Edisi Siasat ntv7: Dokumentari tentang kemiskinan Sabah dipancung!
Lim Hong Siang | Sep 23, 2011 01:03:28 pmDokumentari bertajuk "Saya nak ke sekolah" (I want to go to school) ini dijadualkan untuk disiarkan dalam rancangan Edisi Siasat di stesen televisyen ntv 7, jam 11.30 malam, pada 22 September 2011. Menurut sumber, dokumentari ini telah dihantar untuk semakan Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada awal minggu ini, dibenarkan dengan "nasihat" agar sedikit "suntingan" (tapisan) dibuat sebelum disiarkan.
Bagaimanapun, LPF memaklumkan secara lisan kepada pihak Edisi Siasat, sehari sebelum dokumentari ini ke udara, bahawa ianya perlu "ditarik", kata sumber kepadaMerdekaReview. Maka pihak ntv 7 terpaksa menyiarkan dokumentari yang telah disiarkan sebelum ini, untuk menggantikan kekosongan yang wujud ekoran daripada keputusan tersebut.
Menurut maklumat yang diperolehi MerdekaReview, tiada notis rasmi daripada LPF kepada ntv 7 berhubung keputusan tersebut, tetapi hanya alasan yang tidak rasmi, seperti "khuatir menjejaskan imej negeri Sabah".
Menurut Editor Eksekutif Buletin dan Isu Semasa (Mandarin) ntv7, Tan Boon Kooi, yang sempat dihubungi MerdekaReview pada kira-kira jam 2 petang, dirinya pun "teringin nak tahu apakah yang telah berlaku sebenarnya" (yang menjurus kepada keputusan tersebut). Bagaimanapun, beliau berkata, pasukan penerbit telah menyempurnakan tugas mereka, sebaik rancangan dokumentari itu siap dibikin.
"Sama ada ia dibenarkan untuk disiarkan atau tidak, itu di luar kawalan kami. Bukan sesuatu yang boleh kami putuskan," katanya kepada MerdekaReview.
Menurut "promo" rancangan yang disiarkan pada minggu lalu, dan pengenalan di laman sosial rasmiEdisi Siasat, dokumentari ini mengisahkan jurang kemiskinan yang ketara di negeri Sabah.
"Pada 16 September 1963, Sabah dan Sarawak mengumumkan untuk bergabung dengan Semenanjung Tanah Malaya, membentuk Malaysia. 48 tahun kemudian, meskipun memiliki sumber semulajadi yang lumayan, namun Sabah dan Sarawak tetap ketinggalan secara perbandingan, dari segi pembangunan sosial ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan sebagainya."
Untuk 10 tahun ini, Sabah adalah negeri yang termiskin. Dari segi pendidikan, 21% daripada penduduk Sabah tidak berpendidikan. Apa masa depan anak-anak ini? Mengapa pula jurang kemiskinan antara desa dan bandar di Sabah begitu ketara? Sempena kita menyambut Hari Malaysia, marilah kita merenung masalah ini."
Edisi Siasat pernah terima Anugerah Seri Angkasa 2005
Ini bukan kali pertama rancangan Edisi Siasat "dipancung". Pada Oktober 2008, rancangan dokumentari berjudul "Kuasa Masyarakat Sivil" dilarang ke udara. Sebagaimana yang difahamkan MerdekaReview, rancangan tersebut mengandungi adegan-adegan demonstrasi dan keganasan polis. Malah sebelum ini, pada September 2008, satu rancangan dokumentari yang bertemakan pertikaian agama turut dilarang ke udara.
Edisi Siasat adalah rancangan hal ehwal semasa yang amat popular di kalangan masyarakat Cina, malah pernah menerima Anugerah Majalah TV Terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa 2005.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
No comments:
Post a Comment