Pages

Friday, December 18, 2009

Khutbah Jumaat - Maal Hijrah.

Salam Sejahtera..

Hari ini semua bercuti, alhamdulillah aku berpeluang solat Jumaat di surau selalu, menjadi rezeki dapat Imam import dari Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh,..khutbahnya banyak pengajaran yang menyentuh jiwa aku,..

Habis selesai solat Jumaat, aku tunggu Imam tersebut, dengan muka tak malu, aku pi salam, bisik kat dia, aku minta tek khutbah dia, Alhamdulillan, Imam tersebut dengan rela hati memberikannya pada aku, jadi aku salin balik buat tatapan pengunjung blog.

Selesai membaca ayat-ayat wajib bekhutbah imam membaca ayat al Quran.
الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
(At Taubah 20)

(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Sidang Jemaah Yang Berbahagia..
Alhamdulillah Syukur kepada Allah kerana kita dipertemukan pada hari yang merupakan penghulu segala hari dan tambag berseri apabila hari ini juga merupakan hari pertama kita berada dalam tahun baru Hijrah 1431.
Justeru mimbar atas semangat hijrah ingin melontarkan satu persoalan iaitu apa sebenarnya yang kita ingin hijrah atau berubah dalam hidup ini? kerana mungkin ada dikalangan kita yang ingin berubah tetapi tidak tahu atau tidak jelas, apa yang ingin diubah atau hijrah..

Bagi menjawab persoalan tersebut maka kita katakan yang PERTAMA kita perlu berhijrah atau berubah dari seorang yang hidupnya jahil tanpa pengertahuan agama kepada berilmu, Jahil adalah musuh nombor satu dalam agama, Dengan sebab jahil kebanyakan kita hidup dalam keadaan membelakangkan agama. Dengan sebab jahil seseorang boleh bertindak sampai menolak hukum Allah. Ini sebagaimana yang termaktub di dalam AlQuran surah Al Haj ayat ke 3,

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّبِعُ كُلَّ شَيْطَانٍ مَرِيدٍ
Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan dan dia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan.

Jadi selagi mana budaya jahil (agama) tidak kita benteras secara serius dan berterusan maka selagi itu kita akan berhadapan dengan krisis kefahaman serta kebiadapan yang dilakukan oleh mereka yang mengaku Islam, Lihat sahaja berapa ramai dikalangan umta Islam yang tidak selesai-selesai masaalah fardhu A'in, terutama anak-anak remaja kita.

Sebab itu tidak ada jalan melainkan setiap individu setiap yang yang hadir perlu berusaha dengan apa cara sekali pun untuk melakukan perubahan ini, salah satunya hadir dimajlis-majlis ilmu. Mari kita sama-sama belajar menadah kitabdan cuba memahami agama Allah dengan lebih mendalam.

Kalau tidak dapat pada setiap hari pun, setidak-tidaknya 2 ke 3 hari seminggu.., Kalau hari-hari biasa kita sibuk dengan tugas didunia, kita boleh hadir kuliah pada hari Sabtu atau Ahad sama ada kuliah subuh atau dhuha. Yang bekerja mungkin boleh anjurkan di pejabat kuliah sebelum zohor, Dalam erti kata apa saja yang termampu asalkan budaya ilmu ini hidup dan dapat dikembang suburkan.

Tuan-tuan, perkara ini sudah kita bangkitkan berulang kali namun sehingga ke hari ini kita melihat masih ramai dikalangan kita yang masih belum rasa terpanggil untuk melakukan sesuatu.

Apakah kerana kita sememangnya sudah alim atau menunggu sehingga hari waktu pencen atau pun juga hati kita sudah terlalu cinta dengan kehidupan dunia. Denga itu kita sangat-sangat mengharapkan agar tidak ada lagi halangan san alasan yang akan kita berikan demi menyahut seruan hijrah yang kita sambut kali ini.

Manakala bagi mereka yang sudah pun berjinak-jinak atau sudah lama menjadi ahli tetap majlis ilmu maka kita ucapkan syabas dan tahniah, tinggal lagi apa yang perlu kita perelokkan ialah datanglah belajar atau kekuliah-kulian yang diadakan dengan membawa kitab atau sekurang-kurangnya buku nota catatan. Kerana yang dinamakan belajar itu mestilah berkitab, ditulis atau dicatat bukan sekadar mendengar..

Samalah sewaktu kita dizaman persekolahan dahulu dimana setiap hari kita dikehendaki membawa buku teks bagi setiap subjek yang telah dijadualkan, Sehingga ada pelajar yang didenda apabila terlupa atau tertinggal buku tersebut dirumah. Namun bila kita dah dewasa! Kenapa bila hadir ke kuliah ilmu samada di masjid atau surau kita datang dengan tangan kosong yang tidak menunjukkan kesungguhan yang mendalam untuk kita fahami satu-satu pelajaran yang dibentangkan. Ini dia tuan-tuan yang perlu kita ubah segera mulai saat ini supaya setiap ilmu yang kita pelajari dapat kita kuasai dengan baik dan sempurna.

Kaum Muslimin Yang dimuliakan..

KEDUA - Apa yang kita hijrahkan dalam hidup ini ialah brubah dari seorang yang hidup lalai iaitu hidup dengan dosa dan maksiat kepada seorang yang taat serta tabah melakukan amal soleh - Tidak kira siapa dan apa peringkat sekali pun.

Bagi golongan muda remaja misalnyakita minta setidak-tidaknya supaya jangan calarkan diari hidup anda dengan melakukan dosa-dosa besar dan dalam masa yang sama usahakan untuk menjaga ibadah yang paling asas iaitu solat.

Walaupun kita faham dizaman yang serba gila ini bukan mudahuntuk hidup atau membesar dalam keadaan taat kepada Allah. Tetapi cubalah pujuk hati dan yakinkan diri dunia ini akan hancur, maka ketika itu kita akan dihadapkan ke hadrat Allah. Ketika itu tidak ada yang dapat membantu melainkan iman dan amal, dan kita minta juga kepada anak-anak muda supaya cuba-cubalah mengingati mati, kerana mati bukan syarat tua, bukan syarat sakit. Ia ada dimana-mana, jadi bayangkan kalau kita mati hari ini atau esok dalam keadaan kita melakukan maksiat, Maka apakah jawapan yang akan diberikan kepada Allah S.W.T ?

Manakala buat golongan dewasa apatah lagi yang telah meningkat umurnya kita menjangkakan proses hijrah ini semestinya sudah pun berlaku dalam hidup kita, Kerana kalau dari zaman muda hingga ke hari ini yang mana sudah mencecah 40 tahun, 50 tahun dan 60 tahun, kita masih membawa watak happy, enjoy semata-mata, tanpa memikirkan soal bekalan amal untuk dibawa bertemu Allah, maka apa erti hijrah sebenarnya bagi kita.

Kalaulah tahun berganti tahun kita dimasih rentak yang sama iaitu rentak yang hidupnya tercabut dari sifat kehambaa, hdup yang bermottokan dunia, dunia, dunia..maka apakah didalam hati kita sememangnya tidak ada lagi perkataan hijrah. Sedangkan usia yang semakin meningkat membawa makna semakin dekatnya kita kepada Allah, dekat pada kubur.

Jadi kenapa masih ada dikalangan kita sehingga kini yang tidak ke masjid terus kekal tidak berminat ke masjid. Apakah yang tidak boleh membaca Al-Quran hingga kini masih juga tidak boleh membaca? Apakah punca orang yang selesa dengan maksiatnya masih ketagih dengan maksiatnya? Adakah kerana kita telah berputus asa dari rahmat Allah, adakah kita hanya menunggu sahaja hidayah Allah datang bergolek tanpa diusahakan atau adakah kita sememangnya sudah tidak ambil peduli lagi soal kubur dan akhirat kerana hati kita sudah mati disebabkan dosa-dosa kita?.

Tuan-tuan Jamaah Yang di kasihi sekelian.
Ingat dan sedarlah bahawa tubuh badan serta kulit kita yang ada ini tidak mampu sebenarnya untuk dijadikan bahan bakar diakhirat kelak, isteri dan anak-anak kita biarkan jauh dari petunjuk agama juga sebenarnya takkan termampu menanggung betapa dahsyatnya siksaan azab neraka Allah.

Maka atas nama hijrah, marilah sama-sama kita sahut suara hati kecil yang sudah lama menjerit dan meinta agar kita segera berubah, yang mendesak kita agar kembalilah kepada Allah sebelum segala-galanya terlambat.

Lihatlah kepada saidina Umar AlKhatab, Khalig Ibni walid dari kalangan para sahabat, Ibrahim Adham dari kalangan ahli sufi dan beberapa tokoh lagi yang dahulunya hidup jahil, buas, kejam, maksiat, memusuhi Islam tetapi akhirnya berubah, berhijrah menjadi orang yang paling disayang dan dimuliakan Allah.

Maka kita juga begitu tuan-tuan!, Semuanya layak untuk menjadi hamba yang diredhoi Allah, semua kita berpotensi menjadi hamba yang taat menjunjung segala titah perintahnya, asal saja kita sanggup berkorban sanggup menjinakkan hawa nafsu dan juga sanggup bersusah payah demi untuk meraih kesenangan dan kebahagian hakiki dinegeri yang bernama akhirat.

Saya bacakan satu firman Allah sebagai renungan..

۞ هَٰذَانِ خَصْمَانِ اخْتَصَمُوا فِي رَبِّهِمْ ۖ فَالَّذِينَ كَفَرُوا قُطِّعَتْ لَهُمْ ثِيَابٌ مِنْ نَارٍ يُصَبُّ مِنْ فَوْقِ رُءُوسِهِمُ الْحَمِيمُ
Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api Neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak,

يُصْهَرُ بِهِ مَا فِي بُطُونِهِمْ وَالْجُلُودُ
Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit badan mereka.

وَلَهُمْ مَقَامِعُ مِنْ حَدِيدٍ
Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka.

كُلَّمَا أَرَادُوا أَنْ يَخْرُجُوا مِنْهَا مِنْ غَمٍّ أُعِيدُوا فِيهَا وَذُوقُوا عَذَابَ الْحَرِيقِ
Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari Neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: Rasalah kamu azab seksa yang membakar!

Sidang Hadirin Sekelian, Mudah-mudahan kita dirahmati Allah.

AKHIR SEKALI..

Bila kita bertanya apa yang perlu kita ubah, dalam hidup inimaka jawapannya ialah kita perlu dan wajib merubah sistem hidup yang sama sekali tidak berteraskan Islamkepada cara hidup yang mendapat keredhaan Allah S.W.T, dalam ertikata lain undang-undang jahilliyah yang kita warisi dari penjajah selam ini mestilah dikuburkan sesegera yang mungkin dengabn meletakkan kembali Al-Quran dan Hadis ketempatnya.

Tidak ada erti kita menyambut maal hijrah dengan berbagai-bagai tema sebelum ini tetapi sekiranya tidak ada niat dihati kita untuk mendaulatkan Agama Allah, dan cuba kita renung dan halusi peristiwa hijrah, kenapa baginda Rasullullah SAW diperintah oleh Allah berhijrah dari Mekah ke Madinah, jawapannya adalah untuk melaksanakan Al-Quran, untuk menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram atau untuk menjadikan seluruh bidang kehidupan manusia dipandu dan diputuskan oleh AlQuran dan Sunnah secara mutlak.

Bermulalah dengan pembangunan individu, keluarga dan masyarakat sampailah kepringkat yang paling tertinggi iaitu negara, - peringkat penggubal dasar semuanya tidak boleh dipisahkan sama sekali dari roh agama.

Dengan kata lain Islam ingin melahirkan yang kalau ia sebagai seorang pemimpin maka jadilah ia pemimpin yang amanah, kalau seorang pekerja makan ia berkerja dengan bersungguh-sungguh, kalau ahli sukan, ahli sukan yang menutup aurat, penghubur yang tidak melanggar batas-batas syariat, penyampai berita yang takut untuk berdusta, usahawan atau peniaga yang memberatkan sembahyang, dan kalau kita membentuk dasar pendidikan, biarlah pendidikan yang betul-betul bersepaduyang akan melahirkan pelajar yang berakhlak, anak muda yang berjiwa agama, begitu juga dalam bidang tentera, yang kita mahukan tentera yang inginkan mati syahid, kalau hartawan, hartawan yang perihatin akan masalah ummah, kemudian kita mahu ekonomi yang jauh dari amalan riba, politik matang dan bertanggungjawab serta kita ingin serlahkan segala keindahan dan kesyumulan Islam yang diacu oleh Alquran dan hadis yang sesungguhnya tercurahlah rahmat Allah dan hidayahNya kepada kita semua.

Sebab itu kita merasa amat malang, apabila sistem atau undang-undang yang ada hari initerbukti gagal dalam membentuk umat, tiba-tiba kita masih tidak mahu insaf untuk kembali kepada agama Allah, Setelah jelas segala kepincangan, keruntuhan, kekeliruan yang berlaku didepan mata adalah hasil dari acuan yang sedia ada, kita pula masih sombong dan berdegil mempertahankan ianya sebagai sistem yang terbaik, Sedangkan Allah telah bertanya kepada kita dalam Al-Quran ;
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah. (AlMaidah 50)


Tuan-tuan Sidang Jamaah Yang berbahagia,

Dengan ini kita sangat-sangat mengharapkan agar bulan hijrah kali ini benar-benar memberi erti kepada kita dan kepada umat Islam seluruhnya, Ingat, bahawa hidup ini sama-samalah kita jadikan redho Allah sebagai matlamat utama dalam apa jua yang kita lakukan dan cara hidup kita biarlah ianya sangat hampir dengan apa yang telah ditinggalkan oleh Rasullullah SAW.

Yang berlalu biarlah berlalu, kini kita tidak rela membiarkan maruah Islam terus menerus diperdaya oleh gemerlapan dunia dan kita juga tidak rela membiarkan maruah Islam terus dipijak, dipersenda oleh musuh-musuh agama Allah.

Atas nama hijrah, atas nama pengorbananmarilah tuan-tuan, jangan ada pun yang terkecuali dari duduk bersama-sama merasai arus perubahan ini, Sekali lagi ingat!.. bahawa bangsa atau umat yang tidak mahu berubah, pasti akan diubah oleh Allah dengan cara ditimpa ke atas mereka kemurkaan dan bala bencana yang maha dahsyat. Dan diakhirat pula tidak ada tempat yang lebih layak melainkan azab neraka.

۞ قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (AzZumar 53).

3 comments: