Kegembiraan 40 penunggang motosikal jenis Honda Wave yang mengikuti konvoi dari Klang, Selangor ke Desaru berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 22.5 Jalan Kulaijaya–Kota Tinggi di Kota Tinggi, petang semalam.
Dalam insiden pada kira-kira 4.30 petang itu, Muhammad Fadzirul Hakimi Abd Rahim, 21, dan rakannya, Muhammad Adib Jasmani, 23, terbunuh selepas motosikal mereka dipercayai bergesel sesama sendiri dan terjatuh di laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah van yang menghala ke Kulaijaya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Mohd Nor Rasid berkata berikutan itu, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala seorang lagi penunggang cedera parah dan dirawat di Hospital Kota Tinggi.

Beliau berkata jenazah mangsa dituntut keluarga masing-masing semalam selepas selesai dibedah siasat.  

Mohd Nor turut menasihati penunggang motosikal yang menyertai konvoi supaya mengutamakan aspek keselamatan serta mematuhi peraturan jalan raya demi menjamin keselamatan mereka.

Sementara itu, seorang peserta konvoi Firdaus Aqmal, 23, yang merupakan saudara Muhammad Adib, berkata ketika kejadian, mereka menyertai konvoi anjuran kelab motosikal Honda Wave ke Desaru.

Beliau berkata mereka bertolak dari Selangor pada hari Jumaat pada kira-kira 10 malam dan sempat singgah di Skudai serta Kulai sebelum nahas itu berlaku.

"Ketika singgah berehat di Skudai, saya dan arwah Adib sempat menunaikan solat Subuh dan arwah ada mengadu dia penat, mengantuk, nak tidur. Malah ketika itu, saya turut tidur bersamanya sebelum meneruskan perjalanan ke Kulai kira-kira pukul 7 lebih," katanya.

Firdaus berkata mereka memulakan perjalanan pada kira-kira 2 petang semalam dan beliau berada dalam kumpulan belakang manakala arwah dalam kumpulan tengah konvoi.  

"Saya sampai di tempat kejadian kira-kira lima minit selepas kemalangan itu berlaku. Ketika itu, saya melihat Adib masih lagi bernafas malah saya sempat menyuruhnya mengucap, bagaimanapun, dia meninggal dunia tidak lama kemudian," katanya.

Bernama