Pages

Saturday, October 24, 2009

Bajet sulung Najib, macam ada tak kena.

Oleh Dr Dzulkefli Ahmad.

YAB Perdana Mentri selaku Mentri Kewangan telah membentang Bajet sulungnya petang semalam. Beliau sangat berhajatkan Bajet 2010nya itu disokong semua golongan dan lapisan rakyat kerana ia bertemakan “I-Malaysia — Kemakmuran Bersama”. Najib tidak melepaskan peluang ini untuk melonjakkan lagi momentum kemenangan Bagan Pinang seperti yang diungkapkan dihujung ucapan hampir 2 jam itu. Tampaknya dia puas dengan prestasi penyampaiannya dari wajah mukanya.

Umum mengetahui, seperti dirinya juga tahu, bahawa melepasi segala jenis “imbuhan” serta pelbagai peruntukan fiskal samada berbentuk subsidi mahupun penurunan cukai kepada setiap segmen rakyat, realiti yang menanti tidaklah seindah yang cuba ditampilkan. Defisit Bajet yang dianggarkan 7.6 peratus dari KDNK tahun 2009 ini perlu ditangani, seperti juga beban hutang kerajaan Pusat yang mencecah 52.4 peratus dari KDNK tahun 2009 melonjak dari 41.5 peratus tahun 2008. Pendapatan dari cukai menurun sebanyak 8 peratus — dari RM176.2 bilion yang diramalkan hanya RM162.1 bilion yang mampu dijana.

Kebergantungan pendapatan dari sumber minyak mentah dan gas dalam bentuk dividen, cukai, royalti dan duti ekspot minyak mentah dan gas sudah ke peringkat kritikal. Dari RM19 bilion pada 2004 kepada RM67.8 bilion tahun 2009 atau 43.5 peratus dari pendapatan kerajaan Pusat. Bukan sahaja ia satu yang tidak wajar, bahkan kita juga tidak menabung ketika sumber pendapatan ini lumayan. Kalau pada tahun 2005 Petronas menyimpan 42.5 peratus dari keuntungannya, kini ia hanya menabung 21.1 peratus dari keuntungannya. Bermakna kita telah membelanjakan kekayaan sumber anak-cucu kita.

Justeru, berlatarbelakangkan kesemua ini, Najib sudah tidak mampu lagi merumuskan Bajet yang “populis” yang disorak dan ditepuk oleh semua pihak. Najib mahu sahaja meneruskan momentum kemenangan Bagan Pinang dengan menampilkan Bajet yang terus mengukuhkan sokongan semua rakyat. Najib macam serba tak kena.

Ini adalah antara banyak dilema yang Najib depani kini. Kalau silap congakan, beliau tahu akan dihukum kemudian. Sebab itu ada perkara yang disebut, tapi macam tak mahu sebut. Contoh jelas ialah GST – Government Sales Tax. Cukai Jualan Kerajaan yang sifatnya cukai “Regressive” atau “mengena semua”. Beliau sebut juga tapi langsung tak berani mendetailkan. Najib semacam tak yakin itu baik bagi populariti, bahkan tak tahu meramal tekanan kepada rakyat nanti. Sebetuan tentang pemulihan ekonomi bukan mudah untuk diyakinkan.

Bahkan Najib diperingat bukan sahaja oleh pakar-pakar ekonomi antarabangsa bahkan juga think-tank tempatannya sendiri seperti MIER, bahawa ekonomi global mungkin sahaja akan mengalami pemulihan bukan berbentuk V (turun dan naik), tetapi W yakni dua kali V, maksudnya kebarangkalian akan berlaku sekali lagi kemelesetan selepas pulih sebentar tidak dapat ditolak sama-sekali. Parah dan ngeri juga buat dirinya, tambahan kalau-kalau berhampiran dengan musim pilihanraya.

Berlatarkan kesemua senario dan unjuran yang kurang senang dan tidak menentu ini, Najib terpaksa menelan nafsunya untuk bermewah atau bermegah secara melampau dengan pemberian subsidi, imbuhan atau penurunan cukai.

Sebaliknya, Najib terpaksa mendepani realiti pahit ini. Peruntukan wang sebanyak RM 191.5 bilion, yang meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM138.3 bilion adalah penurunan sebanyak 13.7 peratus dari tahun lalu (RM160.2 bilion, 2008). Malang pengurangan mengurus ini tidak dapat disalurkan kepada belanja pembangunan. Belanja pembangunan juga mengalami penurunan sebanyak 4.4 peratus atau RM51.2 bilion berbanding RM53.6 bilion pada tahun 2008.

Penulis sedia mengakui bahawa Najib telah cuba memberikan, seperti mana-mana bajet-bajet lain yang dibentangkan setiap tahun, pelbagai pemberian “penyedap hati”. Terlalu panjang kalau mahu dibsenaraikan akan seanika dan segala pemberian kepada setiap kelompok rakyat, atau lebih tepat lagi pengundi, samada kepada pelajar universiti, petani, nelayan, kakitangan awam, pesara, golongan pekerja persendirian yang tak berpencen, kelompok ibu yang punya anak kecil, pelepasan diri kepada pembayar cukai, kelompok miskin tegar, orang asli, OKU dan banyak lagi. Benar, pelbagai jaringan keselamatan sosial boleh dilaksanakan untuk kelompok yang “vulnerable” dan sensitif. Najib PM dan Mentri Kewangan pulak. Ini masanya.

Tegasnya semua dapat. Tidak ada yang wajar mengkritik kerajaan. Sepatutnya bersyukur. Mudahnya, apa lagi yang tak cukup yang diberikan Menteri Kewangan? Itu tidak termasuk segala peruntukan RM9 bilion tentang projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan termasuk luar bandar/kampung, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembentungan, pelabuhan dan perkhidmatan laut, serta projek lapangan terbang dan lain lain.

Kesemua yang tersenarai di atas adalah perkara “regular” atau lazim dalam sebuah bajet. Bezanya hanyalah jumlahnya. Di segi itu, tidak ada yang luar biasanya bajet Mentri Kewangan ini. Sebab itu ramai yang tidak teruja dan tepukan dan sorakan tidaklah semewah yang dihajati pembentang. Malang dan sedih juga isterinya yang hadir dalam Dewan yang mulia itu.

Akan tetapi yang lebih merunsingkan ialah golongan yang lebih celik ilmu ekonomi dan kewangan yang menunggu-nunggu hingga ke hujung. Tegasnya, Mentri Kewangan membuktikan bahawa beliau hanya mampu memahami masalah namun tidak pula menampilkan penyelesaian. Jauh lagi secara tuntas.

Bahkan “resipi dan rumusan” seperti yang beliau bentangkan boleh sahaja dimuatkan dalam apa jua pembentangan Bajet. Sifatnya generik atau boleh sahaja digunakan dalam apa jua keadaan. Macam ubat generik seperti panadol untuk pening/sakit kepala. Tetapi sayugia diingatkan bahawa sakit kepala punya pelbagai puncanya? Mungkin juga migraine, stress, hipertensi atau lebih parah dari itu — ketumbuhan dalam otak, space-occupying lesion, dengan izin.

Begitu juga dalam hal perumusan belanjawan ini.

Najib mungkin mengenalpasti penyakit namun dalam banyak hal rawatan dan ubatnya gagal dipreskripsi secara konsisten dan koheren.

Buat permulaan ambil sahaja isu “Pergantungan kepada sumber Minyak”. Kalau sudah sampai ke tahap 43.5 peratus pendapatan dari sumber minyak mentah, sayugia dingatkan kepada Najib, bahawa ekonomi negara ini masih lagi dikategori ekonomi tua atau “Old Economy” yang berteraskan kepada sumber asli. Tepat sekali kerana sumbangan pendapatan lain juga turut bergantung kepada minyak sawit, getah, galian, kayu-kayan yang kesemua sifatnya tak boleh diperbaharui.

Sudah sampai masanya bahawa negara benar-benarnya beredar dari pergantungan kepada “petroleum-based soucres” dan “commodity-based sources” kepada teras yang lain yang menjadikan ekonomi kita tergolong dalam “The New Economy” yang berteraskan kegiatan ekonomi yang sarat “Knowledge” atau Pengetahuan. Satu satu dekad sebutan ini di buat, tapi hanya tingal sebutan.

Rhetorik dan impian untuk menjana “knowledge workers” adalah ungkapan molok pemimpin BN sewaktu seminar. Benar-benar “lip-service” sifatnya. Sejauhmana pencapaian di segi ini mampu kita banggakan? Penjanaan “New Economy” juga dapat dibantu dengan “internet connectivity” yang berkualiti di segi kelajuan bukan hanya penembusan. Tapi negara kita jauh terkebelakang.

Kita beraleh kepada satu lagi mantra terkini yang kerap juga diulangsebut oleh pemimpin kerajaan terutamanya Menteri Kewangan sendiri. Dalam Bajet ini juga beliau mengulang sebut tentang membawa ekonomi negara ini dari “Low-Income Economy” kepada “High-Income Economy”. Ini adalah masalah kronik ekonomi negara ini. Kerajaan yang mahukannya kerana dulu itu faktor tarikan pelabur asing (FDI). Kini ia telah menjadi liabliti dan perangkap.

Benar juga kalau kita duduk di paras ini kuasa membeli dan permintaan domestik kita tetap tidak berupaya. Pendapatan per kapita negara ini hanya RM15,819 setahun berbanding negara seperti Singapura atau Korea Selatan atau Taiwan yang 3 atau 4 kali ganda. Bajet ini hanya sekadar menyebutkan bahawa kita perlu menjadi ekonomi yang punya pendapatan tinggi, tetapi tidak jelas cara, kaedah dan pendekatan untuk menuju ke matlamat tersebut. Najib lebih tahu masalah dari penyelesaian. Mungkin juga kerana ini bajet sulungnya.

Tambahan dengan kebanjiran pekerja asing yang tidak punya ketrampilan, maka negara akan kekal dengan kegiataan nilai-tambah yang rendah dalam sektor pertanian dan pembinaan. High-Income Economy bermula dengan memperkasa pembinaan modal insan yang bebas dan kreatif serta digalakkan dengan iklim kebebasan yang mampu akses maklumat dan hak berkarya. Ini berlawanan sifat dengan sebuah kerajaan yang takut memperkasa rakyatnya dengan maklumat dan kebebasan. sebaliknya mencekik rakyatnya termasuk ahli akademik dan bijak pandai dengan Akta – AUKU dan OSA dll. Kepimpinan negara wajar memahami erti kebebasan dan kemerdekaan serta menghayatinya.

Najib meletakkan harapan yang tinggi kepada sektor swasta untuk memacu pertumbuhan kerana pihak awam (G-factor) tidak lagi mampu menjana pertumbuhan kerana terhalang dengan defisit melebar dan beban hutang yang menimbun. Akan tetapi hakikatnya, Najib memberitahu bahawa FDI jatuh ke paras yang teruk, RM3.36 bilion dari RM19.7 bilion tahun lepas.

Apakah sebab utama pelaburan asing langsung tidak merasakan negara ini menarik? Apakah sebab yang diberikan oleh kajian World Economic Forum ketika Malaysia lucut 3 tangga? Disamping faktor keselamatan dan jenayah, utama ialah tanggapan “institutional framework” yang bermasalah. Apakah SPRM atau MACC, MCMC, SPK, SPR, Institusi Judisiari atau Kehakiman? Najib perlu sedar bahawa Bajet bukan sahaj hal-hal ekonomi dan kewangan. Persoalan besarnya ialah: Mampu kah kerajaan merangsang dan menggesa pihak swasta untuk menjana pertumbuhan?

Mampukah kerajaan memujuk syarikat-syarikat milik orang malaysia yang beroperasi di luar negara dan negara jiran untuk pulang, seperti yang di akui sendiri kini oleh Najib? Dulu kita kata di Parlimen, itu pelaburan kita di luar negara. Mengapa mereka selesa di luar bahkan khuatir untuk beroperasi di negara ini? Mutakhir ini, liberalisasi semacam menjadi penyelesaian dan mantra terbaru buat pemimpin BN/Umno untuk menarik pelaburan. sayugia diingatkan, ia penting tapi liberalisasi bukanlah segala-galanya. Jangan terlalu ghirah.

Perlu ada kesediaan juga untuk menerima bahawa polisi-polisi Umno/BN-sentrik dan amalan patronage-kronisme Umno/BN telah menjadikan negara kehilangan daya-saing sebenarnya. Penswastaan, mantra Mahathirisme, telah membebankan dan tidak mengurangkan kos kepada pembayar cukai dan perkhidmatan yang mahal dan dana rakyat ranap kerana kerajaan melakukan “bail-out” dan memberi subsidi kepada pihak swasta seperti IPP dan pemegang konsesi Tol dan Air. Apakah akan berlaku gelombang penswastaan kedua dalam era Najib?

Bajet telah dibentangkan. Harapan rakyat tinggi menggunung untuk mengecapi kemakmuran dan kesejahteraan. Telah acapkali rakyat dikecewakan. Kali ini Najib memohon untuk di berikan “the benefit of doubts” — bersangka baik oleh rakyat. Silap itu penulis rasa. Ini bukan persolan berbaik sangka. Isunya ialah ketepatan polisi dan komitmen/iltizam politik untuk menggapainya.

Bagi melindungi kepentingan dan kemaslahatan rakyat, pemimpin Pakatan wajar terus menyemak-imbang pengurusan dan tabiat buruk pemimpin Umno/BN bagi melindungi kemaslahatan semua dan mengangkat dayasaing negara.

— drdzul.wordpress.com


* Dr Dzulkefly Ahmad ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Komen.. Ambik Kau.. Ciplak lagi hak orang, kena la balik dari tuan.. empunya...!

2 comments:

  1. Kalau berani cakap la di dewan rakyat. wahai dr zul bapuk...

    ReplyDelete
  2. Adakah anda masih ingat semasa zaman Reformasi beribu pengikut dan penyokong Anwar melakukan Demonstrasi jalanan yang mengakibatkan banyak kerosakkan harta benda rakyat dan ketenteraman awam tergugat. Namun mungkin anda lupa selepas reformasi itu kemana para pengikut dan penyokongnya yang lain???
    http://www.papagomo.com/2009/10/beribu-puak-edrogan-dalam-pas-selepas.html

    ReplyDelete