boikot

boikot

Segarkan ingatan anda...

Segarkan ingatan anda...

Thursday, January 14, 2010

Sinopsis Buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times

Barry Wain dan buku Mahathirnya ‘prejudis kepada orang awam’? — Faisal Mustaffa

JAN 14 — Buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times tulisan Barry Wain sudah mendapat publisiti meluas. Akan tetapi, yang kurang mendapat liputan media ialah buku Wain yang ditulisnya sebelum itu berjudul Najib’s Challenge: Glory or Oblivion yang menceritakan mengenai Perdana Menteri Najib Razak.

Malaysian Maverick dikhabarkan masih “tersangkut” di kastam. Barangkali mereka belum mendapat “arahan” daripada pihak tertentu untuk mengharamkannya atau melepaskan untuk tatapan rakyat Malaysia. Namun begitu, Najib’s Challenge terbitan Refsa/Research for Social Advancement bebas diedarkan.

Wain agak membawa bau kontroversi apabila mendakwa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir telah membazirkan RM100 bilion dalam projek mega serta ekoran kejadian korupsi yang berlaku sepanjang tempoh pemerintahannya selama 22 tahun.

Bukan hanya pembaziran wang tatkala zaman Mahathir yang didedahkan Wain. Beliau juga menceritakan tentang bayaran 114.96 juta euro (RM557 juta) yang digunakan untuk “penyeliaan dan perkhidmatan sokongan” [baca: komisyen] dalam pembelian dua buah kapal selam Scorpene dan 1.04 bilion euro (RM5.04 bilion) lagi untuk kapal selam Agosta melalui Perimekar Sdn Bhd.

Perimekar dimilik bersama oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Boustead Holdings Bhd dan KS Ombak Laut Sdn Bhd. Syarikat Ombak Laut pula perlu diketahui bahawa ia di bawah pemilikan Abdul Razak Baginda yang dilepaskan mahkamah daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Barry Wain ialah bekas penyunting pengurus kepada Asian Wall Street Journal dan kini sebagai penulis (writer-in-residence) untuk Institute South East Asian Studies (ISEAS) yang berpengkalan di Singapura.

Sungguhpun beliau bukan warganegara Malaysia, tetapi pengetahuan dan penyelidikan mengenai isu-isu politik, terutama kepada pembangunan Malaysia melalui pimpinan Perdana Menteri, begitu meluas dan terperinci. Mungkin kerana itu penulisannya sebelum ini amat tidak menyenangkan pihak-pihak yang dikaitkan dalam rencaca-rencananya.


MENEPIS TUDUHAN SECARA ALA KADAR

Bahagian Malaysian Maverick yang paling mendapat perhatian ialah apabila Wain mendakwa RM 100 billion telah dibazirkan sehingga Mahathir sendiri terpaksa membalas dakwaan tersebut di dalam blognya “Che Det” pada Disember 24, 2009.

Di dalam “pembelaannya” dirinya, Dr Mahathir menulis:

“Di dalam bukunya, Barry Wain mendakwa saya membawa kerugian kepada kerajaan berkaitan dengan pembelian bijih timah oleh spekulator. Apabila sampai masa untuk penghantaran, ianya tidak dapat dilakukan kerana bijih timah secara fizikal sememangnya tiada. Tetapi Bursa Pertukaran Logam London memutuskan bahawa spekulator tidak perlu menjelaskan kontrak penjualan kepada kita. Kita telah kehilangan wang tetapi bukan dalam jumlah billion ringgit seperti yang didakwa.

“Bank negara memperdagangkan matawang asing. Saya tidak pasti berapa banyak jumlah sebenar tetapi, kita memang kehilangan wang. Kerajaan telah menghentikan perdagangan oleh Bank Negara. Sekali lagi, jumlah tersebut tidak sebanyak seperti yang didakwa Barry Wain.

“Kes ketiga ialah berhubung dengan kerugian yang dialami oleh Bank Bumiputra di Hong Kong. Secara jumlah keseluruhannya, saya tidak kira jumlahnya sebegitu banyak sehingga mencecah RM10 billion. Sekiranya benar seperti yang didakwa; yakni kerugian sebanyak 100 billion ringgit, sudah tentu kita berada dalam satu situasi masalah yang besar.”

Mahathir masih menganggap projek gajah putih Cyberjaya, Proton, Putrajaya dan sebagainya berjaya. Bahkan, dia bandingkan dengan kegagalan mantan Perdana Menteri ke-5 Abdullah Ahmad Badawi dan minta Abdullah juga dibawa ke suruhanjaya diraja.

Dr M yang berupa penasihat Petronas mendakwa yang syarikat minyak tersebut telah membayar sejumlah RM270 bilion dalam tempoh lima tahun (selaku Abdullah sebagai PM tahun-tahun 2003-2009) kepada kerajaan hasil daripada keuntungan lumayan yang diperolehi kerana harga minyak dunia melambung.

Sebenarnya, suruhanjaya ini dapat memulihkan kembali maruah Mahathir. Tetapi saranannya seperti tidak ikhlas. Dia meminta agar suruhanjaya ini mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri. Ia seakan-akan sudah tahu bahawa sebuah suruhanjaya siasatan tidak akan terlaksana sekiranya proses sedemikian diambil.


PM-PM GAGAL KPI

Wain juga membawa ingatan kita kepada peristiwa-peristiwa menonjol yang berlaku ketika pemerintahan Dr M dan Najib.

Salah satu daripadanya insiden Memali pada tahun 1985 yang mengorbankan 14 nyawa, di mana pada waktu itu Mahathir telah menghilangkan diri dan serahkan keputusan-keputusan rumit kepada timbalannya Musa Hitam yang dilantik sebagai Perdana Menteri sementara.

Buku Najib’s Challenge: Glory or Oblivion sebaliknya menceritakan 100 hari pertama pentadbiran Najib.

Barry Wain membuat andaian-andaian mengenai liku-liku yang menunggu di hadapan Najib, dan menurut Wain, Najib perlu bekerja keras untuk mengembalikan kepercayaan rakyat memandangkan reputasinya yang agak buruk di kalangan media-media antarabangsa.

Pertalian orang rapat Najib dengan Altantuya yang kemudiannya didapati mati dibom membawa prasangka. Banyak persoalan-persoalan yang tidak berjawab; Najib sebagai Menteri Pertahanan pada waktu itu tidak pernah diminta menjadi saksi di mahkamah sungguhpun terdapat banyak keadaan yang kebetulan, misalannya bahan letupan C4 yang digunakan untuk menghancurkan tubuh Altantuya tidak boleh diperolehi tanpa kebenaran Kementerian Pertahanan.

Selain daripada itu, halangan yang Najib perlu memandang serius ialah dalam menangani kegawatan ekonomi memandangkan pengalamannya yang cetek dalam bidang pengurusan kewangan. Wain juga memberi amaran mengenai Dasar Ekonomi Baru yang banyak menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan kaum bukan Melayu.


MELIHAT KE MASA DEPAN

“Semua perdana menteri telah memberi sumbangan yang besar. Jika tidak, Malaysia tidak akan menjadi maju seperti sekarang sehingga dianggap sebagai satu contoh,” kata Najib sebagai reaksinya terhadap tuduhan-tuduhan yang dibentangkan Wain.

Seperti yang dijangka, Najib berkata tidak perlu ada siasatan terhadap Dr Mahathir kerana “Apa yang penting ialah bagi kita melihat masa depan”.

Malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga nampaknya seolah-olah tidak berminat untuk memulakan sebarang siasatan mengenai perkara ini.

Saya sendiri tidak berani untuk membuat sebarang spekulasi dan sudah semestinya, SPRM tidak akan mengakui sebarang tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka sehinggakan Angkatan Muda Keadilan terpaksa membawa anak lembu untuk dihantar ke pejabat SPRM sebagai tanda kerbau dicucuk hidung pihak tertentu.

Demikian juga dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang terus tidak ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan berhubung dengan pendedahan tersebut membabitkan Dr Mahathir dan pengganti beliau Abdullah.

Adakah kita akan dapat membaca buku Malaysian Maverick di Malaysia? Mungkin ia juga bakal menerima nasib yang sama seperti buku Muslim Women and the Challenges of Islamic Extremism yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Buku terbitan Sisters in Islam itu yang mengumpulkan kertas-kertas penyelidikan diharamkan atas kesalahan di bawah Seksyen 7 Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 kerana “prejudis kepada orang awam”.

Kertas-kertas penyelidikan antarabangsa di bawah tajuk “Muslim women challenge religious extremism” (Wanita Islam cabar pelampau agama) diharamkan Kementerian Dalam Negeri walaupun perbincangan tentang puak pelampau agama memang wajar dan tepat pada masanya. Bukankah negara kita ini sekarang menjadi tajuk utama berita dunia kerana gereja-gereja dibakar?

Adakah Kementerian Dalam Negeri akan turut mengharamkan Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times atas alasan yang sama, yakni ianya menimbulkan “prejudis kepada orang awam”? — cpiasia.net

* This article is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Source: themalaysianinsider.

1 comment:

  1. Sejak bila kau jadi penasihat negara yahudi wahai cacai tua dah nak tunggu mampos je

    ReplyDelete

Kazim belasah Manjongmari..

Iklan Manjungmari