan paling tidaknya sangat dihajatkan parti dalam rangka tuntutan kebijaksanaan perjuangan.


MENGGANTIKAN KEPIMPINAN UMNO BAGI KELOMPOK ISLAM MELAYU

Seperti yang ditegaskan kepimpinan tertinggi parti umpama Pengarah JK Pilihanraya PAS Pusat, waktunya telah tiba untuk mengambil alih kedudukan Umno selaku parti politik pilihan nombor satu untuk kelompok demografi pengundi Melayu-Islam di Negara ini.

Meski pun telah acap disebut termasuk salah seorang calon Timbalan Presiden, belum ada satu kejelasan strategi yang pernah dilakarkan kearah itu.

Sementara PAS berada di tahap paling kukuh dan kuat, Umno sebaliknya sedang berada di tahap paling lemah dalam laluan usia politiknya. Sebelum kita dikatakan berkhayal, PAS (dan Pakatan) perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan 72 kerusi parlimen yang memiliki 2/3 majoriti Melayu-Islam dan 42 kerusi di mana yang majoriti mudahnya adalah pengundi Islam-Melayu. Selebih 51 kerusi parlimen yang lain adalah kerusi majoriti Bukan-Melayu, di mana 18 adalah kerusi majoriti 2/3 dan 33 adalah kerusi majoriti mudah Bukan-Melayu.

Jumlah kerusi pertarungan di Semenanjung ialah 165. Nah, perhatikan baik-baik apa maksud untuk menumbangkan Umno sebagai parti untuk orang Melayu-Islam.

Penulis, seorang optimis tegar seperti didakwanya, yakin bahawa objektif tersebut mampu dilakukan.

Telahan para ‘pundit’ politik meramalkan Umno tidak akan dapat memugarkan atau ‘reengineer’ kembali perjuangan sehingga parti Melayu terbesar itu mengalami kekalahan kuasa di peringkat Pusat dan belajar semula selepas menjadi pembangkang untuk satu jangka waktu.

Menarik tesis tersebut. Tidak mustahil kerana kemenangan disilih gantikan Allah SWT. (al-ayat).

Pun begitu, di segi perhitungan politiknya PAS perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan pilihanraya umum akan datang. Untuk ingatan, PAS bertanding dalam 64 kerusi parlimen di Semenanjung, sementara memenangi 27 kerusi.

Umno sebagai perbandingan, menguasai 78 kerusi di Semenanjung. Sebutan mengambil alih kedudukan Umno sebagai parti pilihan orang Islam-Melayu wajar menyedari tuntutan realitinya.

PAS dalam ukuran politik hari ini sudah melepasi kekangan prestasi tradisinya. Dulu, PAS hanya mampu menang dalam pertandingan kerusi-kerusi yang berada dalam ‘Malay Belt’ atau Kawasan Melayu di Utara dan Pantai Timur.

PAS telah memecahkan tembok ini dalam pola Politik Baru dan bersedia memenangi kerusi-kerusi campuran 60:40 bahkan lebih ‘mixed’ dari itu seperti kerusi Kota Raja. Tegasnya PAS telah menemui formula dan resepi kejayaannya.

Persoalan buat kepimpinan kini ialah: Apakah yang perlu dilakukan kepimpinan parti untuk seterusnya merealisasikan cita-cita mengambil alih kedudukan Umno? Apakah yang bakal menghalang pencapaian objektif ini?


BERSAMA MENGGANDINGKAN KEKUATAN MENJATUHKAN UMNO-BN

Muktamar ke-55 ini juga membawa erti besar untuk parti Islam yang terbesar di negara ini, sekali lagi mempertegaskan komitmennya untuk menyaksikan tumbang kuasa yang telah memerintah negara selama lebih 5 desawarsa.

Lanjutnya kuasa ini telah menafikan negara dan rakyat mengecapi kesejahteraan hidup sebenar sesuai dengan kedudukan negara yang memilikki sumber per kapita antara tertinggi di dunia kerana pelbagai kebobrokan gelagat segelintir pemerintah yang sarat rasuah, kerakusan dan mementing diri.

Amalan demokrasi rosak sementara institusi kehakiman terus reput dan badan legislatif dicekik kuasa Eksekutif.

Media Baru memerdekakan rakyat dan pengundi. Tekanan ke arah pertanggungjawaban dan ketelusan menuntut kerajaan mendedahkan segala kecurangan yang dilakukan pihak pemerintah. Terkini skandal besar PKFZ yang bakal menelan RM12.8 bilion, sebagai ‘mercu tanda’ pengurusan sarat rasuah Umno-BN.

Umno-BN sudah sampai ke penghujung usianya. Mereka wajib di kalahkan dalam PRU ke-13 bagi mengangkat martabat, maruah dan daya saing negara.

Tidak ada kemungkaran yang lebih jelek dan membinasakan watak negara-bangsa ini amnya dan ummat Islam khususnya dari kehidupan yang menjauhkan manusia dari fitrahnya untuk memakmurkan bumi dan mensejahterakan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

PAS bergandingan dengan komponen parti Pakatan Rakyat, KeADILan dan DAP, berupaya melakukan sesuatu yang ajaib dan bijak dalam Politik Permuafakatan atau Tahaluf Siyasi (Coalition Politics).


SINDROM TAKUT KALAH UMNO, TAKUT MENANG PAS

Di persimpangan ‘Politik Transisi’ yang serba tidak menentu ini, Umno jelas telah dihinggapi ‘Sindrom Takut Kalah’ atau ‘Atichyphobia- Fear of Failures’, sehingga sanggup memberi laluan mudah di Penanti. Umno akan terus dihantui ketakutan dahsyat ini sehinggalah dapat menjalani rawatannya.

Namun PAS juga ditanggapi menghadapi satu fenomena yang sama tetapi sedikit berlainan. Apa yang dialami PAS kini ialah ‘Sindrom Takut Kejayaan - Fear of Success’.

PAS bukan takut dikalahkan tetapi lebih takut kejayaan akan mengakibatkan parti Islam kehilangan aAl-Asolahnya’ atau ‘Ketulenan keIslamannya’ lantas curiga serta khawatir untuk menempuh ‘jalan-jalan’ yang ditanggapi bukan lebuhrayanya bahkan didakwa sesetengah pihak berpotensi membawa kelunturan, pelarutan dan penyimpangannya dari cita-cita perjuangannya.

Penulis memerhatikan bahawa di sebaliknya polemik Ulama-Profesional, tersirat secara lebih mendalam tekanan sindrom ini, khususnya kepada golongan tertentu yang tidak dapat mentasawurkan proses dan gelagat perubahan yang wajar di pacu PAS dalam persaingan di gelanggang politik pluralis yang punya matlamat yang saling bertentangan dan bersimpang-siur.

PAS sangat berhajatkan dirawat dengan tekunan ilmu yang lebih mendalam dan keberanian ijtihad para ulama harakinya untuk keluar dari bahana sindrom ini.


KESIMPULAN

Di persimpangan kritikal ini juga, PAS perlu tahu bahawa Umno bukan kawan tapi lawannya. PAS wajar menegaskan bahawa Pakatan Rakyat adalah wasilah paling bijak bertepatan dengan tuntutan waqi? dan fiqh siyasi serta berpadanan dengan maslahah perjuangannya.

PAS sangat perlu menekuni kebijaksanaan untuk menampilkan terus ‘tag-line’ – ‘PAS Untuk Semua’ dan ‘Islam Untuk Semua’ melalui program-program perjuangan yang lebih ‘Inklusif’ menggamit serta melebarkan tapak sokongan, sementara memperkukuhkan kemurnian agenda Islam bagi sokongan tegar Melayu-Islam.

Sebagai contoh kecil, sedikit waktu lalu beberapa tokoh muda ulama PAS cukup berani membicarakan tentang zakat yang harus dipanjangkan kepada golongan ‘asnaf muallaf’ termasuk yang bukan-Islam seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Tegasnya, PAS wajar keluar dari kotak pemikiran terlalu ‘fiqhiy’ (legalistik) kepada paradigma pemikiran ‘Usuliy dan Maqasidiy’ (Prinsip dan Maksud) lantas berani memposisi Islam dengan lebih mantap lagi dengan hujjah tekunan ilmu Islam yang lebih ‘daqiq’ (mendalam) dan intelek yang lebih peka dengan realiti semasa.

Terlalu banyak yang perlu digarap termasuk hiburan, mua’malat kewangan-ekonomi, pembangunan sosial, pendidikan dan pertentangan perundangan itu sendiri.

Inilah antara pengisian agenda “Penampilan Agenda Politik Islam PAS” dalam persaingan era baru. PAS mengongsi Keadilan serta Kesejahteraan sistem Islam kepada semua dan Aqidah Islam kepada yang meyakini.

PAS tidak wajar mengulangi kesilapan pendekatan terlalu ‘eksklusif’ dan ‘centrik’ yang meminggir rakyat dan pengundi dan dalam kedudukan yang tidak difahami kecuali penyokong tegarnya di kawasan-kawasan tradisinya.

Kesemua ini adalah agenda kepimpinan yang wajar diperbahaskan dan dicermati dengan lebih mendetail dalam Muktamar yang mempersiapkan parti untuk menempah kejayaan yang sama-sama di ingini dan diperjuangkan.

Memang benar kejayaan bukan segala-galanya, namun segala-galanya menantikan kejayaan bagi melakasanakam cita-cita perjuangan! – harakahdaily.net

Penulis : YB Dr Zulkifli Ahmad . Ahli Parlimen Kuala Sealangor/Ketua Penyelidik PAS Pusat.

2 comments:

  1. Penulis blog:

    Ingin saya lahirkan rasa kekecewaan terhadap pas.
    Dulu saya menghormati pas sebagai sebuah parti yang suci,kini apabila pas menyertai PKR serba banyak kelihatan fahaman sekular didalam pas.
    Bersekongkol dengan DAP perkara yang sungguh memalukan!!! Rakyat khususnya MELAYU dapat menerima parti MCA,tetapi kenapa tidak DAP?
    Dalam penemuan kajian soal selidik saya,rata rata orang melayu menolak DAP yang dalam diamnya menyetubuhi Parti Pas kerana terdapat agenda dan kepentingan mereka sendiri. Dalam
    konteks ini,saya melihat Pas seolah olah dipergunakan DAP untuk mengambil alih negara dan Aset melayu Khususnya Bumiputera. Dengan ini matlamat mereka untuk memansuhkan perlembagaan persekutuan yang menlindungi hak- hak orang melayu dan ISLAM khususnya akan tercapai.
    Saya amat berduka cita dengan pas.Terlalu banyak khususnya dalam konteks AGAMA,PERUNDANGAN,PENTADBIRAN dan pelbagai lagi turut saya kesali...
    Menyokong DAP ibarat menyokong ISRAEL..
    semoga Allah bersama orang2 yang benar..

    ReplyDelete
  2. Suara Siswa....
    Hujah dangkal saudara seolah-olah saudara bukan seorang siswa... umpama soalan kanak-kanak darjah 5 yang bakal nak ambil UPSR...

    UMNO dan PAS umpama langit dan bumi....
    PAS bekrjasama dengan DAP masih ada batas-batas yang harus dalam Islam, paling kurang mesej dakwah Islam dapat disampaikan, itu yang penting, samada DAP nak terima atau tidak itu bukan urusan kita, tanggungjawab PAS ialah menyampaikan seruan Islam.
    Berbeza dengan UMNO yang berbaik dngan MCA sampai sekarang MCA menetang kerja Islam, sebabnya UMNO pun sama sejenis dengan MCA.. cuma raut wajah dan pertutran saja yang berbeza....

    ReplyDelete