MEI 5 — Beberapa hari lalu, nama Rashid Yusof tiba-tiba sahaja muncul dalam hidup saya. Cerita tentang beliau dicadangkan untuk menjadi Setiausaha Akhbar (SUA) kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar membuat saya banyak berfikir, apa sebenarnya yang berlaku dalam Umno selepas diambilalih oleh kepimpinan baru.
Sebagai orang media, saya sangat berminat ingin mengetahui siapakah yang dilantik oleh pemimpin baru negara ini untuk menjadi orang kanan mereka, terutama sekali untuk jawatan SUA.
Pertama, saya terima maklumat, Rashid telah dicadangkan oleh Mentri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir untuk menjadi SUA TPM. Saya tertanya-tanya, siapakah Rashid dan apakah hubungan antara Zambry dengan Muhyiddin sehingga cadangan Zambry diterima oleh Muhyiddin.
Lalu saya dimaklumkan, Rashid adalah bekas pegawai media Khairy Jamaludin. Sebelum itu beliau pernah bekerja dengan Tun Daim. Beliau seorang bekas wartawan dan dikira bijak sebagaimana Khairy.
Zambry pula adalah bekas pengurus kempen Muhyiddin sebelum beliau dipilih sebagai MB Perak. Sebelum itu, Zambry juga adalah ketua satu badan pemikir yang ditubuhkan Muhyiddin ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berada dalam Umno.
Kerana hubungan itulah, cadangan Zambry agar Rashid dilantik sebagai SUA TPM diterima Muhyiddin. Mengikut ceritanya, Rashid telah ditemuramah oleh Muhyiddin sendiri dan selepas itu beliau ditawarkan jawatan itu.
Namun, belum sempat surat tawaran dikeluarkan, Muhyiddin tidak jadi melantik Rashid sebagai SUA-nya. Jadilah Rashid bekas SUA TPM tetapi belum sempat bekerja, ia sudah diberhentikan. Cerita ini banyak disiarkan oleh blog-blog yang ada kaitan dengan Umno dan kerajaan khasnya mereka yang anti-Khairy.
Menurut maklumatnya, sebaik sahaja berita Rashid akan dilantik sebagai SUA TPM, bertalu-talu SMS beredar antara satu sama lain. Bantahan turut dibuat dalam blog-blog ini.
Kebanyakannya adalah membantah perlantikan Rashid kerana dia adalah bekas pembantu Khairy. Khairy pula sedang dipersudutkan oleh para pemimpin Umno dengan pelbagai isu. Dari isu rasuah hinggalah musuh tradisi kepada bekas PM, Tun Dr Mahathir dan orang-orangnya yang kini menguasai politik Umno.
Seorang rakan saya dari akhbar The Star juga turut didakwa terlibat dalam menghantar SMS itu. Namun, beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menceritakan apa yang berlaku sebenarnya.
Dakwaan yang paling kuat adalah bantahan dari mereka yang berada di sekeliling Tun Dr Mahathir. Ia mudah difahami kerana Khairy sememangnya menjadi musuh utama Tun Mahathir sejak bapa mertuanya masih menjadi PM lagi.
Jika benar dakwaan ini bermakna Muhyiddin telah akur dengan desakan orang-orang Mahathir padahal beliau sendiri telah menilai kemampuan Rashid selepas menemuramahnya. Kerana bantahan mereka yang anti-Khairy, Rashid yang menjadi mangsa.
Jika benar cerita Rashid ini, bermakna pengaruh penyokong Mahathir benar-benar kuat khasnya ke atas TPM yang ada sekarang. Hatta untuk melantik SUA pun perlukan kelulusan dari beliau atau orang-orang beliau.
Namun, ramai juga yang membuat penilaian lain dalam hal ini. Bagi mereka, apa yang berlaku sebenarnya adalah Muhyiddin sangat takut dengan Mahathir. Atau Mahathir sangat berpengaruh ke atas Muhyiddin.
Dikatakan juga, Mahathir tidak boleh lagi mempengaruhi Najib dengan baik. Atau dengan lain perkataan, Najib tidak menjadikan Mahathir sebagai penasihatnya.
“Lihat kes Penanti. Najib kata tidak mahu bertanding. Mahathir kata kena bertanding. Apa yang Muhyiddin kata. Tak ada, senyap sahaja.
“Bagi saya, Muhyiddin sepatutnya berperanan sebagai orang nombor dua dalam Umno dan kerajaan. Dia sepatutnya menyokong Najib. Dia tidak boleh menyokong pandangan orang lain. Jika ini berlaku bererti Umno dan kerajaan kini ada dua kepala,” kata seorang rakan penulis kepada saya.
Akibatnya, para pembantu Najib dikatakan memberikan perhatian yang lebih kepada apa yang berlaku di sekeliling Muhyiddin. Apa sahaja yang dibuat oleh orang-orang Muhyiddin akan mendapat perhatian dari mereka.
Hatta kepulangan Muhyiddin ke Pagoh dan disambut sebagai wira oleh penduduk Parlimen beliau juga mendapat perhatian mereka.
Pelbagai pertanyaan dibuat ke atas majlis itu. Kenapa gambar Muhyiddin sahaja atas pentas. Patutnya letaklah gambar Najib juga selaku PM.
Jika inilah yang berlaku dalam Umno, Najib kena berfikir kembali dengan 1 Malaysia-nya. Jadikan agenda 1 Umno dahulu sebagai realiti sebelum mengajak semua rakyat Malaysia bersatu di bawah agenda 1 Malaysia.
Source (LINK)
No comments:
Post a Comment