Pages

Saturday, September 17, 2011

Mat Indera Bujang Berani - Mat Monggul Penakut..

Mat Indera Bujang Berani

OLEH HASMI BIN HASHIM
12 September, 2011, 06:13 pm


Ada orang percaya, isu Mat Indera adalah untuk alih perhatian untuk pemerintah tiba-tiba mengenakan servis 6 peratus ke atas talian pra-bayar. Ada orang percaya, Mat Indera itu komunis yang menyerang dan membunuh mata-mata di rumah pasung Bukit Kepong. Mereka percaya, tanpa kajian; dan tanpa kajian, bagaimanakah kita boleh berfikir?

Pada 1 Ogos lalu, saya sudah menyebutkan nama Mat Indera di dalam sepucuk surat saya kepada Melayu Johor.

Sejak kecil, terutama sewaktu bergunting rambut atau ketika kenduri-kendara, orang tua-tua selalu menyebut-nyebut nama Mat Indera. Di Semerah, nama itu sama pentingnya dengan nama Dato’ Onn Jaafar, Kiai Salleh, mahupun Cek Jam yang terlibat dengan “Perang Banjar”, atau apa yang diketahui hari ini sebagai “Perang Parang Panjang”.

Serangan ke Rumah Pasong Bukit Kepong berlaku di malam Tahun Baru Cina, 1950. Tak ada diceritakan di dalam filem Bukit Kepong arahan Jins Shamsuddin, bagaimana rumah pasong itu adalah tempat mabuk-mabukan. Sehari sebelum serangan, ada agen-agen Komunis yang memberikan arak dan tuak ke sana. Mereka meminta agar anggota polis, tak perlulah risau atau berjaga-jaga, sebab esok hari raya.

Selepas lewat malam, Komunis sudah siap untuk menyerbu. Apabila melihat anggota polis mulai ada yang mabuk-mabuk, tembakan pun berlaku. Mat Indera, kata orang tua-tua di kampung saya, berpadu tenaga dengan Komunis antara lain atas sebab ini. Namun, niatnya bukan untuk membunuh polis yang sama bangsa sama agama dengannya.

Lampu minyak gas ditembak, agar gelap. Tujuh belas mata-mata mati, hari itu. Jadi tanda tanya, mengapa Komunis yang datang dengan kekuatan 180 orang, terkorban sehingga 40 orang. Apakah munasabah, seorang polis boleh menembak mati dua-tiga orang komunis sedangkan polislah yang diserbu? Kematian yang begitu ramai di pihak komunis sesungguhnya jadi tanda tanya, siapa yang kemudiannya menembak mereka?

Mat Indera masuk hutan pada 1948, apabila pertubuhan politik yang disertainya iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API) diharamkan Inggeris. Inggeris kembali ke Tanah Melayu selepas Jepun menyerah kalah pada 1945. Kekalahan Jepun tak lain apabila Nagasaki dan Hiroshima dibom oleh Amerika Syarikat. Kalau tidak kerana itu, belum tentu Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia ke-2.

Senjata tinggalan Jepun inilah yang diambil oleh orang-orang Melayu. Sebelum itu, orang Melayu tak pernah punya sumber senjata api. Berbeza dengan komunis sebab sumber senjata mereka adalah daripada Kuomintang. Selain senjata api milik tentera Jepun, senjata peninggalan pasukan Belanda juga ada yang sempat diambil.

Belanda mengirim askarnya ke Tanah Melayu, khususnya ke Johor melalui Pontian. Askar Belanda ini berbangsa Jawa dan Belanda. Langkah ini tak lain adalah untuk menampan serangan Jepun agar berakhir di Tanah Melayu dan tak sempat merebak sehingga ke Pulau Jawa. Namun, ia gagal. Jepun tetap sahaja sampai ke Pulau Jawa.

Antara tempat persembunyian askar Belanda adalah di dalam hutan paya di Air Hitam. Ada yang gugur, ada yang masih hidup. Mereka mendapatkan bekalan makanan daripada orang kampung, khususnya orang-orang Melayu. Dari sana, orang Melayu tahu, askar Belanda itu mempunyai senjata… Mat Indera membesar dengan latar ini. Dia bukan sahaja seorang peniaga, dan berjiwa politik, tapi juga seorang guru agama yang hafal Quran.

Latar agama Mat Indera ditambah kuat dengan peristiwa Perang Banjar yang berlaku kira-kira setahun sebelum Jepun menyerah kalah. Perang itu tercetus kerana orang-orang Melayu marahkan komunis. Ada orang Melayu yang disembelih dan dibunuh Komunis. Komunis dengan Jepun pula memang bermusuh sebab bangsa dan kesan perang antara kedua negara itu di negeri masing-masing.

Perang Banjar adalah perang dengan “ayat empat”. Orang selalu mengaitkan perang ini dengan Salleh, yang kemudiannya menyertai Umno. Kalau sesiapa ke Semerah atau Batu Pahat, akan dapat mendengar cerita bahawa Salleh hanya mengajarkan “ayat tiga”. Ada nama lain di belakang perang itu yang tak ditonjolkan, iaitu Cek Jam. Dialah lelaki yang melengkapi “ayat tiga” yang diajarkan Salleh menjadi “ayat empat” atau dikenali sebagai “ayat perang”.

Cek Jam ditemui mati, di rumahnya. Keluar di dalam surat khabar, dia ditembak, di tapak kaki oleh orang yang tak dikenali.

Ilmu Inggeris menuduh penentangnya sebagai semuanya komunis juga diamalkan oleh mantan Presiden Singapura, Lee Kuan Yew. Kita ingat bagaimana Lee melabel penentangnya sebagai komunis, dan begitu juga Soeharto. Strategi sama masih tetap digunakan di Malaysia hari ini apabila Mat Indera dituduh komunis; atau sepertimana oposisi dituduh sebagai “pengkhianat”. Di dalam surat-surat khabar milik Inggeris, Mat Indera memang dilabel sebagai “bandit”.

Dengan label “bandit”, imbuhan untuk menangkap Mat Indera meningkat sampai $75 ribu; jumlah yang cukup besar bagi tahun-tahun 50an! Antara tempat persembunyian terakhir Mat Indera dan orang-orangnya, ialah di kampung Sungai Nibong Darat. Orang kata, Mat Indera masuk hutan. Orang barangkali lupa bahawa memang hampir kesemua kawasan kampung waktu itu adalah hutan.

Kampung Sungai Nibong sendiri, sewaktu Mat Indera bersembunyi di situ, bukan dengan jalan tar seperti hari ini. Laluan ke dalam kampung cuma denai. 1952, iaitu beberapa bulan sebelum Mat Indera ditangkap di Sri Medan, askar Melayu-Inggeris dapat mengesan di mana orang paling dikehendaki itu berada.

Siang-siang hari lagi, askar sudah masuk kampung. Traknya diletakkan di pangkal kampung. Dua orang mati di sana, iaitu seorang yang dikenali sebagai Panot bin Sidek dan Daud. Panot adalah memang asal orang kampung Sungai Nibong. Daud tidak; dia asal orang Muar.

Panot ditembak di perut. Bahagian depannya nampak luka kecil, tetapi di bahagian belakang badannya, bobos dengan luka yang besar. Jenazah Panot diangkat dengan basikal milik askar; diangkat seperti mengangkat babi. Rambut Panot yang panjang, dijuraikan ke bawah. Dia dicampakkan ke atas trak askar. Sejak hari itu, tak siapa tahu, ke mana mayat Panot dan Daud dibawa.

Dengan matinya dua orangnya, Mat Indera lari ke Sri Medan. Dia semakin tak percaya orang, kecuali kawannya yang bernama Wak Belteng. Nama lain bagi Wak Belteng ialah Beladang. Hanya sebutannya berbeza, tetapi masih orang yang sama.

Mereka seperguruan, kata orang. Dijamunya Mat Indera dengan tempe goreng dan kopi panas. Di dalam kopi itu, dibubuh buah kecubong yang ditumbuk halus-halus. Sebelum itu, di luar rumah, seorang pengawal Cina yang bersama Mat Indera dibunuh. Ketika kemabukan akibat buah kecubong, Mat Indera diikat kaki-tangannya dengan tali lalang. Dia juga dipikul seperti memikul binatang, dengan tersula kayu di tengah-tengah. Di bawa ke rumah pasong Sri Medan.

Percubaan menangkap Mat Indera yang tak kurang tiga kali selama 2 tahun, pun berakhir di situ. Sampai ke akhir zaman nanti, anak cucu akan mengenang bahawa Mat Indera diperdaya dan ditangkap oleh kawan karibnya sendiri.

Mat Indera suka berjenaka. Gemar bermain badminton. Menegur setiap kali sesuatu yang tak baik dilakukan orang. Dan, dia jugalah mati muda pada umur 33. Masih bujang. Dihukum gantung di Taiping, Perak oleh Inggeris—tidak cukup lagikah (?) untuk melihat bahawa lelaki warak ini adalah pejuang yang dilabel komunis hanya berpadu tenaga dengan PKM untuk membebaskan tanahair daripada kuasa asing.

Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.


1 comment: