Pages

Friday, October 14, 2011

Insyaallah.. UMNO akan lenyap kerana....

Serangan ke Jantung UMNO


OLEH HASMI BIN HASHIM

11 Oktober, 2011, 03:39 pm

Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada sebelah siang, tidak mengalih pandangan untuk perbincangan soal sejarah yang sekian lama dimanipulasi sebagai alat parti pemerintah. Lebih 120 orang memenuhi ruang dewan yang sepatutnya hanya mampu memuatkan 100 orang sahaja. Rata-rata adalah anak muda selain tokoh politik dan ahli akademik.

Memandang keadaan dan minat yang tak pernah terasa begini hebat, terutama sejak Reformasi 1998, subjek sejarah kini menjadi hantu yang bergantayangan di kepala pemerintah. “Mampukah sejarah menumbangkan Umno-BN?” begitu soalan yang kemudiannya menyusul. Terlebih dahulu saya siapkan halaman karangan yang dibahagi-bahagikan kepada hadirin yang hadir.


Penulis bersama ahli panel Hishamuddin Rais, YB Khalid Samad dan Dr. Abu Hassan Hasbullah. Forum dikendalikan oleh YB Amiruddin Shari.

Allahyarham Mat Indera tak ada peluang menjawab satu pun tuduhan dan kata nista yang dilempar kepadanya. Walaupun beliau punya tempoh setahun terdekam dalam penjara—ditangkap pada 1952 sebelum digantung mati pada 1953—beliau tetap tak mahu tunduk sujud di bawah telapak duli Inggeris. Betapa pun batang tubuhnya diseksa.

Orang yang tak pernah dizalimi, mungkin tak mengerti apa artinya kezaliman; namun aneh andai anak bangsa yang pernah ditindas penjajahan, tak merasa peri-perihnya penjajahan. Sungguh tak dapat dimengertikan bagaimana segelintir orang akademik bergelar “profesor” terbelit dengan persoalan mainan istilah dan semantik sehingga ketepi kenyataan bahawa bangsanya pernah dijajah.

Hal ini jadi bahan tawaan orang apabila penyataan “Malaysia tak pernah dijajah” dihembur tanpa bukti kajian dan jilid ilmiah terperinci untuknya. Ia hanya dilontar dalam satu sidang media Majlis Profesor Negara (MPN) dan disusuli satu-dua forum awam.

Tujuannya pula lebih hanya untuk meyakinkan rakyat dalam jangka masa pendek; bukan menyatakan kebenaran dan perincian fakta sejarah yang sesungguh-sungguhnya. Dalam kata lain, MPN melalui dua-tiga orang profesor yang bersekongkol menyatakan “Malaysia tak pernah terjajah” lebih berperanan sebagai “orang politik”. Bukan sebagai juru akademik dan ilmuan. Sidang media oleh MPN berhubung isu itu diadakan pada 9 September 2011.

Dua-belas hari kemudian, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pun dihadap ke mahkamah, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Bukan kelaziman polemik sejarah jadi perbicaraan mahkamah. Apakah yang sangat ditakuti dengan kenyataan daripada isi ceramah Mat Sabu? Atau mengapa ada yang begitu gementar dengan Mat Indera; seorang lelaki guru agama kelahiran Batu Pahat, Johor yang menganggotai sayap Angkatan Pemuda Insaf (API)? Di bawah direkodkan kembali sepotong kenyataan media oleh MPN yang barangkali boleh membuka kotak pandora untuk menjawab soalan-soalan di atas:

Golongan kiri atau radical dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ingin menentang dengan kekerasan kerana mereka adalah terpengaruh dan terikut dengan gerakan anti-penjajahan Indonesia terutama oleh Sukarno dan Hatta.

Sejak sekian lama, murid-murid sekolah diajarkan bahawa Malaysia mencapai kemerdekaan dengan “jalan rundingan”. Tunku Abdul Rahman diangkat sebagai Bapa Kemerdekaan. Tunku adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Sejak 1957, Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah perikatan tunggal yang memerintah. Parti itu jua yang dikatakan memperolehi kemerdekaan dari Inggeris, dengan jalan rundingan: “merdeka cara aman”.

Keperluan menyokong Umno-BN pada hari ini bukan sahaja kerana Umno-BN telah berjasa memerdekakan tanahair, tetapi kemerdekaan itu tanpa tumpah darah—di sinilah titik khianat di dalam sejarah yang dipertahan segelintir orang itu. Biar bagaimanapun bobrok kepimpinan elitnya, atau dasar-dasar yang [barangkali] sudah tidak sesuai dengan zaman, namun, tetap Umno-lah yang harus didukung kerananya Malaysia merdeka.

Gambaran ini berderai apabila muncul nama Mat Indera.

Di belakang nama Mat Indera, tak dapat ditutup lagi hakikat ada pertubuhan dan parti lain, selain Umno, yang dibentuk lebih awal daripada Umno, yang, berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu. Parti-parti seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Hizbul Muslimin diharamkan Inggeris—bagaimanakah Inggeris boleh mengharamkan parti-parti ini kalau bukan Inggeris yang berkuasa? Ini juga satu bukti bahawa tak punya beza pengertian antara “tanah lindungan” dengan “tanah jajahan” macam yang didakwa.

Yang dibenarkan bergerak hanya Umno: sebuah parti yang ditubuhkan selepas Perang Dunia ke-2, iaitu tempoh waktu untuk ‘menyambut’ kedatangan Inggeris kembali ke Tanah Melayu. Orang Melayu sebagai kaum majoriti haruslah disatukan di bawah satu pertubuhan politik bagi tujuan itu.

Dato’ Onn Jaafar, si pendiri Umno, juga akhirnya terhindar keluar apabila beliau melihat bahawa gagasan parti satu kaum akan mendatangkan mudarat bagi masa hadapan Tanah Melayu. Terutamanya selepas merdeka. Buah fikiran parti pelbagai kaum, bukan idea Inggeris; tidak cocok dengan Inggeris, dan kerana itu Dato’ Onn harus dikesamping daripada barisan elit Umno.

Malayan Union digemparkan untuk ditubuhkan. Berserta itu, orang-orang Melayu ditakut-takutkan. Terasa pula bahawa Inggeris seakan tidak serius. Inggeris—dengan segala kekuatan yang ada padanya—boleh sahaja meneruskan gagasan Malayan Union kalau mereka mahu; kala mana kuasa sultan-sultan Melayu berada dalam keadaan cukup lemah. Namun kenyataan sejagat pertengahan abad 20 ialah memiliki wilayah jajahan bukan lagi keutamaan mana-mana empayar Eropah. Ketika sama, Barat sudah cukup matang wacananya mengenai imperialisme, kebebasan, hak-hak asasi manusia dan kerakyatan.

Daripada perspektif dan latar ini, mencanangkan Malaya Union tak lebih hanya justifikasi agar Umno (parti anak emas Inggeris) itu jadi releven. Sementara di mata “golongan kiri”, tanpa atau dengan Malayan Union, Inggeris tetap penjajah yang harus dihalau. Pengalaman Indonesia tentulah munasabah untuk dijadikan contoh rujukan. Indonesia merdeka dan terbangun sebagai sebuah negara-bangsa pada 1945; 12 tahun lebih awal daripada kemerdekaan Tanah Melayu.

Entah apa yang dimaksudkan “radikal” sepertimana dalam kenyataan media MPN, kalau bukan sebermula kenyataan API iaitu “merdeka dengan darah”, yang turut dipetik daripada perjuangan nasionalis sebelum Indonesia merdeka. Ia, sesungguhnya lebih awal dari itu…

Kemerdekaan India—satu lagi koloni Inggeris—adalah kemerdekaan yang datang daripada semangat penentangan sama, iaitu menolak kerjasama dengan penjajah. India merdeka pada 1947. Mahatma Ghandi, pejuang dan bapa pendiri India berslogan “lakukan atau mati”, yang menjadikan sosok tubuhnya sebagai ‘senjata’. Yang dimaksudkan sebagai “lakukan” (“do”) adalah “merdeka”.

Demikian sembang-sembang mengenai “siapa Mat Indera” membuka selera dan semangat baru kepada kita hari ini untuk selidiki lebih mendalam mengenai sejarah bangsa berhubung perjuangan kemerdekaan. Adalah sesuatu yang angkuh bila dikatakan kesedaran kemerdekaan di Tanah Melayu terputus dengan kesedaran di negeri-negeri lain yang sama terjajah, sama ada Indonesia (Belanda), Filipina (Sepanyol) mahupun India (Inggeris), misalnya.

Sendal-sendal dan alang-alang sejarah aliran pemerintah pun ada yang mulai patah. Umno dan Barisan Nasional (BN) memerintah negara ini sejak merdeka, dan sejak itu tak pernah sekalipun anak watan dapat melihat sejarah daripada versi yang bukan versi pemerintah Umno-BN.

Catatan dan buku-buku sejarah yang bukan ditulis dan diterbitkan pemerintah, dianggap tidak berwibawa meskipun ditulis oleh individu pencipta sejarah itu sendiri. Misalan yang ada ialah buku Merintis Jalan Ke Puncak, iaitu memoir Ahmad Boestaman. Buku 188 muka surat ini pertama kali diterbitkan oleh Penerbitan Pustaka Kejora pada 1972. Sejak penerbitan sulung, tidak ada usaha untuk ulang terbitkannya kembali.

Di dalam buku itu, turut diceritakan bagaimana PKMM yang mulanya salah sebuah badan gabungan Umno, keluar daripada Umno kerana ingin menentukan lambang atau bendera Umno. Persoalan yang timbul bukanlah tertumpu sangat kepada Sang Saka Merah Putih sepertimana yang dicadangkan oleh KMM, tetapi sistem undian yang memberi hak satu badan dengan dua undi; tanpa mengira kecil atau besar sesuatu pertubuhan berkenaan. Cadangan PKMM, kalah dengan hanya satu undi. Sidang pertama Umno itu diadakan di Ipoh, Jun 1946.

Maka tidak hairan, bagaimana asas bendera Umno sepertimana yang wujud hari ini adalah daripada Sang Saka Merah Putih, sama seperti bendera Indonesia. Sama juga seperti bendera Pas mahupun bendera Republik Singapura. Hanya bendera Umno dibubuh lingkung bulat kuning yang di tengahnya diletakkan imej keris tanpa sarung.

Umno adalah parti aliran kanan. Sebuah parti perkauman yang tidak menjadikan slogan “merdeka” sebagai slogan awal mereka. Slogan awal Umno ialah “hidup Melayu”. Slogan merdeka dibawa awal oleh parti-parti kiri, termasuklah PKMM.

Hanya selepas mendapati ada ruang di mana Inggeris mahu memberikan kemerdekaan ke atas Tanah Melayu, barulah Umno mengguna-pakai slogan merdeka sebagai slogannya. Dengan yang demikian, tidakkah Umno secara tak sedar menerima dan mengakui bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan itu adalah kesedaran awal oleh parti-parti dan tokoh-tokoh lain di luar Umno?

Begitulah sejarah yang jelas nyata ini tak juga selesai, demi survival Umno khususnya. Atas sebab itu jualah, nama pejuang seperti Mat Indera begitu ditakuti. Membuka kenyataan sejarah ini bakal menjadikan teras sejarah Umno terbongkar dan tercabut. Kesannya psikologinya ialah, generasi muda takkan lagi terasa terhutang budi untuk terus menyokong sebuah parti yang memerintah Malaysia sekian lama. Mat Indera bukan hanya telah menyerang Bukit Kepong, sepertimana 61 tahun lalu. Dia juga kini sedang menyerang titik tengah kekuatan parti pemerintah. Kepada Umno, barangkali keadaan inilah yang paling ditakutinya.

Karangan ini asalnya adalah bahan bacaan sisipan bertajuk Siapa Takut dengan Mat Indera? yang disediakan untuk forum awam “Malaysia dan Sejarah yang Belum Selesai” anjuran Akademi Pak Sako di Hotel Quality, Shah Alam pada 7 Oktober 2011 (Jumaat), jam 8 malam.

Hasmi bin Hashim, 35—seorang aktivis politik, aktif memain peranan sebagai intelektual awam dengan kritikan sosial, politik-kekuasaan dan kebudayaan. Di dalam arena penulisan lirik lagu, beliau antara lain memakai nama pena Buddhi Hekayat.



Diambil dari : jalantelawi.




No comments:

Post a Comment