BANGI: Sebat wajar dijadikan hukuman utama, bukannya denda dan penjara kerana ia terbukti mempunyai banyak kelebihan berbanding yang lain, malah lebih berkesan manakala implikasi terpaksa dihadapi pesalah tidak terlalu teruk.
Pensyarah Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Nasimah Hussin, berkata hukuman penjara bagi pesalah syariah tidak begitu sesuai, malah sering kali dilihat terlalu berat. Menurutnya, kadangkala pesalah terbabit turut dibuang kerja manakala rekodnya pula buruk, sehingga sukar untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan. “Jadi, hukuman penjara juga harus ditukar kepada tahanan pesalah syariah atau pusat pemulihan akhlak dan akidah, bahkan dielakkan daripada meletakkan pesalah kes syariah bersama pesalah sivil lain di dalam penjara. “Hukuman denda pula kurang memberikan kesan untuk mencegah kes jenayah kerana bagi sesetengah golongan tidak bermasalah untuk menjelaskan denda terbabit, sedangkan orang miskin tak dapat membayarnya, terpaksa masuk penjara.Jadi, undang-undang ini tidak boleh mencegah.
“Justeru, saya menyarankan sebatan dijadikan hukuman lebih utama untuk mencegah berlakunya jenayah.
Lagi pun ia tidak membabitkan aspek kewangan, malah pesalah boleh terus kembali kepada keluarga,” katanya, kepada pemberita sempena Forum Undang-Undang Islam dan Hukuman Sebat Wanita di Bilik Senat, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam. Forum berlangsung hampir empat jam itu membabitkan tiga panel iaitu Dr Nasimah, Prof Madya Datin Dr Paizah Ismail (Pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM) dan Dr Jasri Jamal (Pensyarah Undang-Undang UKM). Ia dipengerusikan pensyarah Fakulti Undang-Undang UKM, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, dianjurkan Institut Islam Hadhari UKM dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM).
Dr Nasimah berkata, menyentuh Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1965 (Pindaan) 1984, yang menghadkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali atau gabungan mana-mana hukuman itu, hakim syarie sepatutnya mengenakan hukuman maksimum. “Kita juga boleh minta supaya undang-undang ini dipinda supaya kita dapat melaksanakan hukuman itu dengan lebih berat lagi, maksudnya pinda kepada hukuman lebih utama,” katanya.
Sementara itu, Dr Paizah berkata, sebat kadangkala boleh mengatasi hukuman lain seperti penjara, malah menjadi satu penyelesaian yang baik. Oleh itu katanya, semua pihak seharusnya memahami terlebih dulu konsep sebatan dalam Islam sebelum membuat sebarang justifikasi. “Kita perlu buang persepsi sebat dalam undang-undang konvensional, kerana ia jauh berbeza,” katanya.
Sumber: hmetro.
No comments:
Post a Comment