Kunta Kinte: Orang Melayu kini takut pertahan hak
APABILA pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock mati jatuh bangunan, Kunta Kinte tengok satu Malaysia sangat sedih, simpati dan marah.
Bukan main punya simpati dan protes sampai ada pembesar Islam yang pegang colok dan lilin dalam upacara 'vigil' (tafakur) mereka.
Apabila tahanan India mati dalam lokap atau lari dari lokap dan terjun sungai, reaksi yang sama terjadi. Satu Malaysia marah lalu dibuat tunjuk perasaan dan dituntut tubuh suruhanjaya penyiasat.
Apabila seorang wanita India mati minum racun pasal dukacita saudara kandungnya mati ditembak polis, ada pembesar pembangkang berbangsa India cuba buat usul di Parlimen.
Tapi bila seorang pemuda Melayu di Perlis, Mohamad Taufik Noorzan, 21, dikatakan mengamuk dan cuba serang polis dengan pisau ditembak mati, Kunta Kinte tengok macam tak ada apa-apa yang berlaku.
Banyak lagi contoh macam tu. Belum kira lagi cerita tanah Melayu kena ambil kemudian dibuat pembangunan untuk semua bangsa. Rumah Melayu kena runtuh dan macam-macam lagi.
Jadi Kunta Kinte kena kata Kunta Kinte hairan. Budak-budak sekarang kata 'konfius'.
Adakah orang Melayu tak peduli? Adakah orang Melayu apati? Adakah orang Melayu tak berani? Adakah Melayu bangsa suka membisu dan menyepi? Atau adakah Yang Berhormat Melayu hanya makan gaji dan isi tembolok sendiri?
Kunta Kinte bertanya lagi. Apakah nyawa pemuda Melayu kurang berharga daripada nyawa seorang pembantu politik Cina atau seorang India yang disyaki pencuri kereta?
Kunta Kinte tak berani jawab pasal kalau dulu-dulu bukan macam ini. Dulu orang Melayu berani bersuara. Orang Melayu gigih pertahan hak bangsa dan hak negara.
Jadi apa Kunta Kinte nak kata? Kunta Kinte kata tahniah kepada orang Cina dan India kerana berani dan berjaya guna media massa yang mereka milik dan yang tidak mereka milik untuk mempertahan hak dan kebajikan kaum mereka.
Tahniah kepada orang Cina dan India kerana berjaya dapatkan simpati dan empati semua kaum sampai setiap kecelakaan yang timpa kaum mereka digambarkan macam tragedi negara.
Cuma Kunta Kinte nak ulang tanya, di mana pembesar Melayu, politikus Melayu, pembentuk pendapat umum Melayu, cendekiawan Melayu dan NGO Melayu apabila orang Melayu maut ditembak polis dan tahanan Melayu mati dalam lokap?
Atau apabila harta pusaka Melayu dan tanah rizab Melayu diambil alih atas nama pembangunan, tetapi kemudian dibolot oleh mereka yang berduit?
Adakah mereka berasa nyawa dan harta orang Melayu lebih murah harganya daripada nyawa dan harta orang Cina dan India?
Kunta Kinte tidak mahu pertikai tindak tanduk orang Cina dan India. Itu hak mereka. Kalau mereka pandai dan mereka berani tuntut hak mereka, patut sangatlah mereka berjaya, jadi senang dan terbela.
Yang Kunta Kinte rasa wajib Kunta Kinte pertikai adalah ketakutan orang Melayu hendak pertahan hak mereka. Tak apalah kalau ada orang Melayu rasa nyawa orang mengamuk dan tahanan polis tak penting sangat.
Tapi apa halnya dengan hak orang Melayu dan Bumiputera Sarawak dan Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan. Adakah nak pertahankan apa yang hak dalam perlembagaan pun takut?
Atau pembesar Melayu, politikus Melayu, pembentuk pendapat umum Melayu, cendekiawan Melayu dan penggiat NGO Melayu tak baca pun Perlembagaan Persekutuan.
Jadi kalau tak baca macam mana nak tahu yang Perlembagaan Persekutuan bagi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong jaga hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak?
Kalau baca Artikel 153 kita tentu tahu yang Perlembagaan Persekutuan bagi tanggungjawab kepada Raja kita jaga hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam macam-macam bidang.
Misalnya mengadakan kuota untuk kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa, pendidikan, latihan dan pemberian lesen.
Tapi kalau tak baca, jadilah kita macam si Luncai yang terjun ke sungai dengan labu-labunya. Atau menang bersorak, kampung tergadai. Anak di rumah mati kelaparan, kera di hutan disusukan. Lembu yang empunya susu, sapi yang dapat nama.
Link : bharian.
Komen: Apakah artikel ni berupa hasutan...Ohh nooo, apa pun bab orang Melayu jenis ni, dah lama dah Tuan Hj Mohamad Sabu dok sebut dalam ceramah-ceramahnya, sikap orang melayu dengan menggunakan perkataan NASIB BAIK....aku pun orang Melayu juga,,,
Mengikut fakta keturunan bangsa Melayu ni bukanlah satu kaum jenis penakut.Kalau kita balik-balik buku lama seperti "Sejarah Melayu","Hikayat Pasai" dan "Pelbagai Cetra Melayu",juga "Hikayat Hang Tuah" - jelas kaum Melayu ni bukan jenis penakut.Yang menjadikan Melayu ni penakut ialah UMNO.Hujah:
ReplyDelete(1)Sebelum merdeka lagi,antara Perang Dunia 1 hingga Perang Dunia II,sudah ujud pertubuhan-pertubuhan dan badan-badan yang mahukan Tanah Melayu merdeka,tapi oleh kerana adanya Sistem Feudal(sejak Empire Melaka) maka sistem ini amat menekan jiwa orang Melayu.UMNO mengguna-pakai sistem ini untuk menundukkan orang Melayu sebab itulah Perdana Menteri pertama datang dari kalangan istana.Dato Onn sendiri berasal dari keturunan ningrat,begitu juga Tun Razak.
(2)Baru lebih kurang 20 tahun kebelakangan ni,benar-benar ada demokrasi tulin kerana bermulanya kebangkitan pihak pembangkang sama ada diDUN atau Parlimen.Sejak merdeka 1957,orang Melayu menganggap UMNO itu sajalah yang layak memerintah.Mentaliti subsidi digunakan oleh UMNO dengan begitu sistematik dan berkesan.Munkin dibandar,sistem subsidi ini tidak begitu jelas dan berkesan tetapi dikampong-kampong orang Melayu akan "dianggap mati" tanpa subsidi.Sistem subsidi ini ada kaitannya dengan fahaman feudal yang memang sudah menjadi ciri penting dalam masyarakat Melayu.
(3)Satu lagi fakta yang turut penting ialah "sifat Melayu yang tak mahu melawan ketua dan tidak mahu kurang ajar".Tun Musa Hitam sebelum meninggalkan UMNO pernah berkata "Orang Melayu mesti kurang ajar sedikit baru boleh maju".Sifat dan perangai ini akan lebih tebal sekiranya melibatkan alim ulamak dan tokoh agama dan juga poihak istana.Takut sangat orang Melayu "kena tulah","kena sumpah" hingga rela kepala dipijak.
Semua ciri-ciri dan sifat-sifat Melayu ni,dipergunakan oleh UMNO sehingga negara sudah hampir tergadai pun orang Melayu masih "diam dan akur".Kalau dalam perkara-perkara besar seperti,kerakyatan,tanah,biasiawa dan pencabulan agama orang Melayu tak ambil kisah,apatah lagi kisah kematian seorang pemuda Melayu.