boikot

boikot

Segarkan ingatan anda...

Segarkan ingatan anda...

Monday, April 8, 2013

BN sudah sampai ke peringkat “change or die”

Satu kupasan yang menarik ditulis oleh penulis pro mesra BN yang mana ingin mnyelamatkan Barisan Nasional..


BARISAN Nasional MASIH boleh mengharapkan sokongan majoriti pengundi Malaysia. Tetapi cabaran daripada Pakatan Rakyat kali ini jauh lebih hebat.

Saya sengaja menyerlahkan (highlight) perkataan masih bagi menekankan kesementaraan sokongan kepada parti pemerintah itu.

Kalau BN gagal membuat inovasi yang ketara dalam pilihan raya umum kali ini, riwayatnya sebagai parti pemerintah mungkin berakhir.

Tidak keterlaluan kalau saya katakan, BN sudah sampai ke peringkat “change or die” (berubah atau mati).

Saya mohon izin untuk mengambil ruang yang lebih panjang sedikit membahaskan perkara ini, khasnya dan mengenai PRU secara umum, daripada aspek statistik.

Reality Check

1. Tanggapan bahawa BN kuat dan pembangkang lemah adalah tidak sepenuhnya tepat. Sokongan kepada pembangkang sentiasa ada, malah boleh dikira kuat. Cuma di bawah sistem perwakilan kita, iaitu sistem “plurality-majority”, pembangkang gagal memperoleh bilangan kerusi yang mencukupi untuk memerintah.

2. Di bawah sistem “kalah mati” kita, seorang calon menang dan partinya memperoleh kerusi walaupun dia mendapat kelebihan satu undi sahaja.

3. Pada PRU 2008, BN memperoleh 51.4% undi di peringkat parlimen, tetapi berjaya menguasai 140 kerusi Dewan Rakyat. Ini bermakna walaupun gabungan DAP-PKR-PAS dan parti-parti kecil lain mendapat 48.6% undi, mereka berjaya menguasai 82 kerusi sahaja.

4. Di bawah sistem perwakilan berkadar (proportional representation) seperti diamalkan di beberapa buah negara, termasuk Austria, Belgium, Cyprus, Denmark, Finland, Germany, Greece, Ireland, Luxembourg, Malta, the Netherlands, Norway, Portugal, Spain, Sweden, Switzerland dan New Zealand, pembahagian kerusi dibuat mengikut peratus undi yang diperoleh.

Misalnya, kalau parti A memperoleh 10% undi dan bilangan kerusi dewan adalah 100, maka ia akan mendapat 10 kerusi. Dalam konteks PRU 2008, kalau sistem itu digunakan, BN mendapat 114 kerusi dan pembangkang 108 kerusi.

5. Sejak PRU 1959, pembangkang sentiasa memperoleh lebih daripada 34% undi popular. Prestasi paling buruk pembangkang adalah dalam PRU 1995 apabila ia memperoleh 34.9% dan paling baik pada 1969 dengan 55.1%. Pada 1964 pembangkang mendapat 41.8%, 1974 49.3% (PAS menyertai BN), 1978 42.8% (PAS dipecat daripada BN), 1982 39.5% (PRU pertama Dr Mahathir/Anwar Ibrahim masuk Umno), 1986 42.7%, 1990 46.6% (Ku Li keluar Umno), 1995 34.9%, 1999 43.5% (pemecatan Anwar), 2004 36.2% dan 2008 48.6%.

Apa Yang BN Kena Buat

1. Rekod BN (termasuk Perikatan) sebagai parti pemerintah adalah antara yang paling cemerlang di kalangan parti-parti politik nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan malah boleh dianggap setanding dengan LDP di Jepun dan Kuomintang di Taiwan.

2. Tetapi sebagaimana juga LDP dan Kuomintang, BN menjadi leka dan sombong akibat kuasa dan kejayaannya. Kepemimpinannya menjadi birokratik dan feudalistik. Pewarisan menjadi sukar dan kerap disabotaj oleh “warlords” di peringkat cawangan dan bahagian. Ramai pemimpin naik kerana senioriti, main selamat, mengampu dan dinasti.

3. Kalau BN mahu terus relevan, ia wajib menggunakan PRU kali ini bagi membersihkan diri daripada panglima perang, kayu reput dan kayu hanyut, paku karat dan paku longgar serta bertindak tegas terhadap rasuah, salah guna kuasa, pilih kasih dan campur tangan anak bini dalam pentadbiran dan urusan rasmi.

4. Kalau atas sebab dan alasan apa jua BN tidak dapat membuat peralihan melalui PRU kali ini, ia tidak boleh menyalahkan pemilih dan pengundi kalau ia dihukum dengan lebih berat.

5. BN wajib mengakui kelemahan dan kegagalan sesetengah pemimpin atasannya dan bertindak tegas menggantikan mereka kalau MASIH mahu memerintah.

6. BN tidak ada pilihan melainkan bertindak tegas dan keras meminggirkan wakil rakyat - tidak kira wakil biasa, menteri atau ahli exco, yang gagal dan membebankan parti.

7. BN tidak ada pilihan melainkan bertindak tegas dan pantas meletakkan lebih banyak calon muda, wanita dan teknokrat yang berwibawa, bersih, telus dan berwawasan.

8. Kalau BN MASIH berhasrat untuk terus memerintah, ia perlu, melalui PRU kali ini, menyekat daripada menjadi parti haiwan purba dan menyemarakkan semula proses penggantian dan pewarisan yang sihat seperti yang berlaku pada PRU 1982 apabila begitu banyak calon baru dan muda diketengahkan.

9. LDP dan Kuomintang tumbang kerana dilihat sebagai parti orang tua, parti warlords, parti feudal dan parti komisen. Mereka kembali berkuasa hanya selepas memberi peluang kepada generasi muda dan pelapis serta membebaskan diri daripada cengkaman golongan peniaga dan kapitalis.

10. BN wajib menerima hakikat bahawa PR mempunyai nisbah pemimpin muda dan berpelajaran yang lebih besar daripadanya. Ini menyebabkan PR dilihat sebagai lebih mesra generasi muda.

Kesimpulannya, BN sudah sampai ke persimpangan yang sangat mencabar. Tersalah pusing, BN mungkin berubah daripada MASIH berkuasa kepada TELAH hilang kuasa. Diukur daripada undi popular, pembangkang sudah ada bilangan dan momentum. Yang mereka tidak ada adalah bilangan kerusi. Cabaran kepada BN lebih getir seandainya parti-parti Pakatan Rakyat bijak dan tepat mengatur serta membahagikan kerusi. Wallahualam.

Mampukah Najib melaksanakan cadangan "pilih kasih dan campur tangan anak bini dalam pentadbiran dan urusan rasmi. Kwang...kwang...kwang...


No comments:

Post a Comment

Kazim belasah Manjongmari..

Iklan Manjungmari