Jamil Khir Baharom
Datuk Seri Jamil Khir Baharom
SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menyambut baik saranan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang mahu rakyat mengundi calon Muslim berwibawa bagi memastikan kedudukan politik orang Melayu dan Islam terus terpelihara.
  
Beliau berkata melihat dalam konteks politik pada hari ini Isma bukan sekadar badan bukan kerajaan (NGO) yang mengerakkan aktiviti keagamaan, tetapi turut boleh mengambil bahagian dalam arena politik.
  
"Mereka sudah memberi pandangan, namun ini terpulanglah pada rakyat untuk memilih (mengundi siapa calon yang mereka mahu)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Buku Piawaian 'IQS: Islamic Quality Standard For Hotel Design' di sini.
  
Baru-baru ini dalam portal Isma, Muzakarah Ulamanya mengeluarkan pandangan bahawa calon terdiri daripada orang Islam berwibawa lebih layak dipilih menjadi wakil rakyat.
  
Cadangan itu dibuat Isma sebagai panduan kepada masyarakat Islam dalam membuat keputusan untuk mengundi dalam pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Menurut Isma, usaha ini penting kerana matlamat politik dalam Islam adalah untuk mendaulatkan kedudukan agama Islam dan ia mustahil untuk dilaksanakan tanpa memilih calon muslim yang berwibawa.
  
Sementara itu, mengulas mengenai buku IQS itu, Jamil Khir menyeru industri pelancongan dan perkhidmatan hospitaliti di negara ini, agar mengamalkan konsep Islam demi memartabatkan kepentingan ummah serta membuka pasaran baru dalam perkhidmatan yang ditawarkan.
  
"Inisiatif Fakulti Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Universal Crescent Centre dalam menerbitkan buku IQS bagi memperkenalkan standard piawaian yang mesra muslim bagi industri ini wajar dipuji," katanya.
  
Jamil Khir berkata merujuk kepada piawaian itu, hotel dan pusat pelancongan harus menyajikan makanan halal, menyediakan kolam mandi berasingan antara lelaki dan wanita serta tempat solat bagi tetamu dan pekerja hotel.
  
"Apabila sesebuah hotel itu mampu mengikut standard piawaian IQS ini, secara tidak langsung memudahkan hotel itu memperoleh pengiktirafan sijil Halal Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," katanya. - Bernama

Yang nak bertnading mewakili Isma tu semuanya ustaz-ustaz belaka.... tapi akai letak kat mana...?