Mei 11 — Seminggu sebelum ini saya dihubungi oleh Ketua penerangan Pemuda Pas Perak, meminta saya berceramah di Tambun pada 6 Mei.
Tetapi saya bertanya kepadanya bukankah esok 7 Mei sidang Dun Perak akan bersidang? Ya, kita nak “panaskan” suasana sebelum sidang katanya, jadi saya akan menjalankan tugas warm up untuk sidang Dun esoknya.
Saya bertanya lagi, “sapa akan hadir ceramah dengan saya?” mungkin ada ADUN PR dari Perak lagi panas sebab saya ahli Parlimen, itulah niat saya bertanya kepada Ketua Penerangan Pemuda Perak.
Lalu dia menjawab, “ADUN PR Perak semua kena kuarantin, mereka tidak boleh keluar, yang tinggal hanya saya kerana ahli Parlimen lain belum sampai lagi malam itu.”
Akhirnya saya setuju cuma saya memberitahu orang Parit Buntar supaya menemani saya kerana saya ‘terasa’ ada sesuatu yang tak enak akan berlaku malam ceramah nanti. Sememangnya dalam perjalanan kami ke Tambun, sepanjang jalan ada roadblock dan pengiring kami dari tol Jelapang membawa kami ke jalan agak jauh untuk mengelak roadblock, sedar-sedar kami dah sampai di tempat ceramah.
Nampaknya macam tak ada orang, tetapi hanya dalam beberapa jam tempat ceramah di kampong Tengku Husin sudah ramai orang sehingga melimpah ke jalan. Saya bersama Ketua Penerangan pemuda dan MP Titiwangsa Dr Lo’Lo Ghazali berceramah malam itu dengan semangat untuk mendedahkan kepincangan yang berlaku di Perak dan esok kita akan lihat tangisan demokrasi di Perak yang memalukan dan memualkan!
Tapi alhamdulillah, malam itu tidak ada apa-apa yang berlaku, saya balik malam dalam keadaan letih dan tidur nyenyak kerana esok berjanji untuk bertolak semula ke Ipoh jam 6.30 pagi supaya dapat sampai 8 pagi di Pejabat SUK.
Saya dijemput oleh DAP untuk hadir sebagai tetamu, jadi saya mesti berada awal sana tetapi dalam perjalanan hari ini saya masih belum menerima surat resmi jemputan untuk hadir ke Sidang DUN sebagai tetamu kehormat.
Sejurus sampai, roadblock berada di mana-mana dan setiap kali polis melihat lambang Parlimen di kereta saya mereka memberi laluan sambil berdiri hormat.
Sampai dekat bangunan SUK kawat besi telah dipasang sekeliling dan arahan polis ialah tidak ada sesiapa yang boleh berada di sekitar 500 meter perkarangan bangunan SUK. Kami berada dalam Restoren mamak dan dapat melihat dengan jelas polis beruniform dari CID, FRU dan Trafik yang mengawal bangunan SUK.
Kami dikejutkan dengan suara loud hailer supaya bersurai dari kedai mamak yang penuh dengan pelanggan. Hanya dalam beberapa minit suara ‘bersurai’ kedengaran dan saya melihat FRU meluru masuk di sebelah saya dan kedengaran pinggan mangkuk pecah dan seketika keadaan huruhara dalam kedai mamak itu menyebabkan orang ramai bertempiaran lari.
Saya bersama YB Salahuddin Ayub kemudian buat PC dalam kedai dengan pihak polis mengerumuni kami dan disuruh bersurai. Semasa kami berjalan ke kedai kopi sebelah wartawan meluru untuk bertanya lagi situasi ini.
Sebelum habis melayan para wartawan kami melihat FRU dan CID meluru ke arah kami dan semasa kami cuba bersurai polis datang mencekup Salahuddin kerana membuat PC katanya. Saya berundur setelah gagal menghalang polis menangkap Salahudin.
FRU terus mara dan semasa saya sedang menunggu dalam jarak yang saya pasti jauh dari 500 meter seorang pegawai minta saya beredar saya bertanya mengapa saya tidak berhimpun dan saya berada dalam jarak yang jauh.
Tanpa usul periksa pegawai itu terus menahan saya dan mengheret saya ke Black Maria yang sedia menunggu sambil saya mengangkat tangan kepada orang ramai yang ada dalam kedai kopi, pegawai itu mengherdik saya supaya jangan mengangkat tangan, katanya ini kami tak gari pun dah kira ok!
Dalam Black maria Salahhuddin sudah di dalam dan ada lebih kurang 20 orang bersesakan termasuk YB D. Jeyakumar dari Sg Siput. Seorang warga emas berbangsa Cina tercungap-cungap kerana sesak nafas dan dia ada asthma manakala yang lain mengadu terlalu sesak dan panas sedangkan tiada ‘ventilation’ dalam Blackmaria.
Hampir 20 minit juga kami bersesakan dan baju saya sudah pun basah lencun kerana berpeluh. Satelah Black Maria bergerak dan hampir sampai barulah ‘ventilation’ berjalan dan kipas angin berpusing, seksa! cukup meyeksakan!
Sampai di tempat yang saya tidak tahu di mana, Black Maria berhenti dan kami macam ikan yang bari dilepaskan ke sungai, berpusu-pusu keluar dan saya yang terakhir keluar kerana memberi jalan kepada orang yang di belakang.
Rupa-rupanya kami berada di Pusat Latihan FRU dekat dengan Stadium Ipoh. Di sana YB Zuraida Kamaruddin dari Ampang sudah ada dan kedengaran suaranya bercakap-cakap dengan beberapa pegawai polis di dalam. Kami ditempatkan dalam dewan badminton Pusat Latihan FRU dan bilangan pegawai polis dengan yang didakwa lebih kurang sama.
Kami duduk di luar dewan sebelum dipanggil masuk untuk prosedur pendakwaan, pertama isi maklumat peribadi dan pegawai penyiasat tanya samada mahu mencatit kenyataan atau mahu jawab di mahkamah, saya dah diberitahu oleh Salahuddin yang lebih berpengalaman supaya pilih untuk jawab di mahkamah.
Kemudian gambar diambil dengan kami terpaksa memegang nombor dan ditulis di atas nombor itu “Ops Sidang”, memang macam penjenayah diambil gambar.
Saya selalu tengok keadaan itu dalam filem-filem atau drama tetapi kali ini saya menjadi orangnya! Akhirnya kami diambil butiran lebih detail, barulah kemudian menanti samada mahu direman atau dibebas dengan ikat jamin polis. Hampir 6 jam kami ditahan. Saya sempat berkenalan dengan Helen Ang seorang penulis dalam blog yang saya sering juga abaca artikelnya dalam Malaysiakini.
Saya berkenalan dengan seorang Cina bekas komando yang fasih berbahasa Melayu, agak garang orangnya dengan polis dan saya jumpa dengan lain-lain tahanan di mana ia sememangnya kelihatan ‘1Malaysia’ kerana semua kaum ada, seronok juga dapat berkenalan dengan mereka, tetapi yang menyeksakan ialah menanti dalam cuaca di luar yang panas dan kipas angin dalam dewan tak ada kesan.
Pukul 4 ptg pegawai bernama Hafiz yang saya sempat berkenalan dari Besut menjemput saya kerana kami akan diberi surat jaminan bebas dari Polis dan diminta hadir ke mahkamah pada 4/6 ini.
Dakwaan ke atas kami ialah mengingkari perintah mahkamah untuk tidak berkumpul di sekitar 500 meter kawasan bangunan SUK. Keluar dari perkaranagn markaz FRU saya , Salahuddin, Zuraida dan Ketua Wanita Keadilan Perak disambut oleh wartawan dan pembantu saya Aziz, Jamaludin dan Wahid.
Peristiwa ditahan memang satu pengalaman tetapi saya lebih sedih apabila mengetahui apa yang berlaku di dalam sidang DUN Perak apabila Speaker Dewan A. Sivakumar dipaksa keluar dan dirampas kerusinya dengan ganas semata-mata untuk menggantikan speaker baru yang entah dari mana datangnya dari sudut keabsahan undang-undang. Bagaimana BN dengan rakus merampas DUN dari Pakatan ‘at a gun point’.
Bagaimana polis dijadikan ‘perkakas’ untuk merampas sidang DUN dan mengunggut rakyat di luar dewan yang berhak untuk mengetahui apa yang berlaku.
Bagi saya ini satu kesedihan yang melanda rakyat Perak kerana hak mereka dicabuli secara keras dan dipaksa.
Bagi pencinta demokrasi 7 Mei terpahat sebagai hari yang suram den menyedihkan malah layak rakyat Perak berkabung. Ia juga hari kedurjanaan kepada perampas dan pihak berkuasa yang membantu rampasan ini.
Saya tidak kisah apa yang berlaku kepada saya tetapi saya sedih apa yang mereka lakukan kepada demokrasi di Perak, sesungguhnya 7 mei, demokrasi menangis di Perak!
Oleh : Mujahid Yusof Rawa is MP for Parit Buntar and PAS National Unity Committee chairman.
No comments:
Post a Comment