Pages

Friday, August 26, 2011

Cuci telur ayam...bukan telur Zambry!


Jika untuk sarapan pagi di luar bulan puasa, roti canai dan roti telur menjadi pilihan, untuk berbuka puasa pula ramai yang mencari murtabak...perghhhh, emmmh meleleh air liur dibuatnya. Dalam keluarga besar kami, sudah menjadi tradisi mengadakan majlis berbuka puasa di rumah salah seorang daripada 10 orang adik-beradik. Kami akan bergilir-gilir dari satu rumah ke rumah yang lain. Begitu juga pada majlis sambutan idulfitri.

Sudah menjadi lumrah juga bagi seorang abang membawa 'murtabak special' yang dibelinya di Kampung Datuk Keramat dekat KL. Tahun ini, dalam majlis berbuka puasa di Shah Alam, beliau tidak membawa menu istimewa berkenaan. Secara berseloroh, kami bertanya kenapa tak bawa murtabak special. Selamba je abang tu jawab: "Kan ustadz dah kata...murtabak tu tak bersih... ada tahi ayam." Kami senyum je dengar penjelasan ringkasnya. Sayapun tak tanya lagi sebab dah lama tahu perihal telur bersalut tahi ayam tu.

Pulang ke rumah pada malam itu terasa sangat sukar untuk melelapkan mata. Mungkin terlalu kenyang agaknya. Maklumlah pelbagai jenis juadah yang dibawa oleh saudara dan anak-anak buah. Makan tak banyak, tetapi rasalah hampir semua jenis yang disediakan.

Nak dijadikan cerita, pada pagi berkenaan, oleh kerana tak lelap lagi, seperti biasa menghadap tvlah. Kebetulan pula mengikuti program soal jawab agama. Tajuk yang dibincangkan amat mudah iaitu mencari makanan halal. Walaupun tidak mengikutinya dari awal, saya amat tertarik dengan tajuk berkenaan kerana penceramah dari Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) menyebut perihal roti telur iaitu roti canai dicampur telur.

Seperti yang sering kita lihat, tetapi tak prihatin, penceramah menyebut bagaimana roti canai ditebar dan kemudiannya 'mamak' (bukan mamakpun macam tu juga) akan capai telur ayam di bekasnya lalu memecahkan telur itu dan menaburnya di atas roti canai yang sedang dimasak.

Marilah kita renungkan proses yang berkaitan. Telur diambil dari bekasnya dan telur itu datangnya dari reban. Ada telur yang terkena tahi ayam. Yang tak kenapun melalui saluran yang dikongsi dengan saluran najis... bayangkan! Kalau ada tahi ayam yang terpalit di kulit telur, pegang di sebelah yang tak terpalit dan pecahkan. Kadang-kadang terkena juga pada tangan. Kadang-kadang, ada juga kulit telur yang terjatuh ke dalam roti yang sedang dimasak. Bayangkan yang dingin. Tangan yang memegang telur disalut najis tadi terus menghidangkan ratusan keping roti canai yang lain. Meja mencanai roti dan kuali memasak juga telah terjejas kerana terkena palitan tahi ayam tadi.

Begitu jugalah dengan penyediaan murtabak.. telur ayam dipecahkan dan digaul dengan perencah lain seperti bawang dan ayam atau daging. Mana ada kulit telur yang dibasuh terlebih dahulu. Semuanya pukul semacam je...

Jadi, kata penceramah di tv, jalan penyelesaiannya ialah, telurnya hendaklah dicuci terlebih dahulu....Kata penceramah itu, telurnya bermaksud telur ayam... bukan telur mamak tu, disambut dengan deraian ketawa para hadirin. Persoalannya, berapa ramai di kalangan yang ketawa itu akan meminta pembuat roti telur agar membasuh dahulu telur ayam berkenaan.

Berapa lama kita dah makan roti telur atau roti canai yang dihiasi tahi ayam ini!

Begitu juga jika kita kembali mengenangkan telur itik yang dimasinkan yang menjadi pembuka selera tadi. Ada dua cara menghasilkan telur masin iaitu merendamkan telur dalam air yang dicampur dengan garam atau secara konvensional dan menjadi pilihan ialah dengan memerap dalam tanah lumpur yang disaluti garam.

Cara pertama iaitu dengan proses rendaman, mungkin tinggi sedikit kepercayaan kita telur telah dibasuh lebih awal. Lagipun jika ada tahi yang terlekat mudah dikesan dan dibuang, tetapi jika melalui kaedah perapan, jika ada tahi terpalit, boleh dihilangkan dengan disalut dengan tanah tadi atau ada juga yang menggunakan hampas papan.

Dari sudut sains, telur menjadi masin kerana proses perapan tadi memungkinkan garam masuk ke isi telur melalui lubang-lubang halus yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Jika tidak demikian, bagaimana pula 'kemasinan' boleh menembusi kulit telur. Jika kemasinan boleh tembus,, tak mungkinkah tahi ayam juga boleh tembus...? Entahlah, dari dulu saya hanya seorang wartawan yang tugasnya hanya melaporkan.

Terpulanglah kepada pakar-pakar dalam bidang masing-masing untuk menjelaskan proses yang berkaitan. Namun untuk mencuci telur,, tak perlu apa-apa kajian, cuci sahajalah. Bukan sahaja untuk buat roti canai dan murtabak tetapi juga sebelum menggoreng atau merebus telur di rumah. Kalau ikan dan sayur dicuci dahulu, apalah salahnya mencuci telur ayam pula - sama ada nampak atau tidak tahinya, cuci sahajalah.

Penceramah berkenaan juga menyentuh pelbagai perihal lain mengenai makanan yang halal. Beliau mengakui banyak makanan yang diberikan logo halal sebenarnya diusahakan oleh pengusaha bukan Islam. Ini termasuklah mi kuning, mi tiauw, kek ikan dan bebola ikan yang banyak dijual oleh orang Islam tetapi dihasilkan oleh bukan Islam.

Teringat saya seorang kenalan di pasar malam bernama Norizan yang asalnya berniaga yong tau fu (sejenis makanan cina), Beliau kini menjadi pengusaha bahan-bahan mentah makan tersebut dan beliau beriktikat menjadi pengusaha kerana katanya, beliau sendiri sebelum ini membelinya daripada pengusaha bukan Islam. Semoga lebih ramailah pengusaha yang punyai kesedaran seperti ini.

Kita sering juga membeli ayam di pasar-pasar mini. Kita sering beranggapan semuanya halal walaupun pengusahanya bukan Islam.
Kadang-kadang beli bahagian leher sahaja kerana nak digoreng. Cantik je leher-leher ayam tu tanpa kesan sembelihan, tetapi dengan semangat 1Malaysia, boleh sahaja.

Tidak lama dahulu, saya ternampak Bak Kut Teh yang ditulis halal di sebuah pasaraya terkemuka di ibukota. Bak Kut Teh adalah sejenis makanan cina yang berasaskan babi tetapi kini sudah ada yang dihalalkan. Tidak hairanlah dengan sejenis minuman keras yang dihalalkan juga kerana mengandungi arkohol yang tidak memabukkan. Mula-mula minum yang tak ada arkohol, lama-lama boleh mencuba yang ada sedikit arkohol dan akhirnya bedal je jenama tu..baharulah terasa 'nikmat'nya.

Ketika menjadi wartawan di Utusan pada tahun 1980-an saya pernah membuat laporan mengenai berus kasut dan berus songkok yang diperbuat daripada bulu babi. Pada badan berus itu tertulis perkataan 'pure bristel' (bulu babi hutan asli) tetapi tidak banyak orang yang ambil tahu mengenainya.

Yang ambil peduli hanyalah pengeluar berus berkenaan yang mengambil langkah tidak menulis mengenai bulu tersebut dan pada badan berus itu dibiarkan kosong sahaja. Maka teruslah bulu yang sama digunakan untuk memberus kasut dan songkok untuk dibawa bersolat.

Pada berus cat juga ada perkataan pure bristel, tetapi berapa orang daripada kita yang mahu ambil berat untuk menggunakan berus plastik? Berus inilah yang digunakan untuk mengecat rumah, pejabat dan surau serta masjid kita. Berus begitu jugalah yang digunakan untuk mengilatkan meja makan dan lantai kayu kita. Pendek kata, berus yang sama digunakan untuk pelbagai kegunaan.

Begitu jugalah dengan anak-anak kita yang memegang berus untuk mewarna ketika di tadika dan sekolah. Seperti yang saya katakan, sebagai wartawan, dah tua lak tu.. saya hanya melaporkan. Terpulanglah kepada pihak berkuasa mengambil tindakan seterusnya. Bermula sekarang.. marilah cuci telur!


Sumber cuci-telur-ayambukan-telur-mamak.:



2 comments:

  1. Lupa dah makan kat mana ntah. Ada banner dalam kedai tu tulis - TELUR KAMI DIBASUH (lebih kurang macam tu lah) HA HA HA Tapi amat bagus sekali

    ReplyDelete
  2. kemasinan mmg boleh tembus en. Sebab tu mikrob dr tahi ayam boleh masuk dlm telur ayam....kalo en perasan sesetgh telor ade tulis pasteurize...mksudnya segala bakteria telah dibunuh luar dan dlm telor....

    eloklah beli telor yg telah di pasteurize....

    ReplyDelete