Pages

Tuesday, September 27, 2011

BN, UMNO, Melayu hilang arah...

Posted by Aspan Alias

BN - hilang arah, hilang tumpuan dan hilang 'priority' dalam perjuangan

Isu bertambah-tambah sekarang ini. Isu klip video ‘undilah’ sedang diperkatakan dengan hebat di mana-mana. Arahan MCMC untuk menarik balek penyiarannya di TV saluran perdana merupakan satu tindakan yang membayangkan kerajaan sedang begitu takut dengan keadaan politik sekarang.

Ahli Parlimen Kota Belud memberi ulasan yang video itu mengandungi unsur anti BN dan beliau menyokong tindakan mengarahkan saluran-saluran TV untuk tidak menayangkan video itu. Apa kandungan yang dianggap sebagai anti BN tidak dapat di ketahui tetapi orang ramai berpendapat yang kata-kata Tengku Razaleigh yang menyebut negara kita ada masalah merupakan penyebab kenapa video itu di katakan anti BN. Pemimpin BN minta semua orang berkata yang BN tidak ada masalah.

Bagi setengah pemimpin berpendapat BN merasa pedasnya dengan kata-kata itu kerana mereka yang paling banyak memakan cili itu. Kata-kata Tengku Razaleigh itu merupakan kata-kata yang amat ditakuti dan sekali gus ianya dianggap sebagai anti BN sedangkan Tengku Razaleigh tidak pun menyebut apakah masalah-masalah yang beliau maksudkan. Itu menunjukan yang pemimpin UMNO sedar yang mereka sedang menghadapi masalah.

Hakikatnya BN memang bermasalah khususnya UMNO. Kalau tidak ada pun kata-kata Tengku Razaleigh itu rakyat tahu BN berada dalam masalah besar yang belum pernah dialaminya sebelum ini. Kalau tidak ada masalah masakan keadaan haru biru yang di alami negara sekarang ini wujud.

Saya selalu menyebut dalam tulisan saya sebagai seorang yang telah begitu lama menyertai UMNO bercakap benar itu seolah-olah menjadi cegahan dan sesiapa bercakap secara jujur dan terbuka orang itu akan menghadapi masalah dan ditekan dan diketepikan. Pemimpin BN hanya mahu pujian walaupun tidak betul.

BN bermasalah dengan keyakinan rakyat terhadapnya. Krisis keyakinan ini sangat besar yang datang dari setiap sudut. BN sudah diketahui rakyat sebagai pentadbir yang melakukan ‘stripping’ terhadap aset negara kepunyaan rakyat untuk kepentingan beberapa orang tertentu dalam kerajaan.

Ramai kroni kepada pemimpin-pemimpin tertinggi negara menyelesaikan masalah hutang mereka dengan menggunakan wang dan harta rakyat dan negara secara sistematik dan akhirnya ramai pula rakyat yang menyokongnya kerana menipu mereka. Orang Melayu dan UMNO akan menyokong siapa sahaja yang menipu dan membohongi mereka.

‘Corporate Exercise’ Air Asia dan MAS adalah isu yang besar dan sudah diketahui umum sebagai satu tindakan yang amat buruk padahnya kepada kerajaan BN pimpinan UMNO ini. ‘Share swap’ di antara AA dan MAS ini merupakan penipuan terancang bagi kepentingan orang-orang dan pihak tertentu dalam persekitaran pihak berkuasa. Urusan yang sebesar ini tentunya telah mendapat persetujuan Kabinet dan kita tidak tahu kenapa kerajaan yang menjaga amanah kepada harta rakyat melalui Khazanah itu tidak bertanggungjawab terhadap isu ini.

Apa yang berlaku di antara Air Asia dengan MAS merupakan satu kes pemindahan harta rakyat kepada beberapa individu yang berkepentingan serta satu ‘exercise’ untuk menyelesaikan hutang beberapa orang kroni dengan menggunakan harta rakyat pembayar cukai.

Tuntutan Bersih untuk pihak kerajaan melaksanaan 8 tuntutan dalam pengendalian pilihanraya masih lagi menghantui pimpinan sehinggakan pimpinan kita menghadapi pandangan serong oleh masyarakat antarabangsa kerana kegagalan menyelesaikan masalah tuntutan ini.

Perpecahan di dalam UMNO di setiap peringkat akan menjadi penghalang yang terbesar dalam usaha UMNO mendapatkan keyakinan rakyat keseluruhan untuk terus memberikan sokongan terhadapnya. Telah di sebut acapkali yang UMNO akan menurunkan calon-calon yang ‘winnable’ tetapi sehingga hari ini parti itu menghadapi kesulitan untuk mencari calon yang ‘winnable’ itu kerana ‘winnable’ atau tidaknya seseorang calun itu merupakan elemen intrepitasi masing-masing.

Saya tidak nampak UMNO akan mampu melaksanakan pencarian calon-calon ‘winnable’ itu kerana UMNO itu sudah terlalu dipersoalkan oleh rakyat untuk kekal sebagai sebuah parti yang ‘winnable’.

Dalam definasi ‘winnable’ itu ianya mesti seorang calon dari parti yang ‘winnable’ serta calon yang akan diberikan sokongan dan dukongan oleh parti dan pimpinan setempat. Ramai yang berpendapat yang calon-calon yang dikatakan sebagai calon yang ‘winnable’ itu sebahagiannya adalah calon ‘payung terjun’ yang akan ditentukan oleh pucuk pimpinan.

Dalam parti sedang berkecamuk di peringkat bahagian-bahagian ini untuik meletakan calon payung terjun itu akan hanya memberikan padah yang lebih buruk terhadap parti UMNO itu sendiri. Dulu-dulu calon-calon payung terjun ini mudah diterima kerana semasa itu sikap perjuangan masih menebal dan rakyat tahu turunnya calon payung terjun itu adalah untuk kebaikan perjuangan parti.

Tetapi perjuangan itu sudah lama hilang dan orang ramai menerimanya sebagai tindakan yang hanya memberikan kepentingan beberapa kelompok dalam pimpinan parti dan calon-calon itu adalah calon kepada kelompok di dalam UMNO sahaja. Najib pastinya akan hanya menurunkan payung terjun dari mereka yang menyebelahi beliau kerana isu ini penting bagi menjaga keselesaan beliau sebagai pemimpin utama.

Keadaan ini lebih lagi menjadi perhatian kerana tindakan secara senyap-senyap mereka di dalam UMNO untuk menurunkan Najib dari kepimpinan itu adalah real dan nyata kepada mereka yang memerhatikan politik UMNO secara detail. Di kalangan pemimpin UMNO di peringkat tertinggi bukannya baik sangat sebenarnya. Masing-masing mahukan calon-calon yang di turunkan nanti adalah dari kelompok mereka dalam parti.

Dalam proses pemilihan calon-calon ini lah akan timbul permasalahan yang besar di dalam UMNO kerana masing-masing akan mengaku dan yakin yang setiap di antara yang bercita-cita itu merasakan yang mereka adalah calon-calon yang ‘winnable’. Tetapi tidak kurang pemimpin-pemimpin yang adalah di dalam barisan kepimpinan bahagian-bahagian UMNO sekarang ini mempunyai ‘apprehension’ untuk menjadi calon UMNO pada masa ini kerana belum pasti menang dalam pilihanraya kali ini.

Ahli-ahli UMNO tidak sehaluan dengan ahli-ahli dari MCA dan Gerakkan dan saya pernah menulis yang BN di Semenanjung itu adalah UMNO tanpa parti-parti komponen yang lain. Jika keadaan ini berlaku BN itu UMNO, UMNO itu adalah BN di Semenanjung ini yang dijangkakan akan hanya mempunyai kurang dari 70 kerusi selepas pilihanraya yang akan datang.

Sesungguhnya UMNO telah terlalu lama terabai kerana sudah terlalu lama dikuasai oleh manusia pemimpin yang terlalu mementingkan kuasa peribadi. Ketagihan mendapat kuasa menyebabkan parti menjadi korban dan budaya perjuangan yang ada di dalam UMNO sudah terlalu jauh dan menyimpang dari matlamat asal perjuangannya.

Sesuatu parti politik itu selalunya ada budaya yang menyebabkan parti itu tertubuh. Tetapi apabila budaya yang selama ini telah memperkuatkan perjuangan parti itu sudah hilang, maka identiti parti itu dengan sendirinya hilang. Apabila identitinya hilang maka parti itu akan dengan sendirinya lemah dan tersasar dari matlamat asalnya.

Banyak bangsa di dunia ini telah hilang dan hanya tinggal di kawasan-kawasan terpencil di banyak negara dan ketinggalan di dalam pembangunan dunia sejagat ini. Semuanya berlaku bermula dengan kehilangan identiti bangsa mereka.

UMNO dan pemimpin-pemimpinnya sedang menjurus ke arah itu….maruah boleh dijual beli. Yang penting mereka menjadi pemimpin. Samada mereka dihormati atau dipandang rendah oleh rakyat tidak menjadi isu.

Sekarang ini Najib sedang menjelajah negara dan ber 'shopping' undi. Beli sana dan beli sini. Jika menang lagi boleh cari lagi wang untuk menggantikan yang telah di belanjakan dalam masa sibuk membeli undi sebelum PRU itu. Keadaan akan menjadi seperti biasa kembali....pemimpin sibuk menyaingi rakyat untuk berniaga dengan bermodalkan kuasa yang di berikan rakyat tadi.

Walaupun 'Melayu tidak akan hilang di dunia in' tetapi 'Melayu akan hilang dunianya'. Syabas UMNO kerana Melayu sudah beransur-ansur hilang dunianya hasil dari perjuangan parti ini.

Link : bn-hilang-arah-hilang-tumpuan-hilang.


No comments:

Post a Comment