Pages

Saturday, June 6, 2009

Ulama - Oh - Ulama....

DAHULU Umno pernah, melalui perhimpunan agungnya mengusulkan yang jawatan Presiden dan Timbalan Presidennya tidak ditandingi, dan ia sempat juga terpakai untuk tempoh beberapa waktu.

Ketika itu pembangkang yang kini bergelar Pakatan Rakyat sangat lantang mengkritik perkembangan ini, dakwa mereka demokrasi dalam Umno sedang mati dan masyarakat di lingkungan Umno sedang dibentuk menjadi yes man.

Minggu ini menyaksikan persada politik negara agak disibukkan dengan muktamar tahunan PAS, kebetulan pula tahun ini adalah tahun pemilihan. Tiba-tiba ada komen yang mengatakan bibit-bibit Umno sedang bercambah dalam PAS. Bukan hanya kerana pertentangan politik puak muqabalah dan erdogannya, tetapi yang paling menghairankan, dalam satu langkah mengejutkan, Dewan Ulama PAS yang bersidang semalam telah meluluskan usul supaya jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan salah satu dari Naib Presiden dijawat oleh ulama.

Bukan niat memperkecilkan kemampuan ulama, tetapi persoalan besar yang berlegar adalah sejak bila ulama pandai menuntut kuasa? Bukankah juga ada sabda Nabi s.a.w seperti yang diriwayatkan Muslim, yang bermaksud, daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."

Tidakkah usul ini akan menyempit dan mematikan demokrasi dalaman PAS sepertimana tuduhan yang dlemparkan terhadap Umno bila mereka mengusulkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi? Dan tidakkah usul ini turut senada dengan tindakan Umno mengenakan peratusan pencalonan tertentu bagi jawatan-jawatan yang ditandingi dalam perhimpunan agung mereka?

Usul yang dibawa oleh Dewan Ulama Negeri Terengganu ini dihujahkan dengan alasan bahawa para ulama banyak memegang peranan sebagai pemimpin dan mengembangkan PAS ke seluruh tanah air sehingga PAS bukan sahaja diterima oleh orang Islam dan bukan Islam tetapi juga di persada antarabangsa. Ucapan ini sudah mula bernada bongkak dan ujub, lebih dari itu ia menakutkan saya, adakah ini sifat ulama?

Siapakah ulama dalam Dewan Ulama PAS? Macam mana Dewan Ulama PAS menetapkan kriteria keahliannya? Adakah hanya kerana mempunyai ijazah dalam bidang perundangan Islam dari Al al-Bayt University, Jordan, isteri saya misalnya layak menjadi ulama dengan menyertai Dewan Ulama PAS?

Sedangkan sefaham saya, secara formalnya maksud ulama adalah pewaris nabi, iaitu mewarisi sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanahnya. Sifat pertama iaitu siddiq bermaksud benar dan membenarkan sesuatu yang benar.

Hubungan takrif ini dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama Negeri Terengganu ialah dia tidak siddiq, membohongi sesuatu yang benar, iaitu tentang sejarah PAS sendiri! Bukankah PAS begitu progresif pergerakannya di bawah kepimpinan Allayarham Dr. Burhanuddin Helmi, seorang pemimpin Islam kiri yang bukan ulama. Bukankah PAS di Kelantan mula berkembang pesat di bawah ketokohan kepimpinan Asri Muda, yang juga bukan dari kalangan ulama? Sehingga dari kalah semua kerusi di Kelantan, PAS kemudiannya bangkit menguasai dan memerintah negeri tersebut melalui Pilihanraya Umum 1959.

Memang satu rahsia umum bahawa ramai kalangan pimpinan PAS tidak mahu mengulang-ulang cerita ketokohan dan kehebatan pemimpin PAS yang seorang ini, kerana Asri Muda dari seorang yang diangkat sebagai Yang DiPertua (baca: Presiden) PAS kemudiannya telah meletak jawatan pada tahun 1982 dan keluar parti serta menubuhkan Parti Hizbul Muslimim Malaysia pada tahun 1983. Sebelum itu Asrilah, yang bukan ulama ini yang bertanggungjawab membawa PAS menyertai Barisan Nasional, hari ini lagu serupa didendangkan oleh golongan ulama dalam PAS lewat idea muzakarah, muqabalah dan kerajaan perpaduannya. Padahal golongan yang sama yang menggelarkan mereka sebagai puak “Kebangkitan Ulama” inilah yang mendesak Asri Muda meletak jawatan atas pelbagai tuduhan rasuah bermula selepas tahun 1977 bila PAS dipecat dari Barisan Nasional. Teringin juga mahu bertanya kepada Dewan Ulama PAS, terutamanya kepada pemimpin yang sezaman dengan Asri, sudah berjayakah dibuktikan tuduhan rasuah itu?

Di tengah-tengah kehebatan dua tokoh awal PAS ini, pemimpin Dewan Ulama PAS mungkin terlupa seorang lagi tokoh hebat dan profesional yang memimpin PAS sezaman dengan Burhanuddin dan Asri.

Dia adalah Profesor Zulkifli Muhammad, bekas Timbalan YDP PAS, jawatan yang hari ini menimbulkan banyak ribut politik. Atas jasa Asri Muda juga, Profesor Zulkifli didatangkan ke Kelantan dan bertanding di Parlimen Bachok dalam Pilihanraya Umum 1959. Dia menang dan kemudiannya (sampai hari ini) dikenang sebagai tokoh yang sangat dihormati dan dikagumi kawan serta lawan.

Begitu besarnya jasa golongan bukan ulama dalam memimpin PAS di zaman sukar dahulu. Usul Dewan Ulama PAS semalam bukan sahaja menggambarkan sifat tidak siddiq, bongkak dan merasa ujub, lebih dari itu telah dan akan menghiris perasaan banyak pihak. Apa kata Mat Sabu yang telah menyerahkan segala jiwa-raganya untuk PAS, apa kata Salahuddin Ayub yang telah memimpin Pemuda PAS di zaman susah dan di zaman senang, apa pula kata Ir. Nizar yang telah berhempas-pulas mempertahankan maruah PAS di hadapan lawan, di hadapan rakyat bawahan, di hadapan undang-undang dan di hadapan Sultan?

PAS, sempena muktamar ini harus mengambil ketetapan yang tegas. Bukan tidak penting bagi memikirkan pengwujudan sayap baru bagi bukan Islam, namun yang lebih penting adalah memastikan sayap-sayap parti sedia ada berfungsi secara berkualiti dan dianggotai oleh orang yang berkualiti.

Jangan kerana namanya Dewan Ulama, maka semua orang boleh menjadi ulama dengan hanya menganggotainya. Sama ada betul ulama atau “nampak macam ulama,” mereka tetap manusia biasa yang tidak terlepas dari rasukan. Dan sesungguhnya rasukan yang lebih besar dari merompak, merogol dan membunuh adalah syirik yang tersembunyi, iaitu merasa sangat bangga diri bila berjalan di bumi Tuhan ini, merasa merekalah yang paling berhak diangkat ke satu kedudukan.

Mujurlah Jawatankuasa Usul Muktamar PAS menolak usul Dewan Ulama ini, dengan sebab ia memerlukan pindaan perlembagaan parti bagi membolehkan ia dibahas. Yang mempengerusikan Jawatankuasa Usul ini adalah Mahfuz Omar, kebetulannya adalah bukan dari kalangan ulama.Jangan pula nanti Mahfuz turut dituduh Erdogan!

Penulis = Zukri Aksyah..LINK

1 comment:

  1. Kita tgk la prestasi yg dilantik ni pulak.. agak2 KPI merudum, lain kali takyah undi dah.. bukak mata dan telinga..guna akal utk menilai..jgn dok syok sendiri smp kuarkan usul hanya ulamak je boleh pegang jawatan tertinggi.. kecik hati org yg bukan ulamak nnt.. pandai2 la jaga ukhwah sesama jemaah.. ni nnt yg bukan islam nampak mende camni, langsung kelab penyokong pas ditinggalkan..

    ReplyDelete