boikot

boikot

Segarkan ingatan anda...

Segarkan ingatan anda...

Monday, May 4, 2009

Penanti Seksa Menanti

MEI 4 – Dalam politik berbagai perkara pelik boleh berlaku, orang-orang politik berada di hadapan sebagai pelakon utama, manakala latarbelakangnya ialah parti-parti politik dan rakyat pula bertindak sebagai pengkritik utama.

Kalau dalam filem, banyak drama boleh berlaku sehingga seluruh adreline kita menggelegak, begitu juga dalam politik, kadang-kadang suspens dan dramanya boleh menyebabkan orang yang sakit jantung pengsan atau padam terus!

DUN Penanti adalah satu kejutan yang sedang diperhatikan oleh rakyat untuk dikritik dan dinilai,lebih besar dari pengkritik pengundi ialah prinsip demokrasi itu sendiri dan asas-asas konsep perwakilan dan berkerajaan.

 

Bagi saya inilah pengkritik yang lebih besar yang sedang memerhatikan perjalanan di Penanti dan lain-lain tempat yang sewaktu dengannya.

Maksud saya, prinsip demokrasi ialah hak pengundi untuk menentukan perwakilannya dalam pilihanraya bebas dan bertanggungjawab dan hak wakil yang dipilih untuk menunaikan amanahnya. Sebagaimana rakyat memilih sepatutnya rakyatlah juga berhak untuk menolak.

Soalannya, apakah parti politik yang diwakili berhak menafikan hak ini dengan mengambil alih tugas ini, iaitu meminta wakil itu meletakkan jawatan? Ataukah bagaimana hak inidividu dari sudut moralnya dimbangkan dengan hak rakyat yang melantiknya jika keputusan meletakkan jawatan itu berlaku secara sukarela oleh individu tersebut?

Dalam dua-dua keadaan ini prinsip keperwakilan dan konsepnya mula dicabar. Bagi saya itulah yang menjadi persoalannya, tidak kira dari mana datangnya seseorang wakil rakyat itu, prinsip ini harus difahami dengan betul dan bukan sekadar menjadi wakil rakyat.

Apakah jawatan wakil rakyat boleh diserahkan begitu sahaja kepada orang lain dengan perletakan jawatan? Bagaimana pengundi yang melantiknya? Di mana hak mereka untuk berkongsi kewajaran perletakan jawatan? Apakah tahap yang mewajarkan perletakan jawatan? Bolekah parti yang diwakili menentukan bila hendak meletak dan bila tidak?

Bagi saya selagi tidak ada kewajaran kerana kematian atau kesalahan jenayah yang disabitkan sehingga dianggap tidak layak dari segi undang-undang, barulah tahap itu dianggap perlu meletakkan jawatan. Namun dalam keadaan biasa, seorang wakil rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan jawatan.

Apatah lagi jika ada masalah dalaman parti yang diwakili, pihak tertentu menjadikan pengundi sebagai ‘mangsanya’ untuk selesaikan masalah dalamnnya! Ini isunya, ia adalah soal prinsip, apatah lagi sebuah pakatan yang mahukan perubahan lanskap politik yang berdiri atas ‘sound moral ground’, konsep dan asas ini perlu senantiasa menjadi keutamaan bukan masalah dalaman parti.

Kedua ialah amalan berkerajaan. Kita perlu membezakan antara parti yang memerintah dengan parti yang bukan pemerintah. Parti yang memerintah mempunyai wakil-wakil yang menjalankan tugas-tugas kerajaan, ada yang memegang jawatan-jawatan penting kerajaan.

Jawatan-jawatan ini perlu dianggap sebagai tanggungjawab professional dan jika seseorang penjawat dianggap tidak mencapai tahap kerjanya,ia hendaklah dinilai secara professional dalam kerangka kerajaan itu samada menggantikan orang lain atau meningkatkan tahap kerjanya melalui bimbingan.

Apa yang pasti untuk menyelesaikan masalah tidak sampai tahap kerja dalam amalan berkerajaan, ia tidak boleh diselesaikan dengan perletakkan jawatan wakil rakyat! apa dosa pengundi dalam masalah ini?

Lagipun, perletakan jawatan ADUN, atas alasan tidak sampai tahap kerja yang dipegangnya dalam kerajaan hanya akan memberi tanggapan bahawa orang di luar kerajaan yang layak perlu diganti melalui perletakkan jawatan, apakah  ini akan menjadi ikutan awalan lalu kita menghantar isyarat yang salah kepada rakyat?

Sehingga semua persoalan di atas dijawab dengan penuh keyakinan kewajarannya, Penanti akan terus siksa menanti dengan berbagai pihak mengkritik pros dan konsnya. Sepertimana saya bimbang rakyat akan membuat kritikan yang pedas atau sebaliknya, saya lebih bimbang prinsip keperwakilan dalam demokrasi dan amalan berkerajaan akan dicabar untuk tujuan yang salah!

Oleh: Mujahid Yusof Rawa is MP for Parit Buntar and PAS National Unity Committee chairman.

No comments:

Post a Comment

Kazim belasah Manjongmari..

Iklan Manjungmari