Hilangnya sakit tak semestinya hilangnya penyakit
Sakit dan penyakit itu adalah dua perkara yang berlainan. Saya pernah menulis isu ini lama dahulu di dalam blog ini.Saya akan terus kepada relevannya isu sakit dan penyakit ini kepada pimpinan parti UMNO/BN dan kerajaan yang memerintah sekarang ini.
Masih ada ramai yang percaya yang UMNO akan masih di terima kerana kerajaan telah membentangkan belanjawan yang akan memulihkan sakit rakyat dan dengan bantuan ‘one-off’ sebanyak seribu dua itu akan mengembalikan sokongan ramai kerana orang ramai sudah hilang sakitnya dengan pembentangan belanjawan baru-baru ini.
Seseorang yang selalu menghadapi sakit kepala, telinga dan mata misalnya akan menghilangkan sakit-sakit itu dengan memakan panadol soluble dan berbagai ubat penahan sakit yang lain. Setiap kali selepas makan ubat penahan sakit itu sakit yang kita rasakan itu akan hilang, tetapi tidak beberapa ketika selepas itu sakit itu akan kembali dan kita menelan pil penahan sakit itu lagi.
Lama kelamaan pil penahan sakit itu tidak akan berkesan lagi kerana pil itu sudah melemahkan ‘immune system’ tubuh kita. Akhirnya kita akan kehospital juga untuk mencari sebab kenapa sakit-sakit mata, telinga dan kepala itu sentiasa berulang dan ubat penahan sakit pun sudah tidak berkesan lagi.
Sampai sahaja di hospital barulah kita tahu yang kita sudah menghadapi penyakit dan penyakit itu ialah darah tinggi rupanya. Sepatutnya kita tidak terus memakan pil penahan sakit sebelumnya. Sepatutnya kita patut selesaikan isu penyakit yang menyebabkan sakit yang kita rasai itu. Apabila darah tinggi sudah terlalu ‘acute’ maka tubuh kita dengan sendirinya tidak akan berfungsi dengan baik dan tidak mungkin mampu untuk bertindak dengan baik lagi.
Apabila seseorang itu sudah tahu yang dia ada penyakit darah tinggi, dengan secara automatik dia tidak akan berada dalam tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan kehidupan dengan baik. Banyaklah pantang larang yang perlu di perhatikan kerana penyakit darah tinggi tadi akan memaksa seseorang menghidapinya untuk tidak melakukan banyak perkara dan akhirnya dia akan mati dengan penyakit itu juga .
Inilah yang sedang dihadapi oleh UMNO dan BN. Sakit-sakit dalam BN itu memang sudah lama dirasakan oleh ramai tetapi UMNO menyelesaikan masalahnya dengan memberikan ubat penahan sakit sahaja. Caranya ialah dengan memberikan ubat penahan sakit dengan memberikan projek-projek kepada ‘war lords’ dalam UMNO dan memberikan imbuhan kewangan ‘one-off’ kepada rakyat dalam bentuk wang ringgit seribu dua sahaja seperti yang di sebut dalam bajet 2012 yang lalu.
Walaupun mendapat sedikit wang dan akan menghilangkan sakit buat seketika tetapi sakitnya akan datang kembali dalam masa yang tidak berapa lama lagi. Seribu ringgit yang diberikan secara ‘one off’ itu akan habis sekelip mata kerana bagi ramai yang mendapat seribu ringgit itu hanyalah sekadar melepaskan sebahagian kecil hutang semasa mereka sahaja. Selepas itu mereka akan kembali sakit kerana penyakitnya tidak diperbaiki. Penyakit sebenar mereka ialah kemiskinan.
Tindakan menghilangkan sakit rakyat ini memang tindakan biasa BN terutamanya semasa pilihanraya sudah hampir tiba. Semasa hilangnya sakit buat sementara itulah selalunya pilihanraya akan di adakan dan mereka akan kembali sakit apabila pilihanraya sudah selesai dan UMNO telah kembali berkuasa.
Tetapi kini rakyat sudah tidak lagi mudah terpedaya dengan pemberian tunai ‘one-off’ itu kerana mereka tahu mereka akan kembali sakit tidak beberapa lama selepas pilihanraya di adakan. Rakyat mahukan pelan pembangunan untuk rakyat yang boleh diguna pakai buat jangkamasa yang panjang. Rakyat tidak lagi mahu ikan tetapi rakyat mahukan kail yang baik untuk membolehkan mereka mengail dalam jangkamasa yang lama untuk mendapat ikan selama-lamanya.
Penyakit yang di hadapi rakyat ialah kesusahan menghadapi kenaikan harga barang dan wang imbuhan ‘one off’ itu hanya boleh membantu mereka dalam jangkamasa yang singkat sahaja sedangkan nyawa masih panjang lagi. Rakyat sudah mual mendengar pihak kerajaan mengumumkan kadar inflasi kita adalah di bawah 4 peratus tetapi harga barang keperluan meningkat berkali ganda.
Dalam pada itu rakyat masih nampak dengan jelas penyakit yang tidak kunjung sembuh masih berlaku di hadapan mata kepala mereka, iaitu rasuah di setiap peringkat pentadbiran kerajaan. Memang ada kerajaan menangkap seorang dua dan di tuduh di mahkamah tetapi itu hanya menghilangkan sakit buat seketika sahaja. Rakyat tahu lebih ramai yang melakukan kerja keji itu tidak ditampilkan untuk menghadapi tuduhan di Mahkamah.
Dalam pada kerajaan mengambil tindakan kepada beberapa orang rasuah tetap juga bertambah rancak dan nyata ianya merupakan satu kanser yang tidak mungkin dapat di sembuhkan. Kanser tetap membunuh setiap sel yang baik di dalam sistem pentadbiran negara dan dalam jangka masa yang tidak berapa lama seluruh sistem kerajaan akan lumpuh oleh kerana kegiatan rasuah yang tidak mampu dikawal itu.
Apabila sel-sel kanser rasuah tidak dapat di kawal maka batang tubuh kerajaan itu akan akhirnya menjadi kurus dan akan matilah segala sistem pentadbiran kerajaan dan contoh-contoh kejatuhan kerajaan-kerajaan yang besar di dunia ini bukannya kecil.
Menubuhkan MACC itu tidak dapat menyembuhkan penyakit rasuah tetapi sekadar menghilangkan sakit buat sementara sahaja. Lagi pun pesakit tidak mungkin mampu untuk menyembuhkan penyakit itu.
Serupa jugalah penyakit yang di hidapi penyakit kesusahan tidak mungkin dapat bertahan dengan hanya memberikan ubat menahan penyakit sahaja kerana penyakitnya tidak diubati terlebih dahulu.
No comments:
Post a Comment