boikot

boikot

Segarkan ingatan anda...

Segarkan ingatan anda...

Monday, June 7, 2010

Kesian Ong Tee Kiat, Kesian Palanivel .. muka tak malu,,


Darihal kabinet baru

Subky Latif


ADA pun rombakan baru atau rombakan pertama kabinet Datuk Seri Najib hanya melibatkan tiga orang saja iaitu iaitu satu digugurkan iaitu Datuk Seri Ong Tee Kiat, satu ditukarkan iaitu Datuk Seri Kang Cho Ha dan satu dinaikkan pangkat iaitu Datuk Wira Chor Chee Heung.

Yang ramai lagi itu adalah anggota kerajaan yang bertaraf timbalan menteri. Dengan kedudukan itu mereka bukan anggota kabinet. Anggota kabinet hanya yang berstatus menteri.

Orang yang paling malang dan lucu ialah Datuk Seri Ong Tee Kiat, Menteri Pengangkutan. Dia adalah ahli politik yang tidak cerdik.

Gara-gara tsunami politik 8 Mac 2008 dia ditakdir dapat mendaki kedudukan yang tinggi dalam MCA. Kekalahan teruk MCA menyebabkan Tan Sri Ong Ka Ting menerima tanggungjawab, berundur dari pimpinan MCA dan kabinet. Ia memberi peluang baik kepada Ong Tee Kiat dapat menjadi Presiden MCA.

Kiranya dia bijak, dia boleh jadi sehebat Tun Tan Siew Sin, Tan Sri Lee San Choon dan Tun Dr. Ling Leong Sik. Ada lorong untuk dianugerah Tun. Tetapi dia mengambil langkah meminggirkan timbalannya Dr. Chua Soi Lek dan akhirnya dia dikalahkan oleh Dr Chua dengan cara yang memalukan.

Apabila dia kalah, dia sepatutnya belajar dari Datuk Shahrir Samad. Shahrir kalah dalam pemilihan anggota Majlis Tertinggi UMNO, lalu dia berundur. Dia dihormati.

Dr. Chua Soi Lek pernah terlibat dengan skandal, lalu dia berundur dari pimpinan MCA dan kabinet. Kemudian dia datang semula hingga mengalahkan Tee Kiat.

Tee Kiat bukan saja dikalahkan oleh orang yang tidak disukainya, tetapi dia dikaitkan dengan skandal dalam Zon Bebas Pelabuhan Kelang. Namanya sudah tidak elok lagi. Sepatutnya dia berundur sebaik saja kalah.

Bila Najib merombak kabinet, dia saja yang tersingkir. Tidakkah ia malang, lucu dan memalukan. Kalau dia cerdik, dia kosongkan kerusi Parlimennya. Naik sikit namanya. Rasanya dia sudah berakhir.

Orang yang untung dengan nasib malang Tee Kiat itu ialah Timbalan Menteri Kewangan Chor Chee Heung. Dia dipecat Ong Tee Kiat dari Jawatankuasa Pusat MCA. Dia menang ke jawatan itu semula dalam pemilihan yang terbaru dan dia diangkat menjadi menteri. Kalau Tee Kiat tidak berpolitik kartun, dia belum jadi menteri.

Ternyata orang orang secerdik kancil ialah Dr. Chua Soi Lek. Dengan imej skandal seksnya dia tidak menuntut jawatan kabinet. Dia mahu jad Presiden MCA macam Tan Cheng Lock. Dia tidak duduk dalam kabinet di bawah Presiden UMNO. Sebagai Presiden MCA dia boleh memberi pandangannya tentang kabinet dan kerajaan.

Tetapi dengan pengaruhnya dia dapat menempatkan anaknya Chua Tee Yong yang begitu muda dalam anggota kerajaan sebagai timbalan menteri. Kedudukan itu menjadikan anaknya itu calon pelapis dalam hiraki MCA masa akan datang.

Adakah Soi Lek mahu anaknya diketengahkan atau itu yang Najib fikir baik bagi menghormati Presiden MCA yang tidak dibawa ke kabinet itu? Apa pun ia dikira satu lagi kemenangan politik Soi Lek dalam politik negara.

Tan Cheng Lock tidak jadi anggota Parlimen dan menteri tetapi anaknya Tan Siew Sin jadi anggota Parlimen dan kemudiannya jadi Presiden MCA. Apakah sejarah MCA akan berulang?

Nasib MIC

G. Palanivel dipercayai tidak pernah memikirkan menjadi Timbalan Menteri setelah kalah 8 Mac 2008 di Hulu Selangor. Yang difikirkan untuk bertanding semula dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti. Justeru itu dia menyumbangkan lembu-lembu korban kepada orang Islam Hulu Selangor. Bagaimana dia boleh menyumbangkan haiwan suci bagi agamanya untuk acara korban agama lain suatu yang saya tidak dapat fikirkan.

Nasibnya baik apabila MP Datuk Zainal Abidin Ahmad yang mengalahkannya dulu meninggal. Maka Samy Vellu cepat-cepat menamakannya. Penamaannya ditolak oleh UMNO. UMNO mahukan MIC lain.

Samy Vellu tidak dapat mempertahankan Palanivel tetapi menuntut supaya Palanivel dijadikan senator dan dimasukkan dalam kerajaan. Ia satu tolak ansur yang diterima oleh Najib.

Maka Najib menjadikannya senator dan timbalan menteri, suatu yang tidak pernah difikirkan kiranya MP PKR tidak mati.

Tetapi Palanivel adalah Timbalan Presiden yang kalau Samy Vellu berundur seperti yang didesak, maka dialah ganti Presiden MIC itu.

Dengan kedudukkannya yang tinggi dalam MIC bagaimana Najib hanya menjadikannya sebagai Timbalan Menteri sedang orang yang lebih junior daripadanya dalam MIC menjadi menteri penuh? Timbalan Presiden MIC sekadar jadi Timbalan Menteri sedang Naib Presiden MIC, Subramaniam menjadi menteri.

Tidakkah ini lucu? Selayaknya Palanivel menjadi menteri penuh atau sebagai seorang senator biasa yang dilihat penting. Bagi membetulkan hiraki MIC itu pilihannya ialah Subramaniam berundur bagi memberi laluan kepada Palanivel atau Najib memberi dua menteri penuh kepada MIC.

Bukan suatu yang baru bagi MIC diberi dua jawatan kabinet. Tunku Abdul Rahman Putra pernah memberi dua menteri kepada MIC iaitu Tun V.T.Sambathan dan Manikavasagam.

Dengan menjadikan Palanivel hanya sebagai timbalan menteri, Najib telah memalukannya kepada menteri MIC yang junior daripadanya. Palanivel yang menerima keadaan itu mungkin kerana dia tidak merasa malu.

Sumber : harakahdaily.

No comments:

Post a Comment

Kazim belasah Manjongmari..

Iklan Manjungmari