SELAMA – Bekas Exco Pemuda Umno Larut, Zulkifli Minhat mendedahkan, banyak masalah berlaku dalam Umno terutama di peringkat kampung, yang menjadi punca beliau meninggalkan parti itu setelah sekian lama dan pernah menjadi exco pergerakan itu pada 2008.

Zulkifli yang kini menyertai Pas mendakwa, terlalu banyak penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa berlaku dalam Umno terutama melibatkan pemberian bantuan dan sebagainya.

Katanya, beliau melihat kebanyakan bantuan diberikan kepada mereka yang tidak sepatutnya dan selepas melihat sendiri keadaan seumpama itu kerap berlaku, timbul rasa tidak suka dengan cara kerja dijalankan.

"Kita sebagai orang muda tak dapat terima keadaan itu kerana di peringkat kampung, masih ramai individu atau keluarga yang susah dan memerlukan tetapi tidak mendapat hak mereka.

"Jika keadaan itu berterusan, Umno tidak akan ke mana kerana rakyat tahu menilai. Kerana itu saya ambil keputusan menyertai Pas dengan harapan boleh berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Zulkifli turut mendakwa keputusan menyertai Pas juga disebabkan peranan golongan muda seolah-olah tidak dihargai dalam Umno apabila mereka seumpama tidak boleh bersuara atau memberi sebarang pandangan.

Beliau juga mendakwa, keadaan berkenaan sebagai punca beliau tidak pernah hadir ke mesyuarat atau sebarang aktiviti selama memegang jawatan exco pemuda dan merasa kecewa apabila tindakannya menyertai Pas seolah-olah menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

"Beberapa orang ahli keluarga saya pernah terima ugutan. Saya harap perkara begini tidak berulang dan sekiranya tidak puas hati, sila datang jumpa saya sendiri untuk dapatkan penjelasan. Jangan jadikan ahli keluarga saya tempat meluahkan perkara tidak sepatutnya. Pada saya ia tindakan tidak matang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Larut, Mohammad Annuar Ariffin mengesahkan Zulkifli keluar Umno, namun menganggap ia bukan satu kehilangan besar kerana mendakwa Zulkifli tidak pernah memberi sebarang sumbangan selama memegang jawatan itu.

Menurut Mohammad Annuar, selepas menang dan menjadi exco Pemuda, Zulkifli langsung tidak pernah hadir mesyuarat atau sebarang aktiviti dan mendakwa, kemungkinan Umno sudah tiada dalam hati Zulkifli.

"Pemuda Umno Bahagian Larut sudah buat surat untuk dipanjangkan ke peringkat atasan agar Zulkifli dipecat. Selepas ini kita tidak akan terima lagi individu seumpamanya dalam Umno.

"Kita tiada masalah atau halangan untuk beliau menyertai Pas. Lebih-lebih lagi tiada satu pun komitmen yang beliau berikan kepada Umno selama memegang jawatan Exco Pemuda Umno Bahagian Larut," katanya.

Zulkifli bersama 39 ahli Umno lain, membuat pengumuman dan menyerahkan borang keahlian Pas kepada Naib Ketua Pemuda Pas Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss pada program Ceramah Perdana anjuran Pas Larut yang turut dihadiri Setiausaha Pemuda Pas Negeri, Salman Saleh, baru-baru ini.

Moga-moga tindakan mereka-mereka ini mendapat keberkatan dari Allah dalam usaha nak menegakkan agama Islam di muka bumi Malaysia...Amin...