Banjir di Kinabatangan semakin teruk
KOTA KINABALU 21 Jan. - Banjir di Kinabatangan semakin buruk hari ini dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara meningkat kepada 2,355 orang berbanding 1,121 orang semalam.
Pegawai Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Aznam Ashraf berkata, semua mangsa dari 13 buah kampung itu terpaksa dipindahkan berikutan paras air di Sungai Kinabatangan naik secara mendadak.
Menurutnya, paras air di sungai itu yang dicatatkan pada tahap 10.28 meter semalam meningkat kepada 11.21 meter pada pukul 2 petang ini.
"Meskipun keadaan cuaca bertambah baik di kebanyakan kawasan namun hujan yang turun di bahagian hulu sungai mengakibatkan paras air terus naik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aznam berkata, hanya lapan mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Beluran selepas 350 penduduk dibenarkan pulang hari ini.
Menurutnya, mereka dijangka dibenarkan pulang esok sekiranya cuaca terus baik seperti hari ini.
"Bilangan mangsa banjir di Telupid yang masih ditempatkan di pusat pemindahan kekal 1,129 orang," katanya.
Sementara itu, Aznam memberitahu, semua pusat pemindahan banjir di Kota Belud, Kota Marudu dan Pitas telah ditutup selepas banjir pulih sepenuhnya.
Sumber: Utusan
bah, banjir bah
ReplyDeleteBanjir gile yeop oi!
ReplyDelete