Umno Baling jawab isu video
Wanita dalam rakaman ini (kiri) cuba melakukan provokasi hanya untuk mendapatkan wang pengundi luar.
BALING - Umno Bahagian Baling tampil menjelaskan isu video kononnya Umno Baling membeli pengundi yang tersebar secara meluas di laman sosial.

Video berdurasi 1 minit 20 saat itu dirakamkan di Pejabat Barisan Nasional (BN) oleh pihak  tertentu yang dipercayai bertujuan untuk menjatuhkan imej BN.

Video itu memuatkan perlakuan seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang meminta wang dalam keadaan marah kepada kakitangan Pejabat BN yang bertugas.

Wanita itu turut bertegas berhak mendapat wang terbabit kerana dia merupakan pengundi luar dan mendakwa dia telah menyokong BN bagi kerusi Dun dan Parlimen.

Kenyataan itu disalah anggap oleh banyak pihak yang mendakwa BN membeli pengundi semasa hari pengundian 5 Mei lalu.

Namun begitu, kenyataan yang disiarkan Umno Bahagian Baling juga menerusi laman sosial menegaskan wang tersebut bukan bertujuan membeli pengundi, sebaliknya adalah bayaran kepada penyokong BN bagi menampung kos perjalanan mereka untuk balik mengundi.

Wang terbabit juga diberikan selepas hari pengundian bukan sebelum tempoh pengundi dan mereka yang menerima wang itu adalah mereka yang tinggal luar daerah ini.

Wanita tersebut juga turut membuat provokasi sama di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lubuk, Kabu, Kuala Pegang.

Siasatan mendapati, wanita itu bukan merupakan pengundi BN dan dia menerima wang pengundi luar sebanyak dua kali iaitu di Pejabat BN dan juga di PDM.

Terdapat dakwaan mengatakan wang pengundi luar dipotong dari RM400 kepada jumlah yang rendah.

Dakwaan ini sememangnya tidak benar kerana wang untuk pengundi luar berbeza mengikut jarak dan kos perjalanan mereka iaitu dari RM30 sehingga RM200.