boikot

boikot

Segarkan ingatan anda...

Segarkan ingatan anda...

Tuesday, July 7, 2009

DI SEBALIK LANGKAH BERANI NAJIB...

Oleh
Prof Madya Dr Hussin Mutalib

MINGGU lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan beberapa langkah yang bakal merubah Dasar Ekonomi Baru (DEB) Malaysia - suatu dasar yang selama ini dianggap paling peka dan pantang disentuh.

Ternyata beliau telah merubah dasar yang dilancarkan ayahnya sendiri, Tun Abdul Razak (perdana menteri kedua Malaysia) sejak 40 tahun lalu.

Adakah daya utama berani PM Najib ini akan menyelamatkan atau sebaliknya?

LATARBELAKANG DEB DAN PERUBAHAN YANG DIMETERAI NAJIB

DEB dilancarkan pada 1971, sejurus selepas berlakunya kejadian rusuhan kaum yang terbesar di Malaysia - ribuan rakyat, terutamanya kaum Cina, terkorban.

Demi mengelakkan kejadian tumpah darah tersebut, Allahyarham Tun Razak melancarkan DEB, ketika itu, reformasi ekonomi yang terbesar dalam sejarah Malaysia.

Tujuan utamanya ialah agar kedudukan dan peluang kaum Melayu dan penduduk asli (Bumiputera) di Sabah dan Sarawak terjamin.

Ini dilakukan menerusi kuota 30 peratus dan keutamaan yang diberikan kepada golongan bumiputera dalam bidang penting seperti mendapatkan kontrak pemerintah, perniagaan dan perusahaan, pekerjaan, pendidikan, pemberian biasiswa, perumahan dan seumpamanya.

Apakah yang dirombak PM Najib kali ini?

Walaupun ramai penganalisis yang mengkritik langkah terbaru ini nampaknya lupa bahawa DEB ini sebenarnya telah pun diubah suai kepada DPN (Dasar Pembangunan Negara) semenjak 1991, perubahan yang dikemukakan Datuk Seri Najib masih boleh dianggap 'mengejutkan'.

Umpamanya, had batasan yang selama ini dikhaskan kepada bumiputera dilonggarkan atau dihapuskan demi membuka ruang kepada kaum lain dan pengusaha antarabangsa untuk sama-sama mengambil bahagian dalam ekonomi negara.

Begitu juga dengan syarat di mana golongan bumiputera diperuntukkan 30 peratus dalam syarikat-syarikat perkhidmatan (service industries) yang kini dihapuskan.

Kini, pengusaha luar negara tidak lagi diwajibkan mengambil orang Melayu sebagai rakan kongsi niaga dalam perusahaan seperti kesihatan, pelancongan, perniagaan dan teknologi maklumat. Begitu juga dengan kuota syarikat-syarikat bukan bumiputera yang mahu mendaftarkan syarikat mereka di Bursa Saham, yang turut dilonggarkan.

Satu lagi sektor yang terlibat ialah pengurusan dana (fund management). Kini, pengusaha luar negara dibenarkan menguasai 100 peratus bagi penjualan wholesale tanpa perlu mempunyai pekerja atau rakan kongsi Melayu.

Mulai tahun hadapan, biasiswa pelajaran pemerintah akan lebih banyak ditentukan berdasarkan kecemerlangan keputusan peperiksaan, bukan lagi atas dasar kaum yang selama ini telah membantu ribuan pelajar Melayu mendapat pembiayaian kerajaan dalam pembelajaran mereka di universiti-universiti luar negara.

MENGAPA NAJIB BERTINDAK SEDEMIKIAN?

Terdapat beberapa faktor atau sebab mengapa Datuk Seri Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengambil risiko berani ini.

Yang terpenting nampaknya ialah dua faktor: Pertama, goyahnya ekonomi negara kebelakangan ini dan kedua, keputusan pilihan raya umum baru-baru ini yang merupakan paling teruk dialami kerajaan Barisan Nasional (BN) semenjak merdeka.

Sebagai yang termaklum, ekonomi Malaysia, seperti banyak ekonomi lain di dunia, kini mengalami kegawatan.

Malah, beberapa pakar ekonomi meramalkan bahawa parasnya akan terus merosot kepada 3 peratus tahun ini, iaitu yang paling buruk sepanjang dekad ini.

Banyak negara luar yang berniaga dengan Malaysia telah banyak kali mendesak agar DEB dirombak jika Malaysia mahu terus memajukan dan memodenisasikan ekonominya.

Ini terus disuarakan setelah Malaysia mengumumkan projek besar-besaran seperti Projek Iskandar dan program mega ekonomi di utara dan timur Malaysia. Mungkin juga sentimen ini turut dikongsi sama oleh Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, dalam pertemuan mereka baru- baru ini.

Maka itu, tidak hairanlah mengapa Kesatuan Eropah (EU) - yang pada 2007 telah mendesak agar DEB dihapuskan - kini memuji langkah terbaru ini.

Selain cabaran dunia global yang semakin berubah, boleh juga kita ketengahkan satu lagi faktor, iaitu episod pilihan raya umum yang baru lalu di mana bukan sahaja BN kehilangan dua pertiga daripada kerusi parlimen, malah tewas di lima negeri.

Memang BN turut kehilangan sokongan para pengundi Melayu. Tetapi lebih ketara lagi ialah BN kehilangan undi kaum Cina dan India, yang membentuk hampir 40 peratus rakyat Malaysia.

Parti-parti komponan BN seperti MCA dan MIC tidak lagi dipercayai hinggakan PM Najib terpaksa bertindak sebelum lebih ramai pengundi mengundi parti pembangkang pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apatah lagi, haluan baru ini juga pernah diutarakan oleh Datuk Seri Anwar sendiri. Maka itu, apabila ada orang Melayu menganggap PM Najib sebagai 'pengkhianat', mereka mungkin lupa bahawa Datuk Seri Anwar juga telah melaungkan rentak yang sama.

PM Najib akan ditertawakan sekiranya lambang terbaru yang dilancarkannya iaitu 'Satu Malaysia' - di mana semua rakyat tanpa kira latar belakang kaum diberi layanan sama rata - tidak dikotakan dengan memberi layanan yang sama rata kepada bukan Melayu.

CABARAN HARI MUKA NAJIB DAN MALAYSIA

Langkah terbaru PM Najib ini berpotensi mengakibatkan beliau selamat atau pun tenggelam. Banyak akan bergantung kepada reaksi kaum Melayu di negara jiran ini.

Terdapat beberapa aspek positif daripada inisiatif PM Najib ini.

Umpamanya, Malaysia mungkin akan lebih mampu menggembleng potensi ekonominya yang begitu luas ke persada dunia.

Di samping itu, setelah 40 tahun, kuota 30 peratus yang dikhaskan untuk golongan bumiputera bukan sahaja dikatakan tidak tercapai, tetapi lebih menguntungkan Melayu kelas atasan dan menggalakkan amalan kronisme.

Lagipun, perubahan yang diutarakan tidak menyentuh bidang perusahaan besar di mana pengusaha Melayu masih dilindungi kuota tersebut, seperti telekom, air, tenaga dan pelabuhan.

Melonggarkan beberapa sektor ekonomi juga berpotensi meraih peluang keemasan yang menanti bukan sahaja dari Barat, malah dari rantau Timur Tengah yang telah mula mengalihkan perhatian kepada Malaysia terutamanya dalam perusahaan yang bersesuaian dengan syariah.

Bagaimanapun, di sebalik janji PM Najib kepada orang Melayu dan bumiputera bahawa inisiatif terbaru beliau tidak akan menjejas kepentingan mereka - dan ini termasuk janji bahawa pemerintah akan meluaskan dana ekuiti (taruhan dalam syarikat) menerusi Ekuinas yang bakal dikelolakan golongan bumiputera berjumlah sehingga mencecah RM10 bilion (S$4.2 bilion), namun ranjau yang menanti beliau nampaknya banyak.

Walaupun pemimpin Umno lain tidak lagi sebegitu lantang membangkang sebarang inisiatif yang dianggap menjejas kepentingan orang Melayu (kerana mereka terpaksa juga memikat hati pengundi bukan Melayu), terdengar juga suara sumbang dan marah di kalangan kumpulan Melayu dan bumiputera.

Umpamanya, seorang pemimpin Umno, Azim Zabadi, menyuarakan kebimbangan bahawa orang Melayu akan nanti dipinggirkan dalam ekonomi negara. Terdengar juga tuduhan bahawa perubahan kepada DEB akan menyekat peluang orang Melayu kerana mereka masih belum bersedia untuk bersaing dengan kaum lain.

Ini ditambah dengan beberapa sungutan bahawa membuka biasiswa pemerintah kepada pelajar berdasarkan merit akan mengakibatkan kepimpinan pentadbiran negara akan datang diterajui oleh orang bukan Melayu.

Jadi adakah orang Melayu sudah bersedia menghadapi realiti baru ini?

Kesimpulannya, PM Najib, kini berusia 56 tahun, mengambil risiko besar dengan inisiatif terbaru ini.

Beliau sendiri mengakui bahawa langkahnya ini merupakan satu 'tricky balancing act' (tindakan pengimbang yang rumit).

Sama-samalah kita tunggu pilihan raya umum akan datang untuk melihat adakah langkahnya berbaloi atau sebaliknya dan sekali gus kepada soalan sama ada Malaysia lebih maju dan bersatu padu atau pun sebaliknya.

Source (cyberita)

Komen: Dimana Pemuda UMNO, Dimana PEKIDA, Di Mana PERKASA dan di Mana PROWARIS......kenapa diam.....Apakah PM 1Malaysia Maksum tidak pernah melakukan sebarang kesalahan ?!............

No comments:

Post a Comment

Kazim belasah Manjongmari..

Iklan Manjungmari