Pages

Saturday, August 13, 2011

Najib PM Malaysia lebih hebat dari Tun Dr Mahathir...

Salam Sejahtera,,



REALITI POLITIK DI MALAYSIA: ‘AKU PEGAWAI, DIA PEGAWAI, KAU PUN PEGAWAI’


Oleh Haji Melayu :

Memang ramai yang terkejut dengan pendedahan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, Datuk Kadir A Jasin bahawa Perdana Menteri mempunyai 11 pegawai media.

Selama ini mereka mungkin sedar PM mempunyai pegawai media yang tidak sedikit, tetapi tidak siapa pula pernah mengira jumlahnya.

Dan apabila Kadir berbuat demikian, mereka yang terkejut tadi mungkin terus terduduk.

Dilihat daripada sudut apa pun, jumlah itu memang cukup besar. Berkali ganda lebih besar daripada era Tun Dr Mahathir, yang hanya mempunyai tiga pegawai media sahaja.

Banyak nama-nama besar yang berada dalam senarai pegawai media Najib itu. Antaranya adalah Datuk Seri Farid Redzuan (bekas CEO TV3), Datuk Khalid Mohamad (bekas Ketua Pengarang kumpulan Utusan) dan Jalil Abdul Hamid (bekas Timbalan Ketua Biro Reuters Malaysia).

Di samping mereka bertiga ada Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (Setiausaha Akhbar PM), Datuk Seri Jalaludin Bahaudin (Penasihat Media PM), Datuk Hardev Kaur (bekas Timbalan Ketua Editor Kumpulan NST yang kini menjadi Pegawai Khas PM).

Bersama mereka masih ada banyak lagi nama-nama lain.

Bagi saya, pendedahan Kadir itu mengesahkan apa yang selama ini bermain di fikiran saya, bahawa Malaysia mungkin merupakan negara yang mempunyai paling ramai pegawai yang berkhidmat dengan orang politik.

Maaflah, saya tidak dapat memberi angka sebenar. Malah saya rasa sesiapa pun mustahil boleh memberikan angka itu sebab jumlahnya terlalu banyak.

Pegawai media, setiausaha politik, setiausaha khas, pegawai khas, pembantu peribadi, kalau dikira dari Perlis sampai ke Sabah, jumlahnya mungkin beratus kontena.

Itu belum lagi termasuk wakil-wakil peribadi, sama ada yang dilantik secara rasmi atau yang melantik dirinya sendiri.

Dan tolong jangan lupa, pengawal peribadi dan pemandu. Juga penasihat dan perunding.

Adalah perkara biasa sekarang ini untuk anda temui seorang Ahli Parlimen mempunyai empat atau lima orang pegawai khas. Bagi Ahli Parlimen yang berjawatan menteri, atau menjadi pengerusi, atau ahli lembaga pengarah beberapa GLC, jumlahnya tentulah lebih banyak lagi.

Yang jadi Menteri Besar, tak apalah juga. Mungkin agak munasabah kalau dia mempunyai barisan pegawai dan pembantu yang ramai. Tetapi apabila ADUN pun begitu, terasa juga peliknya.

Serius. Sekarang ini jarang sekali anda temui ADUN yang hanya ada seorang pembantu khas. Malah yang lebih lucu, ada ADUN yang mempunyai setiausaha politiknya sendiri – satu perkara yang tak pernah berlaku sepuluh atau dua puluh tahun dahulu.

Semua penjawat ini tentulah tidak melakukan tugas mereka secara percuma. Kenyataan itu sekurang-kurangnya betul jika melihatkan mereka yang datangnya daripada UMNO dan BN.

Dari mana mereka yang berkenaan membayar gaji kepada pegawai-pegawai yang ramai itu tidak perlulah dipersoalkan. Selain daripada menggunakan peruntukan untuk Ahli Parlimen dan ADUN, kaedah lain pun masih banyak. Kalau mengikut kefahaman kita, bukan tidak ada pegawai itu yang gajinya dibayar oleh pihak ketiga. Ini tidak hanya berlaku kepada yang dari UMNO dan BN. Yang di luar UMNO dan BN pun ada juga yang dua kali lima.

Isunya sekarang ialah, dengan jumlah Ahli Parlimen dan ADUN yang ada sekarang ini, agak-agaknya berapa banyakkah wang yang dihabiskan untuk tujuan itu?

Berbaloikah ia?

Adakah tradisi membanyakkan pegawai peribadi akan berterusan? Apakah ia akan menjadi satu status-symbol baru di kalangan ahli politik kita?

Saya tak berani hendak menjawab. Tetapi melihat pada keadaan sekarang, saya tidak hairan jika suatu masa nanti ada pula jawatan Timbalan Ahli Parlimen/Adun atau Penolong kepada Timbalan Ahli Parlimen/Adun.

Apa-apahal janganlah hendaknya jumlah pegawai kepada ahli politik itu melebihi bilangan pengundi di sesuatu kawasan. Pening kita semua nanti!

Sumber : rontogdaily







No comments:

Post a Comment