boikot

boikot

Segarkan ingatan anda...

Segarkan ingatan anda...

Thursday, October 31, 2013

Surat Terbuka Bekas Ketua Pengarang Harakah kepada 5 calon Timbalan Presiden Pas.

Cara sebegini aku setuju, luahkan apa yang perlu secara terus terang tanpa nak berselindung... 


Zulkifli Sulong

Tuan-tuan calon timbalan presiden PAS yang dihormati. Semoga surat terbuka ini tidak menyusahkan tuan-tuan semua kerana saya menulis ini dari hati saya.
Kempen agar para pemimpin PAS menghormati pencalonan dari kawasan semakin meningkat hari ke hari. Ia berjalan secara neutral selepas nama-nama besar PAS dikatakan keberatan untuk bertanding jawatan timbalan presiden PAS atas sebab-sebab peribadi masing-masing.
Tokoh yang mendapat pencalonan terbanyak untuk jawatan ini Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sehingga kini belum membuat keputusan samada mahu bertanding atau tidak.
Tuan nampaknya lebih selesa untuk bertanding jawatan naib presiden sahaja.
Begitu juga tokoh yang mendapat pencalonan kedua terbanyak, Datuk Husam Musa. Tuan juga hingga kini masih belum mengumumkan keputusan samada mahu bertanding atau tidak.
Selain mendapat pencalonan terbanyak, undian yang dibuat oleh sebuah laman web pro PAS, Tranungkite.net juga mendapati tuan-tuan berdua berada di depan.
Tuan Ibrahim mendapat 36% sokongan, kedua Husam 25% dan ketiga penyandang jawatan ini Mohamad Sabu 19%.
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hanya mendapat 12.9%, satu kenaikan mendadak berbanding semalam berada di tempat tercorot iaitu 4.6%. Ia berlaku mungkin selepas Salahudin Ayub yang turut layak untuk bertanding jawatan ini mengumumkan hanya akan mempertahankan jawatannya iaitu naib presiden.
Kenaikan itu juga mungkin selepas kedatangan pengundi yang menyokong tuan untuk mengundi kerana Mohd Amar mendapat sokongan kuat daripada ulama dalam PAS. Ia pernah berlaku dalam poll sebelum ini.
Yang pasti akan bertanding untuk jawatan nombor dua PAS kini hanya Mohamad Sabu yang mengesahkan akan mempertahankan jawatannya itu dan Mohd Amar yang memberikan bayangan akan berbuat demikian.
Ekoran itu, ramai yang tertanya-tanya kenapa tokoh popular tidak bertanding sedangkan yang kurang popular pula yang akan bertanding.
Lalu datanglah kempen ini. Kenapa tidak mereka yang dicalonkan menghormati pencalonan yang dibuat oleh kawasan-kawasan?
Tuan-tuan calon timbalan presiden PAS yang disayangi.
Semua faham, Tuan Ibrahim keberatan untuk bertanding. Beliau pernah tewas dalam pemilihan 2011 lalu untuk jawatan ini. Penyertaan beliau dulu dibuat atas permintaan pihak lain, bukan kehendak dirinya sendiri kerana beliau pernah kata sebelum itu keberatan untuk bertanding dan meminta supaya jangan dicalonkan.
Isu besar dalam PAS sekarang adalah persepsi berlakunya perpecahan dalam parti Islam ini. Punca terbesar adalah kempen sesetengah pihak melalui Facebook untuk membuang pemimpin tertentu dalam PAS yang tidak sealiran dengan mereka.
Pihak ini kelihatan berkempen untuk ulama tetapi adab dan etikanya jauh daripada ulama. Mana ada ulama yang sanggup menuduh individu tertentu membunting anak orang tanpa membawa saksi. Ini kerana ulama tahu tuduhan sebegini membolehkan dia dijatuhi hukuman qazaf. Jadi sudah tentu ulama sendiri tidak merestuinya.
Sebab itu ada yang mendakwa individu di belakang kempen ini sebenarnya pihak yang sememangnya dihantar masuk untuk menghuru-harakan PAS dari dalam.
Oleh itu, ulama yang cerdik tidak terpengaruh dengan tindakan mengapi-apikan mereka ini. Hanya mereka yang terlebih obses bahawa 'ulama sedang diserang' sahaja yang terpengaruh dengan cucukan sebegini.
Namun begitu tuan-tuan semua, sudah menjadi persepsi awam sekarang, perpecahan sedang berlaku dalam PAS. Ulama sedang berpecah dengan bukan ulama. Persepsi ini semakin berkembang lagi ekoran resolusi Multaqa Ulama SeMalaysia di Alor Setar yang meminta ulama dilantik untuk merusi timbalan presiden ini.
Lalu bagaimana mahu menangani hal ini? Inilah persoalan yang perlu difikirkan oleh pucuk pimpinan parti sekarang.
Bagi saya orang media, antara caranya adalah melalui pertandingan timbalan presiden PAS. Jangan tunjukkan ada perpecahan antara ulama dan bukan ulama. Jangan juga hantar mesej ulama atau bukan ulama kalah dalam pemilihan nanti.
Perkara yang boleh dielakkan adalah mengelakkan pertembungan satu lawan satu antara ulama dan bukan ulama. Biarlah pertandingan itu antara individu pemimpin parti bukannya mewakili mana-mana kumpulan dalam parti.
Bayangkan jika benar terjadi pertandingan antara Mohamad Sabu yang bukan ulama melawan Mohd Amar yang dikatakan daripada golongan ulama. 
Bayangkan jika Mohd Amar kalah dalam pemilihan itu nanti. Apa persepsi awam terhadapnya? Ulama ditolak oleh perwakilan dan muktamar PAS!
Betulkah muktamar menolak ulama? Bagi saya tidak begitu. Banyak kemungkinan lain selain daripada faktor itu. Namun persepsi tetap persepsi, ia tidak semestinya kebenaran. Namun sebagai sebuah parti yang sudah cukup matang, antara tugas besar PAS adalah menangani persepsi.
Apa kesan kepada persepsi ini? Bagi saya buruk sekali. Ulama akan terasa parti tidak memerlukan mereka. Mereka tidak ada tempat dalam PAS kerana PAS tidak sayangkan ulama lagi dan sebagainya.
Begitu juga kalau Mohamad Sabu kalah. Golongan yang bukan ulama akan terasa ulama telah berjaya mengawal parti sepenuhnya. Dahlah presiden ulama, timbalan pun ulama. Jadi di mana tempat mereka? Justeru, elok undurkan diri secara baik sebelum ditentang oleh geng-geng ulama.
Ia bukan berlaku terhadap mereka yang kalah sahaja tetapi keseluruhan kumpulan bukan ulama di dalam semua peringkat parti juga akan menghadapinya. Hatta pekerja parti di Pejabat Agung dan Harakah juga akan terasa. Mereka akan berasa tidak selamat. Bila-bila masa sahaja akan ditendang dan sebagainya.
Bagi menghadapi persepsi buruk ini, tokoh-tokoh PAS perlu mempertimbangkan cadangan ini, bertanding atas nama individu, bukan atas nama kumpulan serta elakkan bertembung satu lawan satu antara ulama dan bukan ulama.
Untuk itu, wahai Datuk Tuan Ibrahim, wahai Datuk Husam Musa, wahai Haji Mohamad Sabu, wahai Salahudin Ayub dan wahai Datuk Mohd Amar, hormatilah pencalonan untuk anda. Terimalah pencalonan itu.
Biarlah perwakilan yang membuat keputusan siapa yang mereka mahu pilih di kalangan tuan-tuan semua sebagai timbalan presiden mereka.
Bagi yang mahu pilih ulama, pilihlah antara calon yang ada. Bagi yang mahu pilih bukan ulama untuk dipasangkan dengan presiden yang sudah ulama, pilihlah di kalangan calon yang ada. Janganlah paksa mereka memilih di kalangan yang mereka tidak suka.
Baca juga sejarah pemimpin PAS terdahulu yang sangat menghormati pencalonan ke atas mereka. Muktamar ini sangat-sangat memerlukan rasa hormat anda kepada pencalonan mereka.
Namun saya hanya berhak memberikan pandangan. Saya juga tidak berhak mengundi kerana bukan perwakilan. Tuan-tuan selaku tokoh-tokoh besar PAS yang matang dan berpengalaman yang berhak membuat keputusannya. – 31 Oktober, 2013.





2 comments:

  1. En tuan zul, mereka keberatan nak bertanding bukan tak menghargai pencalonan. Encik tuan jangan pulak nak beri hujah mengapa mereka mesti bertanding. Hujah en zul sangatlah lemah. Menarik diri dari bertanding walaupun mendapat pencalonan adalah lebih baik dan nampak mulia daripada masuk bertanding tetapi akhirnya akan mengakibatkan perpecahan dalaman ataupun paling kurang akan menjeruk rasa di dalam hati...Takkanlah orang lama macam encik zul begitu koman dalam memberikan hujah...lagipun apa salahnya Tuan Haji Mat Sabu??????.....orangnya begitu lama berjuang ikhlas untuk parti dan tidak pernah membelot macam bekas timbalan yang sorang tu....encik zul...encik zul.... Muhid, Pendang Kedah.

    ReplyDelete
  2. Dulu PAS pun orang benci. Kalau ada ceramah yang hadir bolih dikira dengan jari, Kawasan dan cawangan diberi jawatan semuanya menolak. Tapi sekarang lain pulak berebut rebut hendakkan jawatan. Jawatan timbalan presiden menjadi rebutan ulamak dengan bukan ulamak. Persoalan teman apa cacat celanya Timbalan Presiden yang ada sekarang ?. Biarkanlah Dia (Mat Sabu) memenggang jawatan tersebut satu penggal lagi. Bikin malu kat orang aje berebut jawatan

    ReplyDelete

Kazim belasah Manjongmari..

Iklan Manjungmari