Pages

Tuesday, August 18, 2009

Pergi Jahanam Lah UMNO.. BN Tidak Pernah Bohong...

BN tidak pernah bohong pengundi, itu kata Muhyiddin semalam, selepas proses penamaan calon sempena Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir. Tambah Muhyiddin BN selalu memberi kenyataan berdasarkan fakta yang betul.

Ikut logik Muhyiddin, maka betullah tuduhan beliau yang Anwar Ibrahim pengkhianat, bukan pengkhianat Melayu, tetapi Anwar mengkhianati Umno. Anwar dibesar, dididik, diasuh, dibekalkan secukupnya dengan ilmu politik oleh Umno. Anwar di dalam Umno dahulu ditatang bagai minyak yang penuh, makan pun di tapak tangan Umno.

Kalau berdasarkan teori Muhyiddin ini, maka Nabi Musa pun pengkhianat, sebab sebelum muncul memimpin kaumnya, Nabi Musa melalui sejarah “mewah” seperti Anwar juga. Kalau Anwar dibesarkan secara politiknya dalam istana Umno, Nabi Musa pula membesar di dalam istana Firaun, menjadi “anak” kesayangan Firaun.

Nabi Musa khianat kepada Firaun, Anwar khianat kepada Umno. Sesungguhnya Muhyiddin tidak berbohong. Tetapi apakah Muhyiddin bertanya, kenapa Nabi Musa khianat kepada Firaun, kenapa Anwar khianat kepada Umno? Kenapa mereka tidak mengenang budi? Muhyiddin harus meneliti sebuah pantun Melayu lama;

Banyak padi perkara padiPadi yang mana ditanam orangBanyak budi perkara budiBudi yang mana dikenang orang?

Kenapa ada budi yang dikenang orang, kenapa ada budi yang tidak dikenang orang? Kenapa budi Firaun tidak dikenang Nabi Musa, kenapa budi Umno tidak dikenang Anwar?

Muhyiddin juga tidak berbohong bila mengatakan yang pengkhianat itu adalah orang yang mencetuskan isu berbaur perkauman. Ya, saya akui dalam negara yang pelbagai etnik ini, isu perkauman memang menjadi sangat sensitif dan jika salah pembawaan boleh menjejaskan keamanan negara.

Pernahkah Muhyiddin melayari laman web Umno Reform atau blog Arah Kita? Siapa Anuar Mohd Nor yang menjadi editornya? Bukankah beliau yang menulis tentang Melayu Dalam Bahaya, Pertahan Hak Melayu – Ketuanan Melayu, sehingga yang paling ekstrim Tanah Melayu, Ketuanan Cina? Tidakkah tulisan ini berbaur perkauman yang amat sangat? Apakah bagi Muhyiddin, Anuar Mohd Nor seorang pengkhianat?

Atau bagi takrif Muhyiddin, isu perkauman itu maksudnya bila ada sekumpulan rakyat bangkit marah dengan kematian mendiang Teoh Beng Hock yang ditemui mati di atas bumbung sebelah ibu pejabat SPRM Selangor? Hanya semata-mata kerana Beng Hock itu Cina, maka penyokongnya menjadi rasis? Apakah di Malaysia yang pelbagai etnik ini, orang Melayu hanya boleh menyokong Melayu, orang Cina hanya boleh menyokong Cina, orang India hanya boleh menyokong India? Tidakkah itu lebih rasis dan perkauman bentuknya?

BN memang tidak berbohong bila seperti kata Muhyiddin yang BN selalu memberi kenyataan berdasarkan fakta. Fakta yang saya juga setuju adalah BN berjasa membangunkan negara sampai ke tahap seperti sekarang ini. Memang ini benar kerana sejak Malaysia merdeka sehingga sekarang, kerajaan hanyalah dikuasai oleh BN (dahulunya Perikatan). Tiada parti lain yang pernah memerintah Malaysia selain BN. Tetapi beranikah pula untuk Muhyiddin mendedahkan fakta di sebalik pembangunan yang terbina ini, berapa ramai pula pemimpin yang korup dan rasuah yang telah BN lahirkan? Sekarang Ezam sudah berbaik dengan Muhyiddin, sudah tentu saya kira Muhyiddin boleh meminta jasa baik Ezam untuk meminjamkannya dokumen rasuah Rafidah Aziz dan Rahim Thamby Chik yang pernah didedahkan Ezam dahulu.

Kalau betul Muhyiddin berani untuk bermain dengan fakta, beranikah pula beliau memohon izin dari ketuanya, Najib bagi memeriksa akaun Negeri Pahang? Beranikah Muhyiddin mendedahkan maklumat tentang akaun Negeri Pahang kepada umum. Mengapa belanjawan Negeri Pahang defisit 12 tahun, berturut-turut? Bukankah Pahang sebahagian dari kebanggaan BN sebagai antara kubu kuat mereka yang tidak lut tsunami politik 2008? Beranikah Muhyiddin memohon perkenan Yang DiPertuan Agung bagi melucutkan Tun Khalil Yaakob dari jawatan Tuan Yang Terutama Negeri Melaka, kerana wujud dakwaan salahurus hasil Negeri Pahang ketika menjadi Menteri Besar di sini dahulu? Jumlahnya bukan sedikit, mencecah di antara RM1.5 – RM4.5 bilion!

Nyatanya BN tidak berbohong dalam dakwaannya tentang jasa membangunkan negara, tetapi Muhyiddin yang mungkin sedang ghairah berada di kerusi nombor dua itu, terlupa untuk melihat natijah dari pembangunan ala BN ini. Mengikut rekod kewangan sebelum Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu, Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS, selain Sarawak, adalah negeri yang mempunyai tunggakan hutang paling rendah berbanding dengan semua negeri yang diperintah oleh BN. Sanggupkah Muhyiddin memuji pentadbiran Nik Aziz kerana hal ini?

Muhyiddin turut betul dan tidak berbohong bila menyatakan BN dan Malaysia di bawah kepimpinan Najib telah banyak mengusahakan pembaharuan yang selari dengan selera rakyat. Tetapi bukankah konsep 1Malaysia Najib itu adalah lanjutan konsep Keadilan Untuk Semua yang menjadi slogan Parti Keadilan Rakyat? Tidakkah hak untuk semua rakyat yang pintar, apalagi dari keluarga miskin untuk mendapat biasiswa telah diperjuangkan oleh PKR melalui slogan Keadilan Untuk Semua itu jauh sebelum hadirnya Najib dengan idea Biasiswa Nasional? Tidakkah rasional di belakang idea Biasiswa Nasional itu juga selaras dengan cadangan membenarkan 10% kemasukan bukan Melayu ke UiTM oleh Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang juga dari PKR? Yang terbaru, kabinet di bawah teraju Najib mengumumkan pemansuhan ruangan “kaum” dalam kebanyakan borang dan dokumen kerajaan. Sekali lagi, bukankah ini sejajar dengan slogan Keadilan Untuk Semua anjuran PKR, atau lebih ekstrim, senada dengan idea Malaysian Malaysia oleh DAP?

Atau, bagi Muhyiddin segala apa yang diusahakan Kerajaan BN pimpinan Najib adalah pembaharuan untuk rakyat, sementara jika ia gagasan Anwar, maka ia adalah lambang pengkhianatan kepada Melayu?

Oh ya, sebelum datangnya Pilihanraya Kecil Permatang Pasir ini, kita baharu sahaja melalui Pilihanraya Kecil Manek Urai di Kelantan. Di sana Muhyiddin ada berjanji yang Presiden Petronas sendiri akan mengeluarkan kenyataan tentang status royalti minyak kepada Negeri Serambi Mekah ini. Saya menunggu juga, sampai sekarang saya belum dengar khabar beritanya. Apakah BN melalui Muhyiddin telah terbohong, atau saya yang terlepas pandang?

Oleh ZUKRI AKASAH.

No comments:

Post a Comment