Mengapa senator sedangkan ramai MP layak isu Kabinet?
“Saya sendiri agak terkejut apabila mengetahui (semakin ramai) senator dilantik sebagai timbalan menteri dalam Kabinet kerana sepatutnya ia dipilih dalam kalangan wakil rakyat,” kata Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau berpendapat bahawa Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mengutamakan wakil-wakil rakyat yang dipilih, bukannya anggota dilantik.
“Kenapa mereka dilantik sedangkan bagi saya masih ramai wakil rakyat lain yang berkebolehan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.
Kini 12 senator dilantik sebagai menteri dan timbalan dalam pentadbiran Najib yang dilantik sebagai perdana menteri pada April 2009.
Langkah melantik senator memegang jawatan menteri dan timbalan menteri bukan sesuatu yang baru, tetapi jumlahnya dilihat ramai selepas prestasi Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2008.
Beliau berkata, persoalan yang timbul sekarang adalah mengapa senator dilantik memegang jawatan dalam Kabinet bukan wakil rakyat.
“Adakah senator yang dipilih ini mempunyai keistimewaan sehingga mereka layak untuk memegang jawatan dalam Kabinet?” katanya.
“Saya tidak melihat mereka mempunyai keistimewaan, malah ada senator yang dilantik telah ditolak oleh rakyat ketika pilihan raya umum lalu.
“Jadi saya hairan adakah mereka mempunyai kebolehan untuk membawa perubahan kepada masa depan negara? Apa hebatnya sehingga mereka ini dilantik?,” katanya.
Agus juga berkata, masih ramai wakil rakyat lain yang berkebolehan untuk memegang jawatan dalam Kabinet.
“Sebenarnya masih ramai wakil rakyat lain yang berkebolehan yang boleh memegang jawatan dalam Kabinet.
“Sebagai contoh Khairy Jamaluddin (Ahli Parlimen Rembau), mengapa beliau tidak dilantik? Sedangkan beliau adalah generasi muda yang berkebolehan untuk membawa perubahan kepada masa depan negara,” katanya lagi.
Najib mengumumkan rombakan kecil Kabinet dengan turut melantik enam timbalan menteri.
Daripada enam timbalan menteri yang dilantik empat merupakan senator.
Seorang telah mengangkat sumpah bulan lalu manakala tiga yang lain semalam.
Pelantikan yang dibuat kali ini tidak membabitkan mana-mana wakil rakyat atau perwakilan yang dilantik daripada Umno.
Bagaimanapun semalam Najib menolak dakwaan yang menyatakan bahawa bilangan senator yang menyertai Kabinet lebih ramai berbanding anggota Dewan Rakyat.
“Lebih ramai anggota yang dipilih melalui Dewan Rakyat sebenarnya daripada senator,” kata Najib yang juga Presiden Umno.
Pandangan Agus juga seiring dengan pendirian pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Prof Madya Dr Ghazali Mayhuddin yang berpendapat, tindakan melantik senator memegang jawatan dalam Kabinet akan memberikan mesej yang tidak baik dalam konteks amalan demokrasi.
“Mengapa harus memilih senator untuk memegang jawatan dalam Kabinet?
“Sepatutnya individu yang layak adalah wakil rakyat bukannya senator kerana senator bukan dipilih rakyat.
“Pelantikan ini akan memberikan gambaran kurang baik kepada amalan demokrasi,” katanya.
Beliau berkata kemungkinan pelantikan itu adalah strategi yang dibuat Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan kepercayaan orang bukan Melayu kepada parti tersebut.
“Mungkin ini adalah strategi BN untuk mengembalikan kepercayaan orang bukan Melayu kepada BN sebab itu Perdana Menteri melantik ramai pemimpin dari MCA berbanding Umno.
“Ini juga mungkin strategi BN untuk mendapatkan semula undi orang bukan Melayu pada pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugam Pandian berkata, perubahan yang dilakukan Perdana Menteri bukan “rombakan sebenar”, tetapi ia hanya untuk memenuhi perubahan dalam parti komponen.
“Perubahan yang berlaku dalam parti komponen menyebabkan rombakan ini terpaksa dilakukan.
“Namun Perdana Menteri perlu melakukan satu perubahan besar dalam Kabinet yang mampu memperkukuhkan dan membawa perubahan besar kepada negara,” katanya.
Beliau berkata pelantikan senator memegang jawatan dalam Kabinet adalah kurang wajar.
“Saya akui pelantikan senator memegang jawatan dalam Kabinet kurang wajar dan ia secara tidak langsung memberikan gambaran kurang positif.
“Ini kerana wakil rakyat lebih sesuai untuk memegang jawatan dalam Kabinet memandangkan mereka dipilih oleh rakyat,” katanya.
Sumber : themalaysianinsider.
cina tak menyokong kerajaan.
ReplyDeletemengapa mereka perlu diberi banyak tempat dalam kerajaan?
ini tak adil
ini tak adil