boikot

boikot

Segarkan ingatan anda...

Segarkan ingatan anda...

Tuesday, April 28, 2009

Pemilihan Barisan Pimpinan PAS: Akan adakah kejutan..

APRIL 28 – Perbualan orang PAS hari ini ialah tentang Mesyuarat Agung Kawasan yang berlangsung dan dijangka tamat pada pertengahan Mei ini. Saya ada menerima beberapa jemputan untuk resmikan Mesyuarat Agung Kawasan tertentu, itu pun beberapa kawasan jemput kerana dah tak dapat ‘top guns’ jadi saya yang kerdil ini pun gantilah!

Ada seorang kawan rapat saya yang selalu jadi penasihat yang tak dilantik pernah bisik kat saya: “ustaz kena terima jemputan resmi kawasan ni pasai masa tu kita boleh promosi kita, yang minta untuk resmi pun ada” sambil ‘penasihat’ bercakap dalam loghat utara yang pekat, saya mengangguk tanda faham, tapi sebenarnya saya tak faham tentang promosi diri kerana satu perkara yang paling berat untuk saya lakukan ialah mempromosi diri sendiri, kalau istilah orang tua kita: “masuk bakul angkat sendiri!”

Tidak seperti Umno cara pemilihan dalam PAS berjalan dalam keadaan penuh berhati-hati supaya tidak dilihat sebagai ‘mahukan kedudukan’ kerana tok-tok guru PAS ajar pengikut supaya jangan meminta jawatan malah yang meminta itulah yang tidak akan diberi jawatan!

Bersandarkan kepada hadis Nabi s.a.w “Bukan di kalangan ku mereka yang meminta-minta” maka jadinya dalam PAS hanya semata-mata kerana ‘dilihat’ meminta-minta jawatan sudah cukup menjadi satu kepelikan dalam PAS.

Setiap kenyataan yang dibuat dalam dan luar parti berkenaan dengan pencalonannya sudah cukup untuk menghantar mesej yang positif atau negatif kepada ahli. Seorang veteran dalam PAS pernah nasihat saya semasa nama saya dicalonkan untuk AJK PAS Pusat sesi 2005-2007, dia kata “mujahid kena berhati-hati, saya tengok Mujahid boleh pergi jauh biarlah Mujahid menang dengan ‘restu’ , jangan menang kerana ‘dipaksa’ menang”! saya tidak mengerti maksud ‘restu’ yang dimaksudkan tetapi penglaman yang sedikit dalam PAS ini mengajar saya maksud ‘restu’ tadi ialah ‘berendah diri’ sehingga dilihat oleh perwakilan sebagai calon bermoral, seolah-olah moral keperibadian yang tidak meminta-minta jawatan walaupun layak, itulah yang akan menjadi kayu pengukur perwakilan, bukan sekadar sekadar berbekalkan kelayakan.

Kata-kata itu lima tahun  yang lalu kembali teriang-riang di telinga saya, dan sekali gus mengenangkan saya kepada tokoh veteran ini yang sudah pun meninggal dunia, moga dia diterima di sisi Allah.

Kini PAS terpaksa mematuhi kehendak perlembagaan parti bagi memilih barisan pimpinan baru, soalannya apakah akan berlaku kejutan?

Saya mengandaikan akan berlaku kejutan dengan line-up baru di peringkat atasan, melainkan Presiden parti, semua jawatan tertinggi yang lain dari Timbalan Presiden, Naib-naib akan dipertandingkan.

Penyandang akan dicabar dengan satu pemilihan yang saya andaikan agak sengit. Mengapa saya berkata demikian?

Pertama kerana harapan orang ramai kepada PAS agak tinggi, berbanding dengan sebelumya, orang ramai tidak berminat untuk melihat siapa yang akan terajui PAS, tapi dengan dua kemenangan PAS di dua PRK minat orang ramai semakin meningkat.

Apatah lagi PAS kini muncul sebagai sebuah parti yang dilihat mempunyai ‘moral standing’ yang tinggi di antara ketiga parti komponen Pakatan Rakyat, malah cakap-cakap PAS akan menjadi alternatif kepada Umno mula ditanggap serius oleh orang Melayu khususnya.

Dalam kekosongan alternatf parti Melayu ini kedudukan PAS menjadi penting dan sudah tentulah pemilihan kepimpinan PAS akan menjadi tumpuan.

Kedua ialah harapan ahli PAS sendiri yang ‘sahamnya’ dilihat ‘melambung ‘tinggi dan dengan itu membuat pilihan kepada kepimpinan yang baru bukan hanya menjadi tanggungjawab tetapi ada unsur nilai strategik yang akan menjadi perkiraan.

Ketiga, bagi rakan-rakannya dalam Pakatan, pemilihan kepimpinan baru akan memberi satu gambaran awal bagaimana masa depan hubungan dengan PAS.

Terakhir ialah persepsi musuh tradisi PAS iaitu Umno, mereka pun mengintai-intai siapa yang akan menerajui PAS, paling ‘menggerunkan’ mereka ialah apabila kepimpinan baru nanti akan dilihat lebih berwibawa dari sudut ketokohan dan kemampuan intelek di mana ini akan menjadi masalah kepada Umno kerana unjuran PAS akan menjadi alternatif kepada Umno bukan lagi khayalan!

Saya melihat dengan alasan tadi kejutan pasti akan berlaku, saya tidak berminat untuk menyenaraikan siapakah mereka yang akan menjadi kejutan dalam Muktamar nanti kerana saya hanya berminat unuk melihat bagaimana proses ‘kejutan’ akan berlaku. Dengan kata lain kejutan kalau berlaku hanya di hujung tetapi yang lebih menarik ialah bagaimana kejutan ini dicipta?

Sebagai AJK PAS Pusat saya bertemu dengan bermacam jenis ahli PAS, ringkas ada dua trend ahli yang dominon dalam PAS, pertama ialah ahli yang terlalu berhati-hati sehinggakan ‘perubahan’ agak sukar menembusi pemikiran mereka, ke dua ialah ahli yang mempunyai keterbukaan untuk mengambil risiko-risiko kepada ‘perubahan’ dalam parti.

Trend in sudah tentu mempengaruhi kecenderungan ahli bagi menentukan siapakah barisan mereka.

Satu hari semasa saya bersembang-sembang dengan seorang kuat media dari lidah resmi Harakah dan Siyasah yang pro PAS, dia melontarkan satu ide yang menarik katanya “ahli PAS ni susah kita nak baca sebab budaya parti ini tak seperti Umno yang terang-terang membicarakan soal barisan kepimpinan, dalam PAS kita hanya dapat isyarat-isyarat yang lemah, itu pun calon-calon yang beraspirasi untuk menjadi kepimpinan tertinggi tak ‘berani’ nak menampakkan hasratnya terang-terangan, inilah masalah kita!’

Lontaran ini menarik dan inilah yang membingungkan Joceline Tan, wartawan politik The Star, dia kerap menghubungi saya untuk ‘korek’ maklumat , tapi berhempas pulas dia ‘korek’ dari saya namun tak berhasil lalu katanya ‘You all memang susah kita nak baca, kami tak dapat nak buat ukuran populariti calon-calon..”

Katanya itu yang mengakhiri perbualan telefon yang panjang menggambarkan memang ‘susah’ dalam PAS  nak tengok ‘kehangatan’ pencalonan. Kalau ‘hangat’ pun ia terlalu rahsia!

Tapi apa yang saya boleh saya kongsi dalam tulisan ini ialah, dalam PAS memang ada style mereka tersendiri untuk memilih kepimpinan.

Kalau untuk AJK Pusat, kecenderungan memilih ialah faktor latarbelakang agama samada latarbelakan formal atau tidak formal.

Tidak formal ialah calon itu tertonjol keilmuan Islamnya melalui petikan ayat Quran dan Hadis. Bagi mereka yang tak berapa ada kebolehan ini agak sukar untuk diangkat menjadi AJK.

Ada juga faktor kelantangan dan keberanian di pentas-pentas ceramah menjadi perkiraan. Keberanian menghadiri ceramah yang tidak ada permit , kena ‘tahan’ dan berani ‘lawan’ pihak berkuasa.

Faktor lain seperti keintelektualan, walaupun tidak dominon tetapi sudah mula diambil kira oleh perwakilan dari kawasan-kawasan Bandar.

Untuk jawatan tertinggi seperti Presiden, era kepimpinan ulamak tidakpernah menyaksikan apa-apa pertandingan, manakala Timbalan, style perwakilan masih terikat dengan kecenderungan melihat calon Timbalan sebagai seorang yang ada nama Ustaz. Pernah saya mendengar dari kepimpinan akar umbi yang mengatakan orang nombor dua mesti ulamak juga kerana dia akan menolong Presiden kalau dia tidak ulamak macamana dia nak tegur Presiden?

Trend mengundi ini masih kuat dan  belum lagi dicabar kes dahuluan yang sememangnya no 1 dan 2 mesti ada title Ustaz. Mungkin kejutan akan berlaku untuk mencabar amalan ini?

Manakal Naib-naib dipilih mengikut aturan yang secara otomatik disusun oleh perwakilan. Dalam tiga itu seorang mesti ustaz, seorang lagi ‘loyalist’ manaka seorang lagi ada status sosial yang diiktiraf samada populariti atau daya keintelektualan yang tinggi.

Kejutannya pada kali ini ialah kemungkinan susunan ini tidak lagi diambil kira, bahkan bagi memenuhi desakan mahukan perubahan kemungkinan title ustaz tidak lagi menjadi perkiraan, yang menjadi perkiraan ialah ‘performance’ dan ‘achievement’.

Kalaupun kita bleh membaca trend kecenderungan perwakilan, tetapi ia tidak semestinya begitu. Nama-nama calon untuk Timbalan dan Naib-naib turut dilontarkan dengan satu pendekatan yang mudah dan gelihati, iaitu jika ada mana-mana nama sudah mula mendapat satu dua pencalonan, barulah kawasan lain ‘teringat’ nama ini perlu dicalonkan!

Ini yang jenis Kawasan ‘baru teringat’ mereka tidak ada dalam perkiraan mereka kepentingan strategic untuk membawa parti ke tahap yang lebih baik. Ia agak melucukan tetapi trend ini masih ada dalam PAS.

Yang lebih panas ialah spekulasi-spekulasi yang dimainkan oleh media dan penganalisa-penganalisa.

Ada yang di ‘upah’ oleh Umno untuk membuat analisis yang nakal seperti mengatakan ada kumpulan Erdogan yang membawa trend ‘perubahan’, ada yang mengatakan group Erdogan di’taja’oleh Anwar Ibrahim dan ada yang menganggap perubahan kepada kumpulan Erdogan akan menyaksikan berakhirnya style PAS yang ‘ortodoks’ kepada style yang ‘terbuka’ malah Negara Islam langsung tidak ada dalam slogan-slogan kumpulan Erdogan ini.

Bagi saya ini analisis nakal yang akan mewarnai suasana pemilihan dalam PAS pada Muktamar akan datang.

Agak menarik untuk dijadikan sebahagian dari lembaran sejarah PAS dalam era sahamnya sedang menaik, sekurang-kurangnya tulisan ini membantu Joceline Tan untuk membaca dan mengukur populariti calon-calon.

DR. Mujahid Yusuf Rawa.
Penulis adalah pemegang PhD dalam bidang pengurusan organisasi dan kini adalah AJK PAS Pusat di samping anggota Parlimen Parit Buntar.

No comments:

Post a Comment

Kazim belasah Manjongmari..

Iklan Manjungmari