Pages

Tuesday, September 27, 2011

Demokrasi olok-olok di Malaysia

Oleh



Belum demokrasi dengan mansuh ISA

September 27, 2011

27 SEPT — Tidaklah Malaysia menjadi sebuah negara demokrasi dengan cadangan Perdana Menteri hendak memansuhkan ISA. ISA belum dimansuhkan. Ia baru cadangan.

Ia satu cadangan yang baik. Bagi Islam, penganutnya akan dapat satu pahala apabila dia berniat untuk membuat satu kebaikan. Dia akan dapat pahala lagi bila niat itu dilaksanakan. Jika niat itu tidak dilaksanakan, pahala niat tadi kekal. Cuma dia tidak dapat pahala melaksanakannya.

Dengan membatalkan ISA, tiada lagi orang yang ditahan kerana ideology politiknya, tiada lagi tahanan tanpa bicara, hanya mahkamah yang mereman dan memenjara seseorang, maka ia memenuhi satu dari syarat demokrasi.

Membatalkan syarat memohon baru setiap tahun bagi mesyin cetak dan penerbitan berkala adalah satu lagi ciri demokrasi, tetapi ia belum lagi segala-galanya dalam soal penerbitan akhbar dan majalah. Banyak lagi yang perlu bagi kebebasan berakhbar.

Terlalu awal untuk berasa lega dengan niat memansuhkan ISA. Kita kena tunggu dulu dua akta ganti, baru boleh ditentukan ada atau tidaknya keadilan dengan pembatalan itu.

Seeloknya cadangan pemansuhan itu diikuti dengan membebaskan tahanan ISA yang ada dengan serta merta. Justeru ia diumum pada malam Hari Malaysia 16 Septermber, maka serentak diumumkan pembebasan mereka. Banyak kerajaan di dunia membebaskan tahanan dan banduan sempena ulang tahun hari nasional atau hari lahir raja yang memerintah.

Jika niat tadi bersih tidak perlu tahanan itu menunggu bila pemansuhan itu hendak dibuat, semangat demokrasi itu sudah boleh ditunjukkan seawal niat itu diumumkan.

Apapun pembatalan ISA itu memenuhi tuntuan semua orang yang mahu ia dihapuskan dan yang mengira ia adalah satu akta yang zalim. Apa jua alas an kerajaan untuk menamatkannya, ia adalah satu akta yang zalim.

Ia baru memenuhi satu dari ciri demokrasi. Banyak lagi yang perlu dibuat bagi menjadikan Malaysia sebuah negara demokrasi.

Mengadakan pilihan raya memilih kerajaan lima tahun sekali dan mengadakan pilihan raya kecil bila kerusi Parlimen atau DUN kosong, baru memenuhi satu dari kehendak demokrasi tetapi belum lagi sistem itu demokrasi segala yang dituntut oleh Bersih 2.0 tidak dipenuhi.

Pilihan raya itu demokrasi, tetapi pengendalian pilihan raya belum tentu ditunaikan mengikut semangat demokrasi. Hal ini belum ditangani oleh Perdana Menteri Najib dan orang belum yakin ia akan dilayan.

Kita perhatikan pula pentadbiran polis dan sistem kejaksaan kita. Adakah perjalanan polis sejak tahun 1960 dilakukan secara profesional atau ia dibuat mengikut kehendak parti yang memerintah? Adalah wajar polis mendengar nasihat Perdana Menteri, tetapi tidaklah wajar polis bertindak atas kehendak ketua Umno cawangan.

Selepas 13 Mei 1969, hanya Tun Hanif Omar saja yang dirasakan ada sedikit sebanyak keterbukaan profesionalnya. Itu pun belumlah mencapai tahap yang terbaik. Boleh jadi polis sudah merasakan ia telah membuat yang terbaik bagi profesionalnya, tetapi dari segi KPI dan NKRAnya pada mata orang berfikiran kritis, ia belum jadi Polis Diraja, bahkan lebih kepada Polis DiUmno.

Begitu juga sistem kehakiman dan jabatan peguam negara. Adakah para hakim kita berkhidmat mengikut kehendak undang-undang sebenar-benarnya dan mereka bebas mentafsirkannya atau ditentukan oleh satu peraturan yang tidak bertulis dari luar mahkamah?

Sejak peristiwa yang terjadi kepada Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dan beberapa hakim lagi hujung tahun 1980an, perkhidmatan kehakiman tidak dirasakan mengikut profesionalnya lagi, bahkan ia dilihat sebagai pihak yang terkongkong.

Apabila Tun Zaki Azmi diberitakan bersara sebagai Ketua Hakim Negara baru-baru ini, ada yang terasa beliau seolah-olah baru dibebaskan dari tahanan ISA. Dan gantinya pula seolah-olah baru menjalani perintah ISA. Mungkin ia tidak begitu tetapi itulah pesepsi pro merdeka dan pro demokrasi.

Banyak lagi yang boleh disenaraikan bagi membuktikan demokrasi yang berjalan itu adalah demokrasi olok-olok. Dengan menghapuskan ISA, maka ia belum bebas dari dunia olok-oloknya.

Apabila yang ada itu adalah demokrasi olok-olok, bukanlah Perdana Menteri Najib dan ketua-ketua kerajaan sebelumnya tidak tahu yang mana satu demokrasi olok-olok dan yang mana pula demokrasi yang seelok-eloknya. Mereka tahu yang mana olok-olok dan yang mana yang seelok-eloknya.

Tetapi jika Malaysia keluar dari demokrasi olok-olok kepada yang elok, maka monopoli memerintah bagi Umno dan BN tidak terjamin lagi. Demokrasi boleh mengekalkan mereka berkuasa dan demokrasi juga boleh menghilangkan kuasa.

Itulah yang ditunggu oleh rakyat. Najib tidak mahu demokrasi seperti itu. Demokrasi elok boleh mengubah kuasa apabila rakyat merasa ia perlu berubah, tetapi demokrasi olok-olok payah bagi rakyat mengubah kuasa bila mereka merasakan kuasa perlu diubah.

Maka pilihan Umno untuk Malaysia ialah demokrasi olok-olok.




Sumber : belum-demokrasi-dengan-mansuh-isa







1 comment:

  1. Setakat cut n paste tak payahlah brother. Pegang jawatan dulu dalam pengurusan kerajaan, rasa macam mana. Jangan ikut rasa kau je bercakap. Ko ingat orang suka ke sama tulisan kau. Naik meluat lagi ade lah...

    ReplyDelete