KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan konvensyen pertamanya Disember ini sebagai sebahagian daripada rancangannya membentuk satu pakatan pembangkang yang formal sebelum pilihan raya umum akan datang di Malaysia, demikian menurut laporan sebuah laman berita dalam talian setempat.
Laman berita The Malaysian Insider berkata ia difahamkan bahawa para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersetuju mengadakan konvensyen itu kelmarin dalam satu mesyuarat majlis kepimpinan PR yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada konvensyen Disember ini, PR berharap mendedahkan ideal-ideal dan prinsip-prinsip bersama yang akan membezakan antara pakatan pembangkang itu dengan parti campuran Barisan Nasional (BN).
Pertikaian yang sering berlaku antara tiga parti dalam PR sejak beberapa bulan lalu telah mendorong pakatan pembangkang itu mengadakan satu platform bersama.
Kerajaan PR telah dilanda beberapa kontroversi, perbezaan pandangan dan pertikaian khususnya di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, yang dipimpin oleh ketua menteri dari setiap parti.
Datuk Zaid Ibrahim baru-baru ini mendedahkan sepintas lalu 'wajah' sebuah kerajaan PR, dengan menggariskan satu platform bersama yang turut memasukkan undang-undang antidiskriminasi, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan melonggarkan undang-undang seperti Akta Hasutan dan undang-undang akhbar.
Datuk Zaid, yang ditugaskan menyediakan platform tersebut secara rasmi, berkata satu pentadbiran PR akan turut memperkenalkan satu dasar ekonomi baru yang dilengkapkan dengan jaringan keselamatan dan strategi pendidikan baru untuk menghasilkan para siswazah yang bersaing.
Namun, Datuk Zaid dijangka mendapatinya lebih mudah untuk mencari dasar bersama antara parti beliau, PKR dan DAP.
Ini berbanding dengan PAS, yang cuba mengetengahkan prinsip-prinsip Islam dalam platform bersama itu dan mungkin sukar diterima oleh PKR dan DAP, kata The Malaysian Insider.
Mesyuarat majlis kepimpinan PR kelmarin turut menugaskan beberapa kumpulan kerja untuk menghasilkan prinsip-prinsip bersama itu, yang berasaskan pada manifesto Barisan Alternatif (BA) - pakatan bebas antara tiga parti itu bagi pilihan raya 1999 sebaik sahaja selepas Datuk Seri Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri, tambahnya.
Source: cyberita.
Komen: Moga-moga ini menjadi kenyataan...sebelum ini pimpinan UMNO mengatakan PR adalah Rapuh dan sebagainya... sekarang kita lihat siapa yang rapuh... MCA bercelaru, MIC pun ikut serta.. UMNO pulak tak cerita.....dan kalau boleh PRU13 nanti hanya dua Parti sahaja yang bertanding di Malaysia iaitu PR dan BN... kita tengok sapa yang kena.....!!!
Selamat menyambut Ulang tahun pertama PM Pakatan Rakyat....
ReplyDelete