boikot

boikot

Segarkan ingatan anda...

Segarkan ingatan anda...

Wednesday, October 5, 2011

Polemik Hantu Mahathir

Polemik Hantu Mahathir – Oleh Asi Dani


5 October 2011

5 OKTOBER – Sedang isu hudud kecoh, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menimbulkan isu undang-undang jenayah Islam itu yang enggan dilaksanakannya dahulu, tiba-tiba menyonsang arus publisiti dengan isu filem seram dan hantu pula.

Bekas Perdana Menteri itu memang pandai mencetus polemik umum untuk menjurus publisiti kepada dirinya. Sebagai orang yang paling berkuasa di Malaysia selama lebih 22 tahun, dia mahu kekal popular.

Namun, seperti juga isu hudud, isi kandungan dan polemik filem seram dan hantu yang diketengahkannya itu jelas kontang dari idea bernasnya.

Tun M pernah memuji-muji filem Avatar kerana kesan khas (special effect) dan kisah penceritaan filem yang sangat menakjubkannya. Hingga beliau membayangkan bagaimana kreativiti dan kepakaran itu mampu menjadikan Barat berbuat apa sahaja hingga ia benar-benar realistik.

Sebagai penghayat seni, kita turut kagum dengan mutu karya-karya Hollywood. Tetapi tidaklah hingga kita terlupa bahawa semua itu sekadar hiburan. Ia hanya rekaan pengkarya, ia fiksyen, ia imaginasi, ia angan-angan dan ia mitos.

Bagaimana Tun M yang dikatakan seorang yang realis boleh terpana dengan kehebatan teknologi dan pengkisahan hingga beliau lupa bahawa Avatar adalah sebuah filem fiksyen. Apakah tiada perbezaan filem seram hantu kita dengan filem fiksyen Avatar, dari segi rekaan filem cereka?

Memang tak sebanding jika kita ukur kedua-dua filem ini dari segi kualiti, tetapi konteks filem-filem seperti ini adalah fiksyen. Memang seni itu memukau jiwa dan fikiran.

Pasaran seni tempatan

Dalam konteks industri seni dan hiburan tanahair termasuk medium filem, kita tahu bahawa pasaran kita amat kecil. Majoriti peminat filem tempatan adalah orang Melayu dan Islam. Pengkarya dan penerbit sekali pun bukan Melayu seperti David Teo, perlu memikirkan pola pasaran filem tempatan.

Majoriti peminat yang sanggup membayar wang untuk ke panggung adalah mereka yang berbangsa Melayu dan dari kalangan muda. Dimensi minat golongan ini adalah karya yang berbentuk ringan – drama mudah, jenaka, sedih, aksi dan seram.

Semua ini adalah hiburan ringan dan sederhana. Bagi peminat, mudah difahami dan dilayan. Bagi pembuat filem tempatan, kos menjadi isu utama. Ini adalah kerana pasaran yang kecil.

Memang ramai yang teringin membuat filem seperti Avatar, Star Wars, Titanic, Batman atau Spiderman,namun kemampuan mereka sama ada dari segi modal atau intelek, belum mampu wujud di Malaysia. Inilah realiti yang semua harus terima.

Jika komen Tun M bahawa filem seram tempatan tidak banyak membantu membina masyarakat produktif termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik, maka jelas bekas Perdana Menteri ini gagal memahami peranan karya termasuk medium filem di arena tempatan.

Isunya mudah, jika Tun M mahukan masyarakat produktif, maka mereka harus belajar ke sekolah, ikuti kursus latihan dan bekerja. Inilah jalan untuk menjadikan manusia itu produktif.

Lebih baik lagi, jika zaman beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, Malaysia dibebaskan daripada cengkaman undang-undang zalim manakala kebebasan diberikan kepada pelajar termasuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) supaya orang muda dapat mempergunakan kebebasan diri untuk meningkatkan daya fikir dan kreativiti.

Tetapi apa yang Tun M lakukan dahulu ialah melembapkan minda muda, dan hari ini mereka sudah dewasa dan kurang kreatif kerana terperuk dalam kerangka masyarakat yang takut dengan kebebasan dan dunia sekeliling, sebagaimana yang dicipta oleh Tun M sendiri yang mahu semua menurut kehendak dan acuan ciptaannya. Hasilnya, minda yang hambar setelah lebih 22 tahun duduk di bawah tempurung.

Jika Tun M mahu rakyat Malaysia kreatif dengan menggunakan pendekatan teknologi, maka gunakan pengaruhnya untuk mendesak kerajaan mereka agar anak muda diberi geran penyelidikan teknologi dan hasilnya harus diiktiraf dan dipatenkan.

Gunakan juga pengaruhnya untuk menasihatkan kerajaan supaya tidak mengharam atau menapis filem, filem pendek dan klip video yang mengajak rakyat mengundi, memilih kerajaan yang bersih atau bersikap kritikal terhadap kuasa yang mencengkam hak rakyat. Barulah minda terbuka.

Tapi sayang, kita hampir terlupa bahawa Tun M tidak lagi berkuasa untuk membuat ini semua. Dan barangkali semasa beliau memerintah, beliau turut lupa kepada golongan karyawan.

Mentaliti, cita rasa dan imaginasi rakyat Malaysia

Benarkah hanya generasi hari ini khususnya warga Melayu sangat meminati genre seram dan lawak? Bukankah zaman ibu bapa dan datuk nenek kita dulu pun genre ini semuanya popular belaka? Atau adakah genre seram dan lawak ini cita rasa yang ‘low class’?

Pertama sekali, genre seram atau lawak ini adalah elemen yang paling mudah disampaikan kepada penghayat/penonton. Bukankah seni itu juga soal ‘tarikan’? Jadi tidak salah sekiranya genre-genre ini lebih diminati oleh majoriti penonton.

Di mana-mana pun di dunia ini, manusia memang suka pada bahan lawak dan seram. Ini nilai sejagat.

Soal ia ‘low class’ atau ‘high class’ bukanlah di sini tempat yang harus Tun M harapkan. Kita cuba memahami kritikan Tun M yang mengharapkan filem tempatan mampu menyaingi filem Hollywood sepertiAvatar yang penuh dengan kesan khas, kreatif dengan penggunaan teknologi yang terkini. Beliau beranggapan itulah tanda aras sesebuah filem itu bermutu atau tidak.

Dalam kes ini, kita amat kasihan dengan Tun M, harapan beliau ini samalah dengan impiannya mahukan kereta Proton mampu bersaing dengan kereta BMW atau Porsche. Ia hanyalah impian yang sia-sia kerana harapan dan cita-cita itu diurus dengan mentaliti mediocre atau hambar, jauh dari saingan global.

Bagi Tun M, naratif, isi karya dan mentaliti pengkarya itu tidak penting. Yang paling utama adalah bagimana fiksyen kita mampu dilihat standing dengan fiksyen Barat. Pelik tetapi benar, beliau mengkritik Barat tetapi Barat jugalah yang ingin disainginya.

Barangkali juga, Tun M mahu fiksyen hantu seram digantikan dengan “Ketuanan Melayu” yang beliau reka dan dukung itu harus dilihat real dan hebat dengan segala kesan khas yang tak terjangkau kemampuan pengkarya kita. Maka kerana itu, beliau mengkritik.

Mungkin juga, kritikannya, selain dari mencari publisiti, hanya sekadar mahu menutup segala kesalahannya yang menjadi punca masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu menjadi mediocre dan hanya mampu menjadi jaguh kampung melalui jeritan dan teriakan di jalanan.

Jadi Tun M sepatutnya sedar bahawa menonton filem, lebih-lebih lagi filem tempatan, hanyalah untuk hiburan. Masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu hari ini tidaklah sejahil yang beliau sangkakan. – Roketkini.com


Link roketkini.


1 comment:

  1. dey madet kuttye..lu bikin filem THE RETURN OF KUTTEY. muwahahaaaaaaaa

    ReplyDelete

Kazim belasah Manjongmari..

Iklan Manjungmari