Oleh
M. Effendy A. Hamid
BAYANGKAN jika Pakistan ditalebankan.
Sewaktu memerintah Afghanistan (1996-2001), Taleban melaksanakan pentafsiran Islam yang amat kejur lagi mengongkong.
Harian berpengaruh di Amerika Syarikat, The New York Times, pada Sabtu lalu menampilkan berita resah mengenai serangan Taleban ke atas Buner, sebuah kawasan hanya 100 km dari Islamabad, ibu kota Pakistan.
Keupayaan dan kelajuan gerila Taleban mengejutkan Amerika Syarikat dan Pakistan. Penduduk Buner sebelum ini pernah melawan dan mematahkan serangan Taleban tahun lalu termasuk membunuh enam gerila kumpulan itu. Tetapi kini penduduk Buner macam patah semangat.
Yang mematahkan semangat orang Buner ialah perjanjian damai antara tentera Pakistan dengan Taleban. Ini dianggap sebagai suatu pengkhianatan yang tiada ampunnya. Taleban telah melaksanakan perundangan syariah macam di Afghanistan, termasuk di Lembah Swat.
Langkah tentera Pakistan itu menunjukkan kelemahan pemerintah Presiden Asif Ali Zardari. Ia diselar oleh Barat, terutama Amerika, kerana ibarat memberi muka kepada musuh.
Hanya setelah Amerika mengenakan tekanan, barulah Pakistan bertindak menyerang Taleban kelmarin. Namun kesannya mungkin sudah terlambat.
Memang luar biasa kemampuan Taleban yang pernah suatu ketika dulu dianggap sudah terhapus oleh serangan bertubi-tubi Amerika ke atas bumi Afghanistan. Namun ia mampu menyatukan kembali kekuatannya. Dengan perancangan yang lama dan teliti, ia membina rangkaian maklumat dan memperoleh senjata untuk bangkit semula.
Kini benteng bagi menentang Taleban berada di tangan Pakistan dan India, kata Dr Ned Bertz, penolong profesor di Jabatan Sejarah Universiti Hawaii di Manoa. India dan Pakistan perlu berkongsi maklumat dan tenaga demi membanteras Taleban. Dalam pada itu, perlu dibangun segera kawasan perbatasan utara Pakistan yang amat daif. Sebabnya kemiskinan telah membolehkan Taleban berjaya merekrut para pemuda yang menganggur.
Namun, hujah Dr Bertz, hambatan terbesar ialah beban sejarah antara India dengan Pakistan yang pernah berperang dua kali ke atas Kashmir dan Bangladesh (dulu Pakisatan Timur). Permusuhan dua jiran bermula dengan pemisahan akibat kemerdekaan daripada British pada 1947. Rakyat Hindu dan Muslim bermandi darah dalam proses pembentukan Pakistan. Jutaan Muslim India dibunuh dalam perjalanan mereka ke negara baru, Pakistan.
Soal Kashmir yang dua pertiga kawasannya dalam India masih menimbulkan kemarahan rakyat Pakistan. Majoriti rakyat Kashmir beragama Islam dan beberapa kumpulan pemisah Kashmir dikatakan kian didampingi Taleban dan rangkaian Al-Qaeda.
Seorang teman siswa dari India memberitahu saya beberapa minggu lalu mengenai pergolakan di kampungnya di sempadan Pakistan-India. Masih segar dalam ingatannya tentang sekumpulan orang bersenjata menuntut bapanya agar dibenarkan bermalam di rumahnya. Ketika itu beliau masih kecil lagi. Bapanya ketakutan dan mengiyakan saja. Pada pagi esoknya, mereka menghilang.
'Inilah masalahnya: Kita dituduh menyokong kumpulan militan. Padahal kita terpaksa. Sekarang tentera Amerika mahu campur tangan dalam isu ini. Tetapi bolehkah kita bezakan antara penduduk dengan musuh?'
Katanya, kawasan perbatasan memang amat daif. Kurang kemudahan pendidikan dan kesihatan. Jadi, mudahlah kumpulan pelampau mempengaruhi anak muda.
Ceritanya mengingatkan kisah Jeneral Vo Nguyen Giap, panglima besar tentera Vietnam Utara atau Vietcong. Strateginya berjaya mengalahkan tentera Perancis di medan Dien Bien Phu pada 1954 dan Amerika pada 1975.
Menerusi bukunya, People's Army and People's War (cetakan 1961), Jeneral Giap yakin terhadap strategi gerila pada tahap pertama untuk melemahkan musuh. Tahap kedua pula ialah strategi perang bergerak. Pasukannya menyerang dengan tangkas, meneroka dan membinasakan kawasan musuh dengan cepat dan beredar dengan tangkas.
Penubuhan sebuah 'kawasan buritan' penting dalam operasi ketenteraan. Ini bertujuan mengatur rancangan dan menyimpan kelengkapan dalam serangan selanjutnya ke atas musuh.
Namun paling utama tentulah sokongan rakyat kepada tentera Vietcong untuk berjuang dengan lama sekali (puluhan tahun) sehingga mengalahkan Perancis dan adikuasa Amerika.
Tetapi Taleban bukan tentera Vietcong. Sokongan rakyat kepada Taleban amat terhad. Jadi, untuk mengalahkan Taleban, Amerika tidak hanya menggunakan kuasa tentera malah memenangi hati rakyat menerusi pembangunan ekonomi di kawasan sempadan.
Kekalahan Amerika di Vietnam bermula apabila ia gagal memahami budaya dan sejarah orang Vietnam. Amerika gagal menilai azam orang Vietnam Utara untuk berperang secara habis-habisan.
Kepentingan Amerika di Pakistan kini bak dipaparkan dalam peribahasa: Antara rahang harimau dan mulut buaya.
Sumber (LINK)i
Komen. Alhamdullillah, masih ada lagi jemaah Islam yang masih lagi bertahan menentang kaum Kuffar Amerika di bumi Mereka, moga-moga mereka juga dapat mengambil kembali Bumi Kashmir dari cengkam India.
No comments:
Post a Comment