Fathul Bari Mat Jahaya
Fathul Bari Mat Jahaya
SHAH ALAM - Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya menegaskan, "tidak adil" menjatuhkan hukuman dengan melabel ulama-ulama yang menyertai Umno "hanyut" kerana tidak boleh menerima persekitatan politik parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

Sambil menolak pandangan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam, Fathul yang menyertai Umno lebih dua tahun lalu berkata, sesiapa saja, sekalipun tidak kira ulama atau bukan ulama, dan menyertai mana-mana parti sekalipun, selagi mereka berpegang pada asas dan teras agama Islam, tidak akan wujud istilah "hanyut."

"Sangat tidak adil apabila ulama yang menyertai Umno dijatuhi hukuman sebegini, jika mahu buat kenyataan sekali pun, berlapiklah," kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, Asri berkata, pengalaman masa lalu menunjukkan bahawa sebahagian ulama yang menyertai Umno tidak timbul dalam peranan disebabkan kewujudan amalan politik wang.

Katanya, ulama-ulama terbabit tidak dapat mengadaptasikan pendekatan dan persekitaran politik diamalkan dalam Umno.

"Jangan senang-senang pula menuduh mengenai rasuah atau politik wang jika tiada bukti. Membuat tuduhan tanpa bukti. Ini budaya apa? Kalau benar terlibat dengan politik wang, tolong buktikan," tegas Fathul.

Kata beliau, mana-mana ulama yang menyertai politik akan ada kesan negatif dan positifnya tetapi tidak adil jika ulama dalam politik ini dihukum secara terus.

"Hukuman ini sangat tidak adil, jika mahu lontarkan pandangan, beri sekali dengan bukti, bukan hanya lontaran persepsi," tegasnya.

Tambah beliau, isu 'hanyut' juga tidak pernah timbul di kalangan ulama kerana bagi dirinya sendiri, asas yang dipegang ialah ajaran ALLAH SWT.

"Selagi berpegang kepada teras Islam, isu ini tidak akan wujud, masuklah mana-mana parti politik sekalipun, ia tidak akan jadi masalah," ujarnya.