Pages

Sunday, September 11, 2011

Rentetan dari Berita Terkini Paling Celaka..


Cukai perkhidmatan 6%: Najib tuding jari


PETALING JAYA: Kegemaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak suka menuding jari kepada orang lain apabila keputusannya sendiri tidak disukai rakyat sudah menjadi tabiat.

“Oleh itu tidak hairanlah apabila Najib menyalahkan syarikat telekomunikasi atas kenaikan harga akibat cukai perkhidmatan 6%,” kata Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli dalam satu kenyataan media.

Katanya, adalah tidak patut dan memalukan apabila seorang Perdana Menteri menyatakan beliau tidak tahu menahu mengenai kenaikan kos prabayar yang ditanggung rakyat, sedangkan beliau sendiri dengan gahnya mengumumkan kenaikan cukai perkhidmatan dalam pembentangan Belanjawan 2011 di Dewan Rakyat tahun lepas.

“Rakyat harus sedar bahawa cukai perkhidmatan 6% ke atas perkhidmatan telekomunikasi termasuk kad prabayar adalah cukai kerajaan.

“Cukai ini adalah milik kerajaan sepenuhnya dan tidak ada satu sen pun yang masuk poket mana-mana pihak lain, yang hanya bertanggungjawab mengutip cukai ini bagi pihak kerajaan,” jelas beliau.

Rafizi berkata, setiap tahun, dianggarkan kerajaan mengutip sehingga RM750 juta daripada pembelian kad prabayar oleh rakyat Malaysia.

“Walaupun saya berpendapat keputusan syarikat telekomunikasi untuk menaikkan kos kad prabayar untuk menampung kenaikan cukai perkhidmatan adalah tidak berpatutan kerana keuntungan mereka yang begitu tinggi, kita juga perlu adil dengan memahami bagaimana kos bagi segmen prabayar meningkat apabila cukai perkhidmatan dinaikkan.

Namun, tabiat Perdana Menteri yang suka menuding jari dan tidak mahu mengambil tanggungjawab perlu ditegur dengan keras oleh ahli-ahli politik dan pimpinan golongan niagawan.

Ujar beliau, “kerajaan tidak boleh berdolak dalih dalam melaksanakan dasar percukaiannya. Jika ia telah meluluskan undang-undang yang menetapkan semua perkhidmatan dikenakan cukai 6% sebagai satu bentuk cukai penggunaan, ia tidak boleh secara diam-diam berharap cukai itu ditanggung oleh syarikat.

“Ini kerana cukai perkhidmatan adalah satu bentuk cukai yang ditanggung oleh rakyat bagi tujuan mengawal penggunaan,” terangnya.

Menurut beliau, tabiat sebegini akan menghuru-harakan keadaan. Ia akan menyebabkan pentadbiran percukaian dan ekonomi negara kucar-kacir kerana kaedah percukaian yang berbeza sudah hilang maknanya.

“Ini berlaku apabila Perdana Menteri sendiri yang keliru di antara tujuan dan fungsi di antara cukai langsung (ke atas keuntungan dan pendapatan) berbanding cukai tidak langsung (ke atas penggunaan melalui cukai perkhidmatan dan barangan).

“Maka tidak hairanlah kenapa Perdana Menteri sehingga sekarang tidak berjaya mengembalikan keyakinan pasaran kepada dasar dan kepimpinannya,” katanya.

Rafizi menerangkan tabiat Najib juga berbahaya kerana ia memberi gambaran syarikat berlainan akan mendapat layanan berbeza walaupun undang-undangnya sama.

“Jika beliau mahu syarikat telekomunikasi menanggung cukai perkhidmatan 6%, beliau juga perlu berlaku adil kepada semua.

“Makanya, beliau wajar memberi arahan agar semua syarikat lain dari pelbagai industri, termasuklah industri penyiaran (Astro) hinggalah kepada industri makanan (KFC dan restoran mamak) juga perlu menanggung cukai perkhidmatan itu,” terangnya.

Katanya, “alang-alang beliau mahu menjadi jaguh rakyat, lebih baik beliau menghapuskan saja cukai perkhidmatan kerana beliau tidak ada hak untuk memberi arahan kepada mana-mana syarikat supaya menanggung cukai perkhidmatan.

“Tindakan itu akan menyebabkan sudah tidak ada beza di antara cukai perkhidmatan dan cukai pendapatan,” tambahnya.

Hakikatnya kata beliau, rakyat harus sedar bahawa tindakan Najib menaikkan cukai perkhidmatan kepada 6% berkuatkuasa 1 Januari 2011 memainkan peranan dalam kenaikan kos, termasuk kos prabayar.

“Jika beliau mahu menjadi seorang Perdana Menteri yang bertanggungjawab, beliau sepatutnya mengumumkan pengecualian daripada cukai perkhidmatan semua perkhidmatan harian yang ditanggung sebahagian besar rakyat; termasuklah perkhidmatan siaran TV berbayar (Astro), telekomunikasi dan restoran.

“Itu lebih bertanggungjawab daripada terus menuding jari kepada orang lain apabila keputusannya dibangkang rakyat,” ujar beliau.


Sumber - cukai-perkhidmatan-6-najib-tuding-jari/



No comments:

Post a Comment