Dia sekadar berundur dari jawatan kerajaan, tetapi dia masih kekal sebagai Ketua Wanita UMNO dan Ketua Wanita BN serta segala yang berkait dengan kedudukan ketua sayap wanita parti pemerintah itu.
Mungkin pada orang-orang yang rapat dengannya bahawa tindakannya itu satu pengorbanan yang sudah cukup berkaitan dengan masalah yang dihadapinya dan keluarganya, tetapi ia belum memadai bagi meringankan beban liabiliti UMNO dan BN.
UMNO dan Wanita UMNO memangnya tidak sebersih mana, tetapi mengekalkan Shahrizat pada kedudukannya dalam parti itu tidak dapat melekangkan imej buruk parti. Parti itu sudah dikira banyak bermasalah, dengan mengekalkannya sebagai ketua Wanita mengesahkan ia yang benar-benar bermasalah.
Selagi Shahrizat menjadi ketua sayap Wanitanya, orang akan mudah menempelak parti itu berketuakan orang yang tidak bersih dan bermasalah. Walaupun mahkamah belum mendapati suaminya bermasalah, tetapi suaminya sudah didakwa pecah amanah dan dikenakan ikat jamin setengah juta.
Shahrizat tidak didakwa, tetapi sebagai ketua Wanita UMNO, dia akan mengadapi tekanan saikologi dan segala beban akibat dakwaan itu. Otaknya separuh terikat dengan gema dakwaan. Hanya separuh otaknya saja yang dapat ditumpukan kepada Wanita UMNO.
Sekali pun suaminya baru didakwa dan orang yang belum didapati bersalah bukanlah orang bersalah, tetapi dengan dakwaan itu dia sudah berada dalam keadaan separuh bersalah. Setelah mahkamah mendapatinya tidak bersalah barulah dia betul-betul tidak bersalah.
Bagi persepsi setengah orang, orang yang didapati mahkamah tidak bersalah, sukar diterima betul-betul tidak bersalah. Itulah dunia.
Shahrizat mesti berkempen menjelajah ke merata-rata untuk menjamin kemenangan partinya dalam PRU yang sudah dekat itu. Dia mesti bercakap bagi menyatakan partinya benar. Tetapi beban yang dihadapinya bagaimana orang hendak yakin kepadanya sedang dia sendiri berdepan dengan masalah kebenaran dan masalah kebersihan.
Orang-orang yang datang mendengar dan berjumpa dengannya akan melihat wajahnya sebagai orang yang tidak bebas.
Mungkin UMNO mahu menyamakan masalahnya dengan masalah yang dihadapi oleh Anwar Ibraim dan isterinya yang memimpin PKR. Payah hendak menyamakan mereka.
Anwar dan isterinya menubuhkan PKR setelah dia dipenjarakan sementara menunggu keputusan mahkamah. Dia membentuk parti untuk meneruskan perjuangannya dan untuk membela tohmah yang dihadapkan kepadanya.
Shahrizat pula berada dalam parti yang sebelum masalahnya, ia sudah ada banyak masalah.
Dan kalau pun UMNO mengatakan PKR bermasalah kerana masalah Anwar, maka apa untungnya UMNO mahu menyamakan UMNO dengan masalah Sharizat itu? Sepatutnya UMNO jangan ada masalah supaya ia senang berdepan dengan PKR yang dikatakan memikul masalah Anwar.
Kalau PKR dan Anwar hendak dikatakan comot, mengapa perlu dicomotkan juga dengan membiarkan Shahrizat kekal sebagai ketua Wanita?
Saya kira Shahrizat tidak mahu membebaskan UMNO dengan bebannya. Kerana itu dia kekal dengan ketua Wanita. Selagi dia kekal di situ, maka senang bagi pembangkang untuk memburukkan UMNO. Dan sukar bagi Bung Mukhtar dan rakan-rakannya untuk membela UMNO sebagai badan yang bersih.
Tetapi kalau berundur sama dari pimpinan UMNO, maka musuh UMNO hilang satu modal yang ampuh. Pembangkang akan rugi kalau Shahrizat bersara dari politik. Dan mereka suka kalau UMNO itu terus dipimpin oleh orang yang dilihat tidak bersih.
No comments:
Post a Comment