Pages

Thursday, August 20, 2009

Pergi Jahanam Lah UMNO.. Selamat Berpuasa....

Salam Sejahtera...

Kurang dari 48 jam lagi Insyaallah kita umat Islam akan menyambut Ramadhan Al Mubarak, harapan ku agar Allah memanjangkan umur ku sehingga selesai Ramadhan buat tahun ini, dan aku ingin mengambil kesempatan kepada semua pengunjung blog MM ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan, Ahlan Wah Sah lan...aku mohon maaf jika ada tulisan-tulisan aku selama ini ada yang menyakiti hati dan perasaan kalian, sama-samalah kita mengambil peluang yang Allah kurniakan kepada kita dalam bulan Ramadhan ini.

Di sini aku terbaca satu artikel yang agak sesuai sebagai tazkirah untuk kita nak menyambut Ramadhan.. aku copy dan buat sedikit edit.....

UNSUR MADANI DALAM RAMADAN

Oleh
A. Rahman Basrun

LUSA bermula Ramadan - sudahkah anda buat persiapan? Maksud saya bukan hanya soal makanan. Tak saran pun, saya pasti peti sejuk dan almari sudah sarat kita isikan untuk bekalan sebulan.

Malah, sesetengah kita sejak Syaaban lagi sudah mula 'isi tangki' dengan ingatan boleh kuruskan badan bulan puasa nanti.

Tahun-tahun kebelakangan ini, trend buat persiapan untuk Raya sebelum muncul Ramadan pun kian menjadi. Logiknya, supaya ibadat puasa kelak tidak terganggu, lebih syahdu, santai dan tertumpu.

Tempah baju Raya? Cek! Langsir? Cek! Kuih Raya? Cek? Permaidani? Cek! Cat rumah? Cek! Van/kereta/bas sewa? Perabot baru? TV 100 inci? Cek, cek, cek! Cek punya cek, yang tersenyum cik adik, yang termenung cik abang kerana tak habis-habis tulis cek (sampaikan ada cek tendang...)

Tengok saja peniaga musiman orang kita. Awal-awal lagi sudah 'recce' lokasi gerai di bazar, buat tempahan.

Bagus wawasan sebegitu. Ia tanda orang kita semakin celik dan cerdik tentang perancangan.

Bak sabda Nabi saw dulu, nak buat baik pun kena rancang, kerana jika tidak, silap-silap keburukan yang lebih terancang yang menang.

Lantaran itu, besar harapan saya kepandaian orang kita merancang untuk bulan puasa dan Raya melimpah ke lain-lain bidang.

Misalnya, Ramadan nanti ramai anak kita yang duduk periksa, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah UPSR dan selepas itu Pengajian Menengah Rendah (PMR) dan awal November Sijil Pelajaran Malaysia.

Sudahkah ibu bapa yang terlibat membuat perancangan sewajarnya - sehebat persiapan bagi puasa dan Raya?

Apakah belanja bagi kuih Raya, langsir, baju kurung dan seumpamanya setara belanja untuk pendidikan anak kita?

Padahal langsir dan baju kurung kian hari jatuh harga, sedangkan ilmu yang diraih tidak pernah lusuh nilainya.

Kita umat Melayu Islam harus tanamkan sikap menabung untuk masa depan anak-anak, orang kita harus menabung untuk persekolahan anak. Kalau tidak mampu, simpan dulu dompet dalam saku.

Sekilas lagi pesanan sempena Ramadan:

Kelak bulan Ramadan, BUKAN bulan Ramakan.

Memanglah berbuka satu nikmat, tetapi berbuka pun bukan maraton atau peraduan makan.

Kasihan orang di sebelah kita semasa tarawih nanti, kerana terpaksa layan sendawa kita setiap kali bangun dari rukuk dan sujud.

Baik sekiranya kita amalkan makan seolah-olah kita di restoran mahal - perlahan-lahan kunyah dan hayati setiap suapan. Nabi sendiri kunyah sekurang-kurangnya 40 kali.

Pada akhirnya, bagi seseorang yang sudah berpuasa sehari suntuk, sekeping roti bersapukan mentega dan gula diiring segelas air madu pun akan terasa seperti masakan cef handalan.

Memang ada bufet dalam Ramadan - tetapi BUKAN bufet restoran.

Sebaliknya, bufet amalan - tahajud, baca Al-Quran, zikir dan seterusnya - bagi kita pilih-pilih, rasa-rasa dan cuba-cuba dan kemudian teruskan melewati Ramadan.

Berpuasa ibarat masuk program spa, BUKAN penjara atau pusat pemulihan.

Bagi sesetengah kita, puasa ibarat 'seksaan' hinggakan timbul gastrik dan perasaan seolah-olah kita banduan. Padahal, yang terbelenggu syaitan agar kita bebas menjalankan segala tuntutan berpuasa.

Kalau dulu nak baca Al-Quran ada 'bisikan' tonton sinetron dulu, dalam Ramadan tak ada alasan untuk ini.

Kalau dulu nak ke masjid, ada 'hasutan' tukar haluan ke kedai kopi, mulai lusa tak boleh salahkan syaitan dan iblis lagi.

Kerana itu berpuasa sebenarnya macam pergi spa, kerana di akhir program sebulan nanti terjamin kita jadi lebih langsing, sihat, segar dan tenang. Itu pun kalau kita patuhi segala pantang larang.

Bulan puasa BUKAN bulan kemas rumah. Ia bulan kita renungi dan perkemas diri.

Ramadan beri kita peluang meninjau dan mengemas kini amalan harian diri kita dan keluarga - mana yang buruk kita buang, mana yang baik kita kekal dan pertingkatkan.

Tiada ertinya rumah kemas, tetapi keluarga tunggang-langgang - ibu bapa ke mana, anak ke mana.

Bulan puasa bulan ujian, tetapi bagi iman.

Ia BUKAN bulan uji kemahiran kita buat kek kukus, masak rendang atau anyam ketupat.

Ia bukan ujian cari kuih Raya paling unik.

Ia bukan ujian kecerdikan kita cari diskaun terbesar di bazar.

Akhir kalam, sayang sekiranya orang Islam tidak hargai ibadat puasa Ramadan yang tiada tandingannya sezaman.

Memanglah agama lain pun ada anjuran puasa, tetapi tidak selama dan seberat puasa Ramadan. Pun puasa mereka kebanyakannya membolehkan alas perut dengan makanan ringan atau minuman.

Puasa Ramadan pun tidak seberat santhara - di mana penganut Jain dibolehkan berpuasa hingga sampai ajal seperti yang dilakukan Cik Keila Devi Hirawat di India pada 2006.

Kemampuan orang kita menahan diri waktu siang selama 30 hari tanpa makan dan minum (dan rokok) adalah sesuatu yang disegani dan patut dimanfaatkan.

Hakikatnya, dalam Ramadanlah kita berupaya menunjukkan kemurnian peribadi selaku individu dan kesepaduan hati selaku umat.

Bayangkan betapa mengagumkan sebuah masyarakat yang setiap daripada ratusan ribu anggotanya menjauhi kejahatan dan menceburi kebaikan.

Itulah potensi Ramadan - sebagai pameran tamadun umat Islam, lebih gah dan menyentuh hati daripada sebarang acara lain.

Anda dipersila turut jadi peserta lusa nanti.

Komen: Sama-samalah kita perhati balik, apakah perkara seperti di atas ada pada kita, jadi perbetulkanlah balik… buat diri aku memang ada juga tu….

No comments:

Post a Comment