Pages

Wednesday, February 23, 2011

Putrajaya tak mampu hantar pelajar balik ke Mesir?

Oleh : Haji Subky bin Abd Latif

23 FEB — Sekalipun lambat bertindak tetapi kerajaan Datuk Seri Najib Razak masih boleh dipuji kerana berjaya membawa pulang ribuan pelajar dari Mesir ketika negara di tengah huruhara bagi menggulingkan regim Hosni Mubarak.

Entah di mana para pelajar itu dapat tidak diketahui tetapi mereka boleh turun di lapangan terbang KLIA dengan sepanduk TERIMA KASIH PM. Untuk mendapat barang keperluan pun susah, tetapi mereka dapat kemudahan membawa balik sepanduk TERIMA KASIH PM.

Ibu bapa khususnya berasa lega dan rakyat seluruhnya berasa aman.

Apabila keadaan mulai reda, sudah boleh masing-masing berkira untuk kembali semula ke kampus bagi meneruskan pelajaran dan bagi menyelesaikan yang tidak sempat diselesaikan.

Tetapi hendak balik semula dengan apa?

Kerajaan yang mengambil mereka pulang dulu sudah enggan mengambil tanggungjawab untuk menghantar mereka semua ke Mesir. Adakah kerajaan pusat berlepas tangan atau kerajaan sudah tidak mampu?

Kemungkinan kedua-duanya ada.

Memandangkan mewah dan borosnya kerajaan berbelanja, seolah-olah kerajaan banyak duit lebih. Tetapi orang juga banyak mendengar perkhabaran kerajaan tidak cukup duit hingga banyak tuntutan pegawai kerja lebih masa atau bertugas di luar kawasan lambat atau belum dibayar.

Menteri Pelajaran menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak bermasalah dengan duit. Dia mengumumkan berbagai insentif kepada guru dan sekolah. Beribu-ribu guru besar diumumkan akan diberi bonus beribu ringgit setiap orang kerana prestasi yang cemerlang.

Ketika berada di pedalaman Sabah dan Sarawak dia mengumumkan untuk menggantikan sejumlah besar sekolah lama dengan sekolah baru yang serba lengkap.

Semua itu baik tetapi gerun mendengar betapa murahnya kerajaan berbelanja untuk kemajuan pendidikan.

Tiba-tiba Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri sekeluarga yang terkenal juga sebagai orang mudah berbelanja besar dan tidak takut untuk menggunakan duit kerajaan berlepas tangan terhadap para pelajar yang sepatutnya mulai bersiapa sedia untuk pulang ke Mesir.

Setiausaha Politiknya yang banyak mengumumkan tentang usaha membawa pulang pelajar-pelajar itu dulu, mengumumkan kerajaan akan menanggung penghantaran mereka semula ke Mesir.

Terserahlah kepada ibu bapa dan mana-mana pihak selain dari kerajaan pusat mengambil tanggungjawab itu.

Maka gelabahlah ibu bapa yang tidak cukup pendapatan.

Ada seorang Melayu yang menyertai parti kaum India sukutu Barian Nasional (BN) kerana kuat semangatnya menyokong kerajaan pusat telah mencabar PAS dan kerajaan selain BN supaya mengambil tanggungjawab menghantar mereka balik ke Mesir.

Maka mulai satu demi satu kerajaan negeri cuba menyelamatkan kerajaan pusat, mengambil tanggungjawab tentang kepulangan semula mereka ke Mesir. Kerajaan BN Melaka dan Pahang yang berada di ambang pilihan raya kecil menyanggupi beban yang dilepaskan oleh kerajaan pusat itu.

Ia berita baik buat ibu bapa dan bolehlah sekali lagi bersyukur dan berterima kasih pula kepada kerajaan-kerajaan negeri. Tentulah mereka boleh memalukan Perdana Menteri kalau membawa semula sepanduk TERIMA KASIH PM ke dalam pesawat atas tindakan yang bukan datang dari PM.

Tindakan kerajaan-kerajaan negeri itu adalah untuk menyelamatkan Perdana Menteri dan kerajaan pusat.

Apa sebab kerajaan pusat enggan mengambil tanggungjawab itu?

Pertama ia mahu berlepas tangan kerana sebahagian besar dari mereka adalah penuntut agama. Kerajaan pusat terutama di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad agak anti kepada pendidikan agama.

Lulusan agama banyak memberi beban kepada kerajaan. Kelulusan mereka tidak laris dalam pasaran pekerjaan. Mereka berpotensi menjadi penganggur dan tidak membantu menyuburkan modal insan. Kerajaan lebih suka kalau mereka ke sekolah yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan.

Kedua sebahagian besar dari lulusan agama itu memenuhi keperluan PAS iaitu mereka bakal menjadi pemimpin dan penyokong PAS. Bahkan yang mengambil bidang selain agama, dengan angin Timur Tengah itu mudah memenuhi pasaran PAS.

Pelajar-pelajar ini balik nanti akan menentang Umno dan kerajaan.

Ketika mengambil mereka pulang dulu, kononnya kerajaan tidak mengambil kira politik. Anak orang PAS, anak orang PKR terpaksa dibawa pulang. Walaupun mereka turun pesawat dengan sepanduk memuji Perdana Menteri, tetapi mereka tidak boleh dipercaya sangat. Tetapi untuk menghantar semua ke Mesir, perhitungan politik mula diambil kira.

Kemungkinan ketiganya ialah kerajaan Putrajaya tidak mampu menanggung beban yang mereka tidak rancang. Kerajaan terlalu murah berbelanja dan terlalu mewah, maka mengapa tidak mampu menanggung penghantaran semua mereka ke sana?

Mewah dan boros itu boleh menjadi bukti kemampuan. Tetapi mewah dan boros itu juga punca kekeringan duit. Belanja tidak berkira menyebabkan habis duit.

Menjelang PRU 13 ini kerajaan akan berbelanja apa saja bagi memastikan kemenangan dan mahu memastikan apa yang hilang dalam PRU 12 dapat dirampas semula. Tidak mahu berbelanja atas pemergian semula pelajar itu boleh mengurang harapan sokongan dari rakyat khususnya keluarga pelajar-pelajar itu sendiri.

Kalau kerajaan ada duit, dia tidak berkira kerana ia boleh memenangi hati rakyat. Kerajaan tahu peluang sokongan itu boleh diusahakan. Tetapi kerajaan pusat tidak menyanggupi keperluan itu, ia adalah tanda ia sudah tidak mampu.

Apa hendak dikata kerana masa hendak pullang ke Mesir, kerajaan tidak cukup duit?

3 comments:

  1. depa kata rugi 2kali hantaq budak2 ni balik. syorruu mis depa kata. hahaha. tak masyukkkkkkk tu la sbb.

    ReplyDelete
  2. Memandangkan Sabah dan Sarawak menjadi talian hayat UMNO/BN dalam PRU12. Di PRU13, Sabah dan Sarawak wajar menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dari kalangan orang dari sebelah sana. Dah jadi penyelamat untuk UMNO terus berkuasa, takkan minta jawatan nombor 2 pun tak boleh.

    ReplyDelete
  3. Kerajaan pahang tugas nak bawak pelajar kembali ke Mesir....... Alhamdulillah, balak kan masih banyak!!!!!

    ReplyDelete